Saturday 21 September 2013

Mencintai Cinta - Bab 14

Bab 14

JAM sudah menunjukkan 12.30 malam. Suasana malam yang lebih awal di Sabah kedengaran sepi. Qalam memusingkan badannya ke kiri. Matanya sukar untuk dilelapkan. Suara Ryan masih segar di telinganya. Permainan itu menyakitkannya. Qalam tewas buat pertama kalinya. Tewas dengan mudah sekali.
Ryan yang berada di katil sebelahnya dilihat bergerak-gerak. Akhirnya bangun dan duduk menyandarkan badan di kepala katil.
“Yan...” Qalam memanggil perlahan. Dia juga bangun dan menyandarkan badannya di kepala katil seperti Ryan.
Bilik yang gelap dan hanya diterangi oleh lampu meja yang berada betul-betul di tengah-tengah antara katil mereka berdua itu hening. Ryan mula meramalkan bahawa Qalam mahu mulakan perbincangan. Mungkin dia akan marah. Dia masak benar dengan perangai Qalam.
Keadaan senyap. Qalam kelihatan masih tidak membuka bicaranya. Entah apa yang dia sedang fikirkan dengan memandang ke hadapan, Ryan tidak boleh membaca minda lelaki itu.
Sorry Lam... aku tak akan mengalah kali ini.”
Qalam mengalihkan pandangannya memandang Ryan semula. Ryan mula bangkit dari katil dan dilihat mengatur langkah keluar dari bilik itu. Qalam tertinggal keseorangan. Dia menarik nafas perlahan. Macam-macam perkara terlintas di mindanya. Semua ini memang dia sudah jangkakan dan perlu dia hadapi. Semuanya kerana Cinta.
Ryan menghentikan langkahnya. Matanya melihat kelibat Aliff keseorangan di ruang tamu. Ryan senyap. Memandang belakang. Pada pintu bilik yang dihuninya minggu ini sejenak. Lam, aku minta maaf. Kali ini aku memang perlu pertahankan perasaanku. Desisnya sambil memandang ke hadapan semula.
Ryan akhirnya mengatur langkah walaupun berat. Dia tidak pernah mengkhianati Qalam selama ini kerana rasa hormatnya. Entah apa syaitan yang menghasutnya kali ini untuk bertindak sedemikian. Apa yang paling teruk dia rasakan apabila dia meninggalkan Qalam dengan ayat sebentar tadi. Sekarang dia ke arah Aliff pula. Tindakannya itu persis mengkhianati Qalam dan meminta simpati Aliff pula.
Yan, mana nilai persahabatan yang ada pada kau? Qalam adalah segalanya bagi kau. Hanya dia sahabat sejati yang kau ada dan agak sukar mahu mencari insan yang sama sepertinya. Kenapa kau buat dia macam ni?
Ryan memejamkan matanya seketika. Ada hasutan masuk ke telinganya.
Selama ni kau tunduk sangat dengan dia. Kali ni kau jangan mengalah, Yan. Demi Cinta! Kau yang suka Cinta dulu. Jadi kau kena dapatkan dia!
Ryan meneruskan langkah dengan cepat. Malas mahu menghiraukan dua hasutan yang mengganggu  mindanya. Dia pening. Keadaan mendesaknya.
“Liff...”
Aliff mengalihkan pandangannya ke arah Ryan yang baru datang.
“Ingatkan kau dah tidur...” Aliff menyapa. “Duduklah...”
Ryan melabuhkan punggungnya di sebelah sofa Aliff.
“Tak boleh tidurlah. Dah biasa tidur lewat kat asrama,” itu sahaja alasan yang terlintas di minda Ryan masa ini.
“Qalam mana?”
“Dalam bilik. Dia dah nak tidur kot.”
Aliff senyap. Malas mahu meneruskan soalan. Matanya mula memandang TV semula.
“Kenapa kau tak tidur lagi?” kali ini Ryan pula menyoal.
Aliff tersenyum sahaja. “Dah biasa.”
Keadaan mula senyap. Suara TV mengusai ruang tamu. Aliff yang sibuk menonton mula menjeling perlahan pada Ryan. Ada yang tidak kena dengan lelaki itu. Pasti ada kaitannya dengan Qalam. Kalau tidak, dia tidak akan keluar dari bilik bersendirian. Selama ini dia selalu melihat mereka berdua bersama. Seperti belangkas. Isi dengan kuku.
“Boleh join?”
Mereka berdua tersentak. Memandang serentak Basyirah yang baru muncul. Berdiri dengan senyuman manis di bibirnya.
“Duduklah.” Aliff mempalawa. Basyirah semakin melebarkan senyumannya.
“Yan, kau duduklah teman Basyirah. Aku pergi dapur suruh Mak Cik Jah buat air minuman dan kuih untuk kita.” Aliff meminta diri tiba-tiba.
“Eh, tak yahlah Liff... dah malam sangat ni. Orang gaji kau mesti dah tidur,” Ryan menidakkan tindakan Aliff.
“Tidak pa. Mak Jah masih ada di dapur. Kamu duduk sini ya.”
Basyirah dan Ryan hanya mampu diam. Aliff mula bergerak seperti mana dia mahu lakukan.
“Qalam mana?” Basyirah menyoal tatkala Aliff sudah hilang dari situ.
“Kat bilik.”
“Tidur?”
“Entah.”
Basyirah memerhatikan Ryan. Dia masak benar dengan lelaki itu. Sudah lama mereka berkenalan dan Ryan lebih mengenali Basyirah lebih dari Qalam. Basyirah juga sama.
“Ada masalah ke? Qalam marah Yan?”
