Bab 13
HARDI berdiri di sebelah Aliff. Leby yang datang bersamanya kelihatan mengatur
langkah masuk ke dalam rumah. Mendengar dari mulut perempuan itu tadi, dia mahu
menyusul tindakan Alisa. Entah apa yang hendak disusulinya, Hardi sebenarnya
masih kurang faham dengan apa yang dikatakan oleh perempuan itu.
Aliff menjeling
dua saat pada Hardi yang tiba-tiba di sebelahnya. Pandangannya kemudian kembali
melihat laut malam yang sedang terbentang luas di hadapan mata.
“Papa kau mana,
Liff?” Hardi menyoal. Biasanya bila Ariyanshah ada di rumah, jangan harap
mereka akan berkumpul seperti sekarang. Dia masak benar dengan Papa Aliff.
“Tiba-tiba ada meeting malam ni. Kenapa tanya?” Aliff
menyoal sambil memandang muka sahabatnya.
“Aku sudah agak.
Kalau Papa kau ada, dia tidak akan benarkan kita lepak di luar ni.”
Aliff tersenyum
mendengar apa yang dinyatakan Hardi sebentar tadi. Memang sah Hardi sahabatnya.
Dia kenal benar perangai Papanya. Memang sudah masak dengan semua itu.
“Aku ingat lagi
masa kita lepak-lepak di sini dari petang sampai malam. Manalah kita sedar hari
sudah malam sebab syok bercerita. Punyalah dia marah dengan kita time tu. Hampir dia keluarkan senapang nak
tembak kami. Apa Papa kau cakap hari tu? Apa
lepak-lepak sampai malam di luar rumah ni? Tidak ingat nak balik rumah? Aku
tembak satu-persatu baru padan muka kamu semua!”
Terburai ketawa
Aliff yang mendengar. Hardi yang mengungkit cerita dua tahun lalu kelihatan
berusaha mengajuk ayat Papanya dengan nada dan gaya sekali.
“Kau pun masak
dengan Papaku. Dia tu dengan anak sendiripun dia tegas. Aku lambat pergi meja
makan sarapan pagi pun boleh kena hukum. “
“Nasib baik bapak
aku bukan tentera macam Papa kau. Kalau ya, hidup ini penuh dengan disiplin,
ketegasan dan peraturan. Huhhh.. ndak sanggup aku..”
Aliff senyum
dengan Hardi. Terburai semula ketawanya. Hardi ingat apa yang dia selalu
katakan. Memang ayat yang sama terkeluar. Disiplin, ketegasan dan peraturan.
Dengan perkataan itulah dia hidup di dunia ini. Ayat itu tidak pernah lekang
dari bibir Papanya.
“Ta... kenapa
dengan dia?”
Aliff
menghentikan gelaknya. Memandang ke hadapan semula. Memang pandai Hardi
mengumpan situasi kali ini. Mula-mula mahu berlawak. Rupanya mahu bertanyakan
cerita pasal Cinta.
“Kenapa tanya?”
“Kau ni
balik-balik ulang soalan yang sama...”
“Memang itu yang
aku nak soal kau.”
“Okey...” Hardi
pasrah. “Aku tidak pernah tengok Cinta lagi sejak kamu pergi UUM. Dia okey?”
“Macam kau tidak
tahu. Tapi... kalau nak dibandingkan dengan yang dulu, sekarang lagi okey
sikitlah. Tapi entahlah, sejak dua menjak ni dia selalu menulis balik di
bukunya. Duduk kat luar sendiri-sendiri dari pagi sampai petang dan
kadang-kadang sampai malam. Selalu buat kerja sendiri. Depan Papaku jak dia
bersuara. Lepas tu dia mula hilang-hilang. Biasalah...”
Hardi terdiam.
Dia tahu kenapa mereka lepak di luar dan tidak di tempat biasa. Mahu ditanyakan
kenapa pada Aliff, dia sudah tahu alasannya. Jadi, dia bertindak berdiam dari
menyoal.
“Aku tengok Lisa
dah berubah...” Hardi menyambung cerita lagi. Semasa dia dan Leby sampai tadi,
dia disambut oleh Alisa. Melihat gaya dan tingkah laku gadis itu, dia kelihatan
lebih matang dan tidak lagi seperti sebelum ini.