“Dia tak cakap apa-apa pun. Yan say sorry kat dia. Lepas tu Yan tinggal dia sorang-sorang kat bilik. Yan rasa bersalah pula,” dengan nada bersalah, Ryan meluahkan isi hatinya.
“Dahlah. Yan tak buat salah pun.”
Ryan memandang Basyirah. Gadis kuat semangat. Walaupun hal berat sebegini sudah berlaku, dia masih boleh sabar dengan Qalam. Apa yang pelik, dia masih mahu pertahankan Qalam masa ini.
Qalam memerhati penuh. Dia menyandarkan separuh badannya ke dinding sebelah. Melihat Basyirah dan Ryan bersembang di ruang tamu berdua, dia rasa mula terpinggir. Mereka berdua saling ketawa sedangkan dia berseorangan. Tiada lagi situasi seperti sebelum ini di mana mereka bertiga ketawa bersama-sama.
Dia tiba-tiba tersenyum. Melihat keakraban Ryan dan Basyirah, dia seakan-akan diterjah rasa lucu. Baru dia menyedari bahawa mereka berdua itu lebih saling memahami antara satu sama lain berbanding dia. Ryan kelihatannya lebih memahami Basyirah berbandingnya sedangkan tunang Basyirah yang sebenarnya adalah dia.
Qalam mula mengatur langkahnya pergi dari situ. Entah ke mana hala tujunya, dia sendiri tidak pasti. Tanpa disedarinya, dia sudah menuju ke tingkat atas. Langkahnya mati tatkala melihat Aliff berada tidak jauh di hadapannya.
Apa Aliff buat kat sana? Dia menyoal benaknya sendiri.
Qalam mula mengatur langkahnya perlahan. Aliff mula masuk ke dalam bilik itu. Qalam memerhati buat seketika. Itu bilik tempat mereka selalu lepak dan jamming dulu. Apa dia buat malam-malam buta begini kat situ? Qalam menyoal benaknya sendiri.
Qalam mula menghendap. Bukan mahu mencurigai Aliff tapi dia merasa ada sesuatu yang tidak selesai dengan lelaki itu. Dia yakin ini adalah permulaan cerita. Jika dia selidik, mungkin dia boleh temui sesuatu yang orang lain belum tahu.
“Liff... aku minta maaf. Cinta milik ramai orang. Tapi aku akan pertahankan apa yang kau suruh dulu. Aku tidak akan buat Cinta menangis semula hanya kerana lelaki tu.”
Qalam terdiam. Aliff bercakap dengan siapa? Dia memerhati penuh. Aliff  memegang bingkai gambar yang menjadi tumpuan hari ini. Memang benar bingkai gambar itu ada cerita di sebaliknya. Tapi cerita apa? Qalam buntu. Tidak mendapat jawapan apa yang dia cari.
“Aku rindukan saat kita berenam bersama. Macam dulu, Liff.”
Qalam senyap. Dari apa yang dia lihat, Aliff menunduk. Kelihatan mahu menangis. Dia bercakap dengan siapa sebenarnya? Dia sebut ‘Liff’? Qalam bengang. Apa yang sedang berlaku?
Aliff dilihat mula mengatur langkahnya. Qalam segera bertindak. Dia bersembunyi di tempat sepatutnya. Aliff dilihat keluar dari situ.
Qalam senyap. Dia keluar dari tempat persembunyiannya tatkala Aliff hilang dari situ. Otaknya penuh penasaran. Dia mahu mencari jawapan pada persoalan yang melalui mindanya sekarang.
“Apa encik buat di sini?”
Qalam tersentak. Segera memandang belakang. Fuhh... dia menarik nafas lega. Dia ingatkan siapa yang datang menyapa. Rupanya Kak Lina. Pengasuh Cinta.
“Jangan panggil saya ‘encik’. Panggil Qalam cukuplah.” Cover line, itu ayat yang Qalam mampu katakan masa ini.
Kak Lina kelihatan tersenyum pada Qalam. Qalam mula gubra. Tindakannya diperhatikan tadi. Mungkin Kak Lina sedar tentang apa yang dia sedang buat.
“Cari Tuan Muda Aliff?”
“Hah? Ta... ta... tadi dah jumpa dia kat sini. Tak pe...”
Kak Lina memandang Qalam yang mula kalut. Wajah lelaki itu diamati penuh. Memang benar apa yang dia dengar. Lelaki itulah yang selalu mengganggu fikiran Cinta.
“Kak Lina nak ke mana?”
“Nak pergi bilik Cik Cinta. Tuan Muda Aliff pesan bagi Cik Cinta buku ni.”
Mata Qalam mula tertumpu. Buku yang ada di tangan Kak Lina menjadi sasaran pandangannya. Diari. Milik Cinta? Atau milik Aliff?
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu.”
Qalam senyum. Mengangguk perlahan. Niat di hatinya ingin menanyakan tuan empunya diari itu tapi kata akalnya memilih untuk tidak membuka mulut. Apabila Kak Lina mengatur langkah tidak jauh daripadanya, dia dilihat menggerakkan kakinya. Tidak menyangka dia mengekori langkah wanita akhir 40-an itu. Kata hatinya kuat menghasut kata akalnya untuk mengetahui di mana keberadaan Cinta. Mungkin dengan cara itu dia dapat tahu penasaran yang ada padanya.
 Kak Lina dilihat menghentikan langkahnya di sebuah bilik tingkat bawah sekali. Jauh dari sudut rumah banglo mewah milik keluarga Aliff. Qalam bingung. Melihat sekelilingnya, dia semakin bingung. Hanya ada satu bilik di situ. Jauhnya bilik Cinta. Kenapa biliknya tidak berada di tingkat atas seperti semua ahli keluarga Aliff?
Qalam mula bersembunyi buat kali kedua tatkala melihat Kak Lina keluar dari bilik itu. Kak Lina mengatur langkah pergi dari situ tanpa mengesyaki atau melihat Qalam di situ. Qalam mula keluar dari persembunyiannya. Mula mengatur langkah lebih dekat dengan pintu bilik Cinta.
“Awak cari saya?”
Qalam menelan air liurnya. Langkahnya mati serta merta. Suara yang datang menyapa tanpa dijangka akalnya itu datang dari arah belakang. Dia menarik perlahan nafasnya sebelum memusing ke belakang.
Wajah Cinta menjadi tumpuan. Cinta memandangnya sejenak sebelum memandang arah lain.
“Saya... saya... sesat! Saya nak cari dapur. Dahaga. Tapi sampai ke sini pulak.” Alasan itu yang terkeluar dari mulut Qalam.
“Ohh... selamat malam...” ujar Cinta ringkas. Dia terus mengatur langkah ke biliknya.
“Awak!”
Langkah Cinta mati. Qalam memanggilnya.
“Saya nak tanya awak sesuatu boleh?”
Cinta terdiam. Masih tidak berpaling memandang belakang. Ke arah Qalam yang sedang berbicara dengannya.
“Tanya apa?”
“Hah..?” Qalam bengang. Mati kata. Tanya apa? Dia sebenarnya tidak tahu. Terlalu banyak soalan yang ingin dia utarakan tapi dia tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Apa yang penting, dia benar-benar pasti apa yang dia rasa. Ya, dia suka pada gadis itu. Tidak pernah lagi dia berperasaan sedemikian rupa walaupun pada Basyirah.
Cinta kelihatan mula memusing belakang. Qalam menarik nafasnya. Pandangannya Cinta menyekat segala-galanya. Dia sesak dengan nafasnya sendiri.
“Emm... saya... saya...”
Cinta memerhatikan Qalam yang tersekat-sekat ayatnya. Mindanya mula sarat semula. Pandangan Qalam mencipta satu lagi wajah di mindanya. Dia bingung. Semua itu seperti sedang menyerangnya.
“Awak... awak okey?” Qalam segera menyoal. Melihat Cinta seperti bingung seperti dihantui sesuatu. “Awak... awak...”
“Tolong jangan datang...” Cinta mula meracau perlahan dan tiba-tiba lari pergi dari situ. Qalam menjadi semakin panik. Apa yang dia mampu buat hanya satu. Kejar Cinta.
“Awak...!!!”
Cinta terus lari sehingga keluar rumah banglo itu. Qalam masih mengekori lariannya. Akhirnya Cinta berhenti selepas jauh berada di luar rumah.
“Awak...” Qalam memanggil perlahan. Cinta seperti dirasuk sesuatu. Persis orang tidak siuman pun ada juga. Qalam panik. Tidak tahu apa yang mahu dibuat.
“Tolong... jangan muncul lagi... pergi... tolong pergi...”
Qalam memegang Cinta. Sampai terduduk di atas pasir Cinta meracau. Memegang kepalanya yang sarat. Dia seperti sedang diserang sesuatu tapi Qalam tidak tahu. Qalam percaya benda yang menyerang itulah yang selalu datang tatkala dia bertemu empat mata dengan Cinta. Ya, memang benda itu yang selalu ada. Tapi apa benda itu?
“Awak...” dari tadi Qalam memanggil tapi Cinta masih meracau. “Awak...!!!” panggilannya masih tidak dijawab. Qalam semakin panik. “Cinta Nur Alyah..!!!”
Cinta mengangkat pandangannya. Memandang lelaki yang ada di sisinya. Nafasnya semakin kencang. Tangan Qalam pantas ditepis. Tubuh Qalam ditolak ke belakang kuat sehinggakan dia terduduk.
“Awak...!” Qalam memanggil lagi.
Cinta terdiam. Menarik nafas yang menyekatnya. Memandang sekeliling seperti manusia yang kosong mindanya. Kemudian melihat ada Qalam di hadapannya.
“Awak okey?” walaupun jatuh ditolak, Qalam masih menyoal Cinta.
“Saya minta maaf...”
“Awak okey tak ni?”
Cinta hanya mengangguk. Mula bangkit berdiri semula. Qalam juga bertindak sama sepertinya.
“Saya minta maaf...” Cinta memohon maaf sekali lagi atas kekasarannya.
“Tak pe...” selamba Qalam menjawab serentak dengan senyumannya. Tangan kanannya memegang punggung. Tolakan Cinta padanya tadi memang kuat. Punggungnya sakit.
“Awak... awak okey?” giliran Cinta menyoal. Dia memerhatikan semua gerak laku Qalam. Lelaki itu menahan sakit di bahagian punggungnya.
“Hah? Saya... saya okey.”
“Betul?”
“Ya. Awak tolak saya kuat sangat tadi.”
Cinta segera mendekati Qalam. Memang Qalam menahan sakit. Qalam memandang Cinta yang betul-betul berada di hadapannya kini. Muka gadis itu mula risau pula kali ini.
“Awak boleh jalan? Kalau tidak boleh, biar saya panggil Pak Man.”
“Eh... tak pe... saya kena duduk ni. Kita duduk kat sana boleh?”
“Hah?” Cinta terperanjat. Memerhatikan malam yang mula pekat. Qalam di hadapannya pula kesakitan. Dua pilihan yang membuatkan dia tersepit dalam keadaan yang sukar. “Okey. Saya tolong pimpin awak. Kita duduk di sana. Saya selalu lepak sana. Mari saya tolong.”