“Aku pun terkejut
jugak. Dia siap jumpa Cinta petang tadi. Aku tengok diorang berpelukan. Dia
siap pegang tangan Cinta. Keakraban diorang tu macam dulu semula tapi ini versi
lain sikit. Versi Lisa yang lebih matang.” Aliff pula memberi pendapatnya.
Masing-masing senyap
selepas itu. Tidak tahu mahu bicarakan hal apa lagi. Masing-masing kelihatan
berfikir. Menganalisa perkara yang telah berlaku. Semuanya sudah lain. Berubah.
Tapi Cinta? Kenapa dia kembali menyendiri? Itu yang merunsingkan mereka berdua.
“Assalamualaikum.
Kami ganggu tak ni?”
Aliff dan Hardi
tersentak. Masing-masing memandang serentak ke belakang. Ryan dilihat mengatur
langkah ke arah mereka. Di belakangnya ada Qalam.
“Waalaikumsalam. Mana
ada ganggu. Hah Hardi, nilah kawan-kawan aku yang aku bawak dari UUM. Yang itu
Ryan. Tu Qalam. Emm... yang ni kawan baik aku di dunia. Namanya Hardi.”
Hardi tersenyum
kerana dia mendengar dialah kawan baik Aliff di dunia. Pandai pula Aliff berkata-kata
di sesi perkenalan kali ini.
“Hai. Ryan.
Panggil je Yan.” Ryan bertindak seperti biasa. Bab bercakap dahulu, dia memang
mahir. Terus disalam tangan lelaki yang baru dikenalinya itu. Namanya Hardi.
“Qalam...”
bersuara juga Qalam menyebut namanya. Dia memerhati penuh lelaki yang baru
disalamnya. Mukanya ada dalam bingkai gambar yang dilihatnya petang tadi. Ini
bermaksud sudah lima orang dalam bingkai gambar itu yang ditemuinya. Sebentar
tadi dia terjumpa perempuan yang bernama Leby. Ini bermakna semua perempuan
yang ada dalam bingkai gambar itu sudah ditemuinya. Cinta, Alisa dan Leby.
Sekarang bertemu pula dengan Hardi. Ini bermaksud tinggal seorang lelaki lagi
yang dia belum jumpa. Mesti dia belum datang atau tidak akan hadir malam ini.
“Jadi ini semua
budak-budak pendidikanlah ni. Bakal jadi cikgu,” Hardi bersuara membuka topik.
Dia memang kaki bercerita. Persis dengan Ryan.
“Aamiin...” Ryan
mengaminkan ayat Hardi. Berharap mulut Hardi masin.
“Dah lama ke kamu
berdua kenal? Aku nampak dah macam adik-beradik.” Ryan menyoal. Melihat
keakraban Aliff dengan Hardi, dia perasan Aliff tidak pernah melayan mereka
sedemikian rupa sebelum ini. Walaupun mereka bersembang sedikit sahaja, tetapi
cara Aliff tergelak tidak sama sama sebelum ini. Berjumpa kembali dengan
gengnya, Aliff mula menunjukkan dirinya yang sebenar. Mengeluarkan cerita sebenar
yang terbuku sebelum ini. Baru saat ini mereka dapat mengenali siapa sebenarnya
Muhammad Aliff yang mereka kenali sejak minggu orientasi.
“Kami kenal sejak
kecil lagi. Tahun satu tak silap. Aliff ni, kamu jak yang tidak kenal. Punyalah
pembuli. Akulah orang yang selalu dibulinya dulu. Tapi bila aku tau dia anak
tentera, akupun tercabar jugak. Patutlah dia berlagak, rupanya anak tentera.
Aku pun pergi rancang nak belasah dia. Bila nak belasah dia tu, aku baru tau
dia ni tidak ada kawan kerana tiada orang berani mau tegur anak tentera ni.
Timbul rasa kesian, aku jinak-jinakkan diri dekat dengan dia. Baru aku tau dia
ni memang sekepala dengan aku. Sejak tu kami jadi kawan baik.”
Aliff memandang
Hardi. Dia mengungkit cerita lama. Nampaknya pekung di dadanya mula terbongkar
kini dengan adanya Hardi. Pasti Hardi boleh menjadi orang yang boleh
menceritakan semuanya. Mulutnya memang susah mahu ditutup mahupun dihalang.
“Aku tak taupun
Papa kau tentera, Liff. Patutlah garang semacam,” Ryan menambah.
Aliff memandang
Hardi. Geram. Nampaknya Ryan dan Hardi memang sukar mahu ‘dikawal’ kali ini.
Mula menembaknya dengan cerita yang baru dibuka. Hanya Qalam senyap mendengar.
“Disiplin,
ketegasan dan peraturan. Itulah motto dalam rumah Aliff ni. Mesti dituruti. Siapa
yang ingkar, akan dijatuhi hukuman.” Hardi semakin galak menambah. Nampaknya
Ryan mula menghamburkan suara tawanya. Qalam dilihat tersengih.
“Memang teruk kau
kerjakan aku ya, Hardi.” Aliff berkata pasrah.
“Aku tau kau
tidak akan cakap apa-apa sebab kau setuju dengan apa yang aku cakapkan?” Hardi
mengumpan Aliff. Dia tahu itu kelemahannya.
“Okey kawan. Aku
pun malas nak hidup begini tapi aku kena hadapi jugak. Dia tetap Papaku yang
aku sayang...”
Semua orang
ketawakan Aliff yang kalah mudah di tangan Hardi. Memang lucu raut wajahnya.
“Kamu tak taukah
Papa Aliff ni ketua Komander TLDM?” Hardi menyambung lagi.
“Hah? Biar
betul?” Ryan terkejut beruk. Memandang Qalam segera. Qalam juga terperanjat.
“Kamu tak tau?
Kesiannya...” sempat berlawak Hardi di hujung ayatnya.
“Kenapa selama
ini kau tak bagitau kat kitorang Liff?” Ryan segera menyoal Aliff.
“Hah..? aku rasa
tidak pentingpun nak bagitau. Hardi ni yang suka over-overkan cerita. Benda tu pun nak bagitau orang.” Aliff sedikit
geram. Hardi benar-benar sudah memulakan cerita.
Ryan memandang
Qalam sekali lagi. Patutlah macam pernah nampak Papa Aliff sebelum ini. Rupanya
pegawai tentera laut di-Raja. Mukanya sinonim dengan banyak orang. Memang
sebelum mereka ada melihat gambar Papa Aliff berpakaian tentera tergantung di
ruang tamu utama rumah. Tidak sangka pula dia seorang komander TLDM. Memang
tidak disangka-sangka.
“Rancak berbual.
Kami nak joint jugak!”
Aliff, Hardi,
Ryan dan Qalam memandang belakang serentak. Muncul empat gadis di situ. Leby,
Alisa, Cinta dan Basyirah. Perbualan terhenti tiba-tiba.
“Aik, stop pulak...” Leby meneruskan
kata-katanya. Pelik melihat semua orang memandang tepat pada mereka berempat.
“Hai. Saya Leby...” Leby bijak mengawal keadaan. Dia memperkenalkan dirinya
kepada Ryan dan Qalam yang baru pertama kali dilihatnya.
“Dia buah hati
manusia ni,” Aliff segera bersuara. Hardi ditunjuknya. Semua orang melihat
Hardi dan Leby.
“Patutlah mesra
semacam.” Ryan bersuara semula.
“Kau kenakan aku
balik ya, Liff!” Hardi menyoal dan memandang tepat muka Aliff.
“Siapa yang
mulakan dulu?”
Ryan dan Qalam
tersengih. Pandai juga Aliff melawan. Melihat telatah mereka berdua, memang sah
mereka sahabat. Melalui pandangan mata Aliff sahaja semua orang tahu mereka itu
seperti ada satu ikatan yang sukar mahu dileraikan. Ikatan yang istimewa itulah
membawa persahabatan kukuh antara mereka.
***************************************************************************
QALAM memerhati laut malam yang terbentang
luas di hadapannya. Memang nyaman. Tidak hairanlah bila rumah Aliff ini selesa.
Kedudukannya yang betul-betul berhadapan laut sangat mendamaikan. Sesiapa
sahaja mengidamkan rumah didirikan di tempat sebegitu.
Suara Aliff dan
gengnya bercerita rancak kedengaran. Qalam sudah letih mahu mendengar kerana
setiap ayat yang dikeluarkan mereka semuanya menggelikan hati sesiapa sahaja
yang mendengar. Dia tidak sanggup lagi lalu menggunakan alasan mahu menelefon
keluarganya untuk pergi dari situ.
“Boleh saya duduk?”
Qalam
terperanjat. Segera mengalihkan pandangan ke kanannya. Tidak menyangka Aisa
muncul.
“Duduklah. Saya
pun tetamu kat sini. Tak perlu minta kebenaran dengan saya.” Ujar Qalam.