Qalam terdiam sampai tidak dapat berkata apa-apa dengan pelawaan Cinta. Macam tidak percaya bahawa dia sedang bersama Cinta. Cinta yang ditemuinya sebelum ini lain kerana sering lari darinya. Tapi Cinta yang ini pula lain. Tangan Qalam diambil dan diletakkan di bahu Cinta. Cinta benar-benar menolongnya berjalan kali ini. Qalam seakan-akan berada dalam mimpi. Namun, kesakitan di punggung menyedarkannya semula. Memang benar Cinta di sisinya kini. Memimpinnya berjalan.
“Okey. Kita duduk sinilah. Boleh?”
“Hah? Bo... boleh...” Qalam menjawab tersekat sambil memerhati tempat persinggahan mereka. Tempat ini dia kenal benar. Menurut Aliff dan Alisa, inilah tempat paling istimewa buat Cinta. Entah apa sejarah tempat ini sampai menjadi istimewa, Qalam sendiri tidak tahu kerana tiada siapa yang pernah membuka mulut tentang itu.
“Sakit?”
“Hah?” Qalam tidak mengerti.
“Maksud saya, sakit sangatkah?”
“Ooo... kalau dah duduk sekejap, okeylah semula tu.”
“Emm... saya minta maaf.”
“Bukan salah awak pun.”
Cinta memandang Qalam. Hatinya dihimpit pelbagai perkara. Jauh di sudut hatinya dia mahu berbicara dengan lelaki itu sejak dulu lagi. Tapi keadaan benar-benar tidak mengizinkan dia berbuat sedemikian.
“Boleh ke saya duduk rehat kat sini? Saya dengar tempat ni...”
“Boleh.”
Qalam senyap. Ayatnya yang tidak sampai ke titik noktah itu sudah dijawab pantas oleh Cinta.
Keadaan kemudiannya senyap. Hening membiarkan suasana malam menemani mereka. Suara ombak di hadapan mula mengisi ruang.  Qalam mengalihkan pandangan memandang wajah Cinta yang duduk di sebelah kanannya. Cinta memandang langit malam yang dipenuhi dengan jutaan bintang. Indah. Wajah Cinta seindah ciptaan bintang-bintang di langit yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Tatkala Qalam pula mengalihkan pandangannya ke langit, Cinta pula mengalihkan pandangannya ke muka Qalam. Kenapa ciptaan-Mu ini muncul di ruang hidupku ya-ALLAH? Sejak bertemu Qalam kali pertama, persoalan itulah yang sering bermain di mindanya.
“Awak pernah tinggal di Sabah?”
Qalam segera mengalihkan pandangannya ke arah Cinta semula. Cinta menyoalnya buat kali pertama.
“Pernah.”
Cinta menelan air liurnya. Jawapan Qalam memberikan penasaran pada perasaannya.
“Pernah bersekolah di sini?”
“Pernah. Tapi tak lama. Saya tak ingat sangat. Benda lalu banyak yang saya dah lupa.”
“Awak lupa? Maksud awak... hilang ingatan?”
“Hah?” Qalam bengang. “Saya tak ingat sangat semuanya. Apa yang saya ingat, dulu saya pernah kena pukul. Banyak benda yang saya lupa.”
“Pukul?”
“Semasa kat sekolah dulu, saya ni nakal sikit. Semua orang gelar saya raja segala kejahatan. Satu hari tu saya bergaduh dengan satu geng tu sampai saya kena pukul teruk. Time tu saya kat Singapura.”
“Singapura? Bukan di Sabah?”
“Tak. Saya ke Sabah kira jalan-jalan je. Dulu saya pernah sekolah kat Labuan. Hanya untuk tiga minggu. Saya nak lari dari family saya sebenarnya. Sayakan budak nakal. Asyik lari je. Bila family saya dapat kesan saya kat sana, terus saya dihantar pulang ke Brunei. Nasib ada Basyirah, dia yang tolong pujuk Bonda saya untuk sekolah semula kat Singapura. Kalau tak, dah tentu saya kena tinggal kat Brunei.”
Cinta senyap. Mendengar cerita Qalam, dia mengerti. Memang dia tahu Qalam berasal dari Brunei tapi belajar di Singapura. Dia juga sering berada di Malaysia dan tidak hairanlah dia kelihatan persis seperti orang Malaysia. Ramai juga yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya bukan warganegara Malaysia.
“Betulkah nama awak Qalam?”
Qalam tersentak. Memandang Cinta dengan rasa hairan. Tiba-tiba menyoal sesuatu yang lari dari cerita sebelum ini.
“Hah? Apsal awak tanya saya benda pelik-pelik ni?”
“Kenapa muka awak sama dengan dia? Suara awak, perangai... semuanya sama.”
“Hah..?” Qalam semakin bingung.
“Dia tinggalkan saya...”
Qalam terdiam. Cinta sudah membuka mulut. Walaupun cerita itu tiba-tiba terkeluar dari topik sebenar, tapi dia cukup yakin. Ya, ini cerita yang ingin dia dengar. Qalam pasti ‘benda’ itulah yang sering hadir mengganggu mereka berdua tatkala bertemu. Cerita itulah yang akan merungkai segalanya.
“Namanya Aliff...”
“A... Aliff..?” Qalam terperanjat. Segera menyoal. Tangannya menunjuk ke dalam rumah. Mengisyaratkan Aliff, kawannya iaitu abang Cinta.
“Bukan Abang Aliff...”