Alisa melabuhkan
punggung di sebelah kiri Qalam. Duduk di atas pasir seperti ini tidak lagi
asing baginya. Dulu dia selalu duduk di situ bersama-sama gengnya. Semua itu
selalu dilakukannya dulu. Sekarang... tinggal kenangan.
“Awak tak telefon
siapa-siapapun. Kata tadi mau call your family.”
Qalam senyap. Dia
terjerat akibat alasannya sendiri.
“Awak mau lari
dari sana, kan?” sakat Lisa.
“Saya penat nak
layan cerita lawak diorang. Duduk kat sinikan syok jugak. Dah lama tak rasa
angin macam ni. Kena-kena pula berdepan dengan laut malam. Dah lama tak rasa
keindahan malam macam ni,” sangat bijak Qalam mengatur ayatnya. Ini pula
alasannya kali ini.
“Saya dengar awak
sudah bertunang. Betul?”
Qalam memandang
Alisa. Gadis itu memang banyak bertanya padanya.
“Siapa cakap kat
awak?” Qalam yang bingung menyoal. Sejak mereka berkumpul petang tadi, tiada
seorang pun buka cerita tentang pertunangannya.
“Cinta.”
“Hah?” Qalam
terperanjat. Tidak menyangka benar Cinta akan membuka mulut. Otaknya mula
berpusing. Baru teringat Cinta dan Alisa memang sahabat baik persis
adik-beradik. Tidak hairan bila Cinta buka mulut. Tapi kenapa dia ceritakan
pada Alisa? Qalam berasa pelik. Seakan-akan tidak percaya tindakan Cinta.
“Awak percaya
kalau saya cakap Cinta yang cakap dengan saya?”
“Apa alasan yang
boleh buat saya tak percayakan awak? Tapi, boleh jadi juga saya tak percaya
sebab Cinta jenis gadis yang senyap. Saya tak tahulah kalau dia dengan awak.
Ada kemungkinan besar dia cerita kat awak sebab saya nampak ada pertalian
‘kekeluargaan’ dalam persahabatan geng korang.”
Alisa
memerhatikan Qalam yang petah menjawab. Dia tertarik. Cara Qalam memang menarik
hatinya untuk kenal lelaki itu lebih jauh lagi.
“Mama Aliff yang
cerita kat saya tadi. Time tu saya kat dalam nak jumpa Cinta. Kalau nak harap
Cinta buka mulut, tahun depan pun tidak tentu lagi dia akan cakap atau tidak.”
Qalam tersengih.
Kali ini dia pula yang tertarik dengan apa yang dikatakan Alisa padanya.
Baginya, cerita yang berkaitan dengan gadis yang bernama Cinta itu pasti dia berminat.
“Awak perasan tak
ada orang yang sedang perhatikan awak sejak tadi? Dan mungkin sekarang ni pun
dia tengah perhatikan kita.”
“Siapa?” Qalam
menyoal terkejut. Tidak menyangka dengan apa yang yang telah dinyatakan oleh Alisa.
Dia memandang kiri dan kanan sejenak. Memerhati semua kawannya. Mencari siapa
gerangan orang yang dikatakan oleh gadis di sebelahnya.
“Awak rasa?”
“Ryan?”
“No.Perempuan.”
“Basyirah?”
“Basyirah...
mungkin. Tapi dia perhatikan awak bila saya duduk berdua dengan awak sekarang.
Ada lagi orang yang perhatikan awak sejak tadi lagi.”
“Bukan Basyirah?”
Alisa
menggelengkan kepalanya. Qalam berfikir. Perempuan? Hanya ada hanya Lisa, Leby,
Cinta dan Basyirah malam ini. Kalau bukan Basyirah, takkanlah Alisa. Dia duduk
di sebelahnya kini.
“Leby?”
“Apa pulak Leby.
Dia tidak akan perhati orang lain lagi selain Hardi. Jangan nak perasan sangatlah..”
“Alyah?” tiada
lain lagi yang perlu disebutkan Qalam. Hanya Cinta sahaja jawapannya.
“Hah...? emm.. ya!.”
Tergamam sebentar Alisa mendengar nama yang disebut oleh Qalam. Memang orang
yang sama tapi kenapa dia panggil Cinta dengan nama akhirnya?
“Mustahil.” Qalam
memang tidak percaya. Alisa bijak membuat lawak. Kali ini mesti dia berlawak
lagi.
“Saya serius.
Saya sebelah