Qalam terdiam. Otaknya mula berputar dengan laju menganalisis segala benda yang pernah berlaku. Akhirnya otaknya jumpa satu jawapan. Bilik lepak dan jamming Aliff dan gengnya. Ya. Bilik itu ada kaitan dengan semua ini. Pasti!
“Awak ikut saya!”
Hujung lengan baju berlengan panjang milik Cinta ditarik oleh Qalam. Cinta terperanjat. Qalam membawanya pergi dari situ. Keadaannya sihat sahaja. Tidak sakit seperti mana dia katakan tadi. Namun, baju Cinta erat dipegang Qalam. Dia tidak mampu berbuat apa-apa masa ini. Terpaksa ikut sahaja rentak Qalam.
Cinta terperanjat tatkala mereka menghala ke tingkat atas. Kerisauannya menjadi nyata tatkala Qalam mengheretnya masuk ke bilik jamming. Dia tidak mampu mengelak. Akhirnya dia sampai di situ. Ya, dia masuk dalam bilik jamming itu!
“Semua ini pasti ada kaitan, kan?” Qalam menyoal. Lengan baju Cinta dilepaskan.
Cinta diam. Menarik nafasnya perlahan.
Qalam memandang Cinta tajam sambil mengundur memberi ruang pada Cinta. Tiba-tiba dia terpijak kain putih di hujung lantai. Bunyi kain koyak kedengaran. Qalam memandang pada kakinya.
Tirai di atasnya terbuka serta merta tatkala ianya koyak di bahagian atas. Qalam mula memusingkan badannya melihat belakang. Matanya membulat besar melihat apa yang muncul di hadapan matanya. Kakinya terundur ke belakang tanpa disedari.
Cinta menutup mulutnya menggunakan tangan kanan. Sebak ditahan namun air matanya sudah menitik laju ke pipi.
“Sayakan dah cakap, muka awak sama dengan dia. Tengok betul-betul semua gambar tu. Awak puas hati sekarang?”
Qalam terpampam. Terlalu banyak gambar di dinding itu. Semua muka Aliff dan gengnya termasuk Cinta. Apa yang menarik perhatiannya adalah satu ruang yang tertulis ‘Nota Cinta: Aliff Hamdie & Cinta’ yang memaparkan muka Cinta dan seorang lelaki. Jadi dialah Aliff. Aliff Hamdie! Salah seorang daripada geng mereka.
“Kenapa muka dia...?” Qalam tersekat. Ayatnya belum habis tapi dia tidak dapat menyambungnya lagi. Dia bingung dengan apa yang ada terpampang di hadapannya. Semua sukar diterima olehnya.
Hening sudah hampir setengah jam. Cinta dan Qalam masing-masing sudah mengambil posisi. Sudah setengah jam masa berlalu. Masing-masing senyap. Cinta duduk atas sofa yang terletak di hujung dinding. Qalam di sofa sebelahnya.
“Pertama kali saya jumpa awak semasa kat koperasi kafe. Saya ingatkan Aliff Hamdie muncul semula. Mendengar suara dan melihat perangai bongkak awak, saya semakin yakin awak adalah Aliff Hamdie. Semua sama. Terus terang saya cakap, saya ingatkan awak adalah dia. Bila mendengar orang kata nama awak Qalam, saya tidak percaya. Sehingga saya tanya awak tadi baru saya yakin yang awak benar-benar manusia yang bernama Qalam tapi mempunyai wajah persis dengan Aliff Hamdie.”
“Awak couple dengan Aliff Hamdie?”
Cinta memandang wajah Qalam. Menarik nafas sebelum siap sedia menjawab. Jawapannya sangat penting kerana Qalam sudah terlibat dalam hal ini.
“Masa form 2, saya jumpa dia buat pertama kali bila saya dinaikkan kelas yang sama dengan dia. Tapi pertemuan pertama kami bukan dalam kelas itu tapi dalam bilik guru. Saya terlanggar bahu dia sampai barang yang ada di tangannya jatuh ke lantai. Dia maki hamun saya time tu jugak...”
********************************************************************************
“AWAK butakah, hah?”
Cinta tersentak. Suara lelaki di hadapannya seakan-akan menolak mukanya sehingga dia tertunduk takut. Dia ingin menangis kerana benda paling dia takut adalah orang mengherdiknya.
“Saya minta maaf,” dengan nada ketakutan, Cinta memohon maaf.
“Maaf? Saya pantang dengar orang minta maaf. Awak faham?!”
Cinta tunduk. Takut.
“Nak nangis? Eee... perempuan ni, kena tampar sekali baru tau! Hah, kalau dah langgar orang tu, faham-fahamlah. Ambilkan surat saya yang awak telah jatuhkan tu. Cepat!”
“Tapi saya terlanggar awak. Saya tidak sengaja dan tak tau surat itu akan jatuh.”
“Hei, awak berani melawan saya? Awak tak kenal dengan saya?”
Cinta terperanjat. Herdikan lelaki di hadapannya itu kuat sangat.  Dia mula tunduk mengutip surat di lantai. Mata Cinta sempat membaca tulisan pada sampul tersebut. Surat dari pengetua.
“Cepatlah sikit!”
Cinta berdiri semula. Menghulurkan surat yang dikutipnya melalui tangan kanan yang bergetar-getar sama dengan tubuhnya.
“Sekali lagi saya jumpa awak, saya akan buat apa yang patut! Awak paham?!”
Cinta tersentak beberapa kali. Lelaki itu pergi segera selepas meninggalkan pesan berbentuk amaran. Sempat dia melihat nama yang terlekat di baju sekolah lelaki itu. Aliff Hamdie.
********************************************************************************
QALAM melihat wajah Cinta. Cinta benar-benar sudah membuka cerita yang selama ini membuatkan semua orang tertunggu-tunggu. Raut wajah Cinta kelihatan tenang walaupun pada dasarnya dia menghadapi keadaan yang paling sukar dalam hidupnya. Dia terpaksa berhadapan dengan semua benda yang cuba dilupakannya.
“Cara saya kenal Aliff sama macam saya kenal awak. Awak herdik saya jugak hari tu.”
Qalam terkena. Ayat Cinta benar-benar mengungkit peristiwa lalu. Sindirian Cinta terlalu mengena dengannya.
“Saya... saya minta maaf...”
Cinta memandang muka Qalam perlahan. “Buat apa minta maaf?”
“Saya memang buruk perangai. Terlalu ikut kepala ni sampai suka panas baran dengan semua orang termasuk pada awak.”
Cinta tersenyum singkat. Dia dilihat memandang hadapan semula. Dinding di hadapannya dipandang seribu makna. Qalam memerhatikannya. Cinta terlalu sayang dengan lelaki itu. Dia menafsir.
“Hari pertama saya di kelas baru, saya tak tau nak duduk kat mana. Kebetulan Abang Aliff di kelas yang sama. Dia suruh saya duduk di sebelahnya...”
****************************************************************************
ALIFF HAMDIE memandang kerusi tempat duduknya. Ada beg di situ. Dia bingung. Kepalanya memandang kiri dan kanan. Semua orang sudah duduk di tempat masing-masing. Dia mula bengang. Memang ada manusia yang cuba cari gaduhnya dengannya pagi-pagi ini.
“Beg siapa ni?”
Hardi memandang Aliff Hamdie. Dia memandang kerusi milik sahabatnya itu. Memang ada beg di situ.
“Liff, aku pun baru sampai sekolah macam kau. Kau ni pun, cubalah kau tanya orang lain bah. Mungkin diorang tau beg siapa ni.”
Aliff Hamdie terkena. Soalannya tidak terjawab oleh Hardi. Dia terlupa bahawa dia terjumpa Hardi di pintu pagar sekolah ketika masuk tadi. Hardi juga baru sampai sama sepertinya.
“Hah, tu Aliff!” Hardi menunjuk arah Aliff yang baru masuk ke dalam kelas. Aliff Hamdie memandang ke pintu. Matanya membulat apabila memandang perempuan di belakangnya. Perempuan itu perempuan di bilik guru kelmarin.
Aliff menghampiri dua sahabatnya dengan senyuman. Perutnya sudah kenyang diisi dengan roti sandwich yang dibeli di kantin tadi.
“Kau dari mana?” Hardi menyoal.
“Kantin. Aku lambat bangun tadi. Papa aku hari ni awal pulak nak pergi kerja. Sarapan pagipun aku tak sempat nak sentuh ya. Nanti kebulur pulak aku dalam kelas nanti.” Aliff menjawab sambil berlawak.
“Wei, beg siapa ni? Berani-berani ambil tempat aku!” Aliff Hamdie terus membuka cerita. Dia marah.
Aliff terdiam. Dia memandang belakangnya. Cinta mula panik. Aliff mengerti apa yang dirasakan Cinta.
“Itu be... beg... beg saya...”
Hardi dan Aliff Hamdie serentak memandang perempuan yang berdiri di belakang Aliff. Cinta mengatur ayatnya dengan nada bergetar.
“Walaupun hari ni semester ke dua baru bermula, kerusi dan meja yang terletak kat belakang sekali ini hanya milik Aliff Hamdie bin Imran. Semua orang sudah mengerti dan tidak ada yang berani datang atau duduk di situ. Sekarang awak faham atau tidak?”
“Tapi...”
“Saya sudah bagi muka dengan awak di bilik guru kelmarin. Jangan sampai hari ni penampar saya sampai di muka awak. Awak faham?”
Hardi dan Aliff berpandangan satu sama lain. Kelmarin? Teringat cerita Aliff Hamdie. Dia memang ada bercerita dengan mereka tentang insiden dia bertemu pelajar perempuan di bilik guru.
“Ta cari tempat duduk lainlah, Abang Aliff.” Ujar Cinta lembut. Aliff senyap. Dia serba salah pada Cinta. Dia yang menawarkan tempat duduk itu pada Cinta. Sekarang Aliff Hamdie, sahabatnya tidak mahu beralah dengannya.
Hardi memandang Aliff Hamdie. Kemudian memandang Aliff pula. Kedua-dua sahabatnya yang mempunyai nama yang hampir sama itu membingungkan kepalanya awal pagi ini.
Aliff Hamdie senyap. Abang Aliff? Ayat itu yang membingungkannya.
“Ta...” Aliff memanggil Cinta.
Cinta senyum kelat. Begnya diambil. Dia terus mengatur langkah. Aliff diserang serba salah. Sorang sahabatnya. Sorang lagi adiknya.
“Abang Aliff?” Aliff Hamdie menyoal.
“Kelmarin dia masih kat kelas 2E. Result examnya baik jadi hari ni dia naik kelas ke kelas kita. Dia tidak ada tempat duduk, jadi aku suruh duduk sebelah aku ni. Aku ingat kau nak duduk di depan tu. Jadi aku suruh dia duduk sini.” Aliff menerangkan.
“Wei, sejak bila aku cakap nak pindah? Kita dari form one lagi duduk bertiga dan semua orang tahu benda tu.”
“Bukan kau cakap nak duduk dengan Jes bila semester dua bermula?”
“Kau tidak mengertikah Liff? Aku dan Jes kan sudah break?”
“Aku lupa.”
“Kau belum jawab aku lagi Liff. ‘Abang Aliff’? Apa maksudnya?”
Aliff memandang dua sahabatnya yang mula dikenali sejak tahun lalu. Sejak tingkatan satu mereka bertiga duduk di kelas yang sama. Sejak itulah tali persahatan mereka terjalin dengan eratnya. Persis seperti adik-beradik.
“Dia adik aku.”
“Hah? Kau tidak pernah ceritapun...” Hardi bersuara. Terkejut beruk mukanya sama seperti Aliff Hamdie.
“Aku lupa.”
“Lupa? Teruk betullah kau ni...” ujar Hardi lagi.
“Nama dia siapa?”
“Cinta Nur Alyah...”
“Apa? Alyah?” Aliff Hamdie bengang. Tidak dapat menangkap apa yang diperkatakan Aliff pada mereka kerana terlalu laju.
“Aku sayangkan dia sangat-sangat. Lepas ni kau jangan nak tengking dia lagi...” nada Aliff serius. Dia memberi amaran pada ALiff Hamdie.
What?”
Aliff tidak memperdulikan apa lagi yang mahu diperkatakan oleh Aliff Hamdie. Dia mula pergi dari situ.
“Apa jadi dengan dia tu? Selama ni tak ada satu orangpun yang berani cakap macam tu dengan aku.” agak marah juga Aliff Hamdie bila dia diperlakukan sedemikian rupa oleh sahabatnya. Selama ini semua orang tunduk padanya tapi kini sahabatnya sendiri berkata kasar dengannya.
“Kau pun satu. Aliff ingat kau betul-betul nak pindah. Dia pun satu. Lupa yang kau dah break. Hah, kamu berdua ni salah. Tapikan Liff... Kalau kaulah berada di tempat Aliff, aku halau Lisa tu dari tempat duduk yang dia tak tau bahawa tempat tu rupanya sudah ada pemiliknya. Kau mesti marahkan sebab Lisa tu kakak kembar kau. Sekarang, sekali lagi aku tegaskan yang kau cuba letak dirimu dalam situasi dia. Kau mesti dah fahamkan. Satu lagi, kesian adik Aliff tu. Kau marah dia tanpa sebab. Aku tengok dia dah panik nak tengok muka kau lagi ya.”
Aliff Hamdie senyap. Memikirkan apa yang telah diperkatakan Hardi padanya. Dia memandang ke arah Aliff yang sedang bersama adiknya. Adik Aliff ditenung sedalam-dalamnya.
****************************************************************************
CINTA bangun dari kerusi. Kakinya mengatur langkah. Bingkai gambar yang diletakkan di atas meja dicapainya. Muka mereka berenam ditenung. Rindu yang teramat.
“Selepas kejadian tu awak dan Aliff Hamdie jadi musuh atau berbaik?”
Cinta masih teguh memandang gambar di hadapannya. Tidak ada tanda mahu menoleh ke belakang melihat Qalam yang menyoalnya.
“Dunia ni kecil. Sehari selepas saya pindah tempat duduk, saya berkenalan dengan seorang pelajar perempuan..”

“NAMA saya Alisa. Panggil Lisa cukuplah. Awak... Cinta?”
Cinta bingung namun sempat mengangguk. Dia kenal aku?
“Awak adik Aliff, kan? Saya kenal. Saya kakak kembar Aliff Hamdie. Sayalah yang duduk sebelah awak. Kelmarin saya tak hadir. Demam.”
“Ohh...” itu sahaja yang Cinta dapat lafazkan. Diperhatikan Alisa di hadapannya. Memang cukup ramah. Berbeza benar dengan adik kembarnya.
Tiba-tiba tangan Cinta tersentuh sesuatu di lacinya. Ada kertas. Dia menunduk. Kertas berwarna biru diambil. Benda apa ni? Siapa pulak letak nota dalam laci aku ni?
Saya minta maaf atas semua perbuatan saya pada awak dari pertama kali kita bertemu. Saya harap awak sudi maafkan saya dan saya ikhlas.
Aliff Hamdie
Alisa memerhatikan Cinta. Namun apa yang menarik perhatiannya, kertas di tangan Cinta. Dia kenal benar kertas itu datangnya dari mana. Dari buku adiknya!
“Apa tu?”
“Hah?” Cinta tersentak dengan soalan Alisa. “Tiada apa-apa.”
“Betul?”
“Ya.”
“Tu kertas dari buku Aliff Hamdie. Lisa tau buku mana dia koyak tu. Kenapa ada dalam laci Cinta?”
“Hah?” Cinta bungkam. Dia mati akal. Menipu bukan kepakarannya.
Alisa segera bertindak. Nota yang dipegang Cinta segera dirampas. Laju membaca setiap perkataan yang tertulis di atas kertas.
“Biar betul? Dia minta maaf? Ya Allah, Lisa respectlah dengan Cinta. Aliff Hamdie paling pantang minta maaf walaupun dengan Lisa sendiri. Ni semua... macam susah nak percaya!”
****************************************************************************
BINGKAI gambar yang dipegang tadi disimpan semula di tempat asalnya. Cinta menahan air mata dari jatuh. Kenangan lama mula terimbau segar di mindanya. Terlalu sukar untuk berhadapan dengan hakikat ini.
“Sejak peristiwa nota pertama itu, semuanya berubah. Setiap hari saya sampai ke kelas, ada sahaja nota. Setiap hari akan ada sehelai nota. Sampai kami ada perasaan suka antara satu sama lain. Kerana nota-nota itu semua, kami digelar pasangan ‘nota cinta’ di sekolah.”
Qalam memerhati penuh Cinta. Permulaan cerita sebegini sudah menarik perhatiannya. Patutlah ruang di dinding itu ditulis ‘Nota Cinta: Aliff Hamdie & Cinta’. Rupanya itulah sejarahnya.
“Tentu dia terlalu istimewa untuk awak sebab kamu couple dah lama. Sekarang, awak dah putus dengan Aliff Hamdie? Saya tidak pernah nampak dia sejak sampai sini.”
Cinta terkedu. Menarik nafas untuk mencari kekuatan pada dirinya. Beberapa saat selepas itu dia menoleh ke wajah Qalam yang masih duduk di kerusi. Lelaki itu tidak tahu cerita ini sedikit pun.
“Ta..?” mereka berdua tersentak. Serentak memandang ke arah pintu di mana suara itu datang. Aliff ada berdiri di situ.
Aliff seperti bermimpi. Dia terkejut melihat Cinta berada di situ. Beberapa kali dia menggosok matanya. Sebentar tadi dia lalu berhampiran bilik itu. Telinganya seakan-akan tidak mahu percaya bahawa dia mendengar suara Cinta di tingkat itu. Langkah perlahan diatur sehinggalah dia masuk melihat sendiri memang ada Cinta di situ.
Cinta mula bingung. Wajah Qalam memberi tekanan padanya. Kepalanya sakit kerana mula dihantui dengan beberapa suara yang memanggil. Muncul bayangan itu semula di belakang Qalam. Dia semakin buntu.
“Al...”
Cinta menarik nafasnya laju. Kedua-dua tangannya memegang kepala yang semakin sarat dan pusing dihantui bayangan yang memanggil namanya.
“Ta...” Aliff memanggil nama Cinta. Perubahan yang dialami Cinta dapat dihidu olehnya. Dia segera mengampiri. Cinta mula hilang kawalan lagi.
Qalam yang masih duduk di kerusi pula mula panik. Sekali lagi Cinta berkelakuan pelik sama seperti tadi. Dia mula bangkit dan menolong Aliff yang sedang cuba menenangkan Cinta yang kelihatan seperti dirasuk hantu.
“Awak... !!” Cinta tiba-tiba berteriak. Aliff dan Qalam yang ada di sisinya memandang serentak ke belakang di mana Qalam berdiri. Cinta seakan-akan memanggil seseorang di situ.
“Ta, sudah!” Aliff cuba menenangkan. Dia tahu apa sebabnya Cinta seperti ini.
“Awak tinggalkan saya. Awak tipu. Awak sudah janji dengan saya...!!!” persis wanita ditinggalkan suami Cinta melalak berteriak.
“Ta, sudah!!! Aliff sudah tiada. Jangan percaya bayang-bayang itu lagi.” Dengan cara itu Aliff bertindak. Hanya itu yang mampu dia lakukan.
Qalam tersentak. Dia semakin bingung dengan drama yang ada di hadapannya. Kemunculan Aliff menambah watak dalam cerita malam ini. Ceritanya semakin keliru dan kompleks. Sukar untuk dia fahami tanpa sebarang penjelasan.
“Ta nampak dia. Tolong Ta, Abang Aliff. Tolong halang dia. Dia nak tinggalkan Ta lagi... Tolong Ta...”
Qalam memerhatikan Cinta. Gadis itu menangis merayu pada Aliff. Ikutkan hatinya, dia yang ingin menolong. Tapi masalahnya, pertolongan apa yang boleh dia hulurkan?
“Ta... tolong jangan begini lagi...” Aliff pula yang merayu kali ini.
Cinta terdiam. Air matanya jatuh ke pipi setitik demi setitik. Tiada kedengaran suara tangisan. Matanya meliar perlahan. Entah apa yang dia pandang. Perlahan-lahan dia terduduk.
“Ta...” Aliff memanggil nama Cinta lembut. Cinta tidak memberi respon padanya. “Ta, ni abang Aliff...”
Qalam memandang Cinta. Gadis itu hanya diam. Aliff yang bercakap di hadapannya seakan angin yang meniup. Tiada sebarang respon dari gadis itu. Dia semakin pelik. Banyak perkara yang masih dia tidak faham dengan apa yang dia lihat.
Aliff memandang ke pintu tatkala menyedari beberapa orang datang ke bilik itu. Basyirah yang hairan dilihat berdiri di sebelah Ryan yang berkelakuan sama sepertinya. Beberapa saat kemudian, muncul Kak Lina, Papa dan Mamanya yang segera meluru ke arahnya dan Cinta.
“Ta... “ Ariyanshah memanggil Cinta. Tiada respon juga diberikan padanya. “Liff, kenapa dengan Ta? Kenapa dia boleh di sini?” dengan nada panik, Ariyanshah menyoal anak terunanya.
“Aliff tak tau, Pa. Aliff datang, dia sudah jadi begini.”
“Lina, tolong call Dr. Aniza. Suruh dia datang cepat. Kalau dia tak da kenderaan, suruh Pak Man ambil.” Ariyanshah memberi arahan. Kak Lina mengangguk dan terus mengatur langkahnya. Ariyanshah kemudiaannya dilihat segera memapah tubuh Cinta keluar dari situ.
Qalam terdiam. Dia terkejut dengan apa yang dialaminya malam ini. Basyirah dan Ryan juga terkedu sehinggakan semuanya senyap tanpa sebarang kata. Hanya Aliff ada jawapannya ketika ini. Dia pula dilihat mengatur langkah pergi membuntuti langkah Papanya.


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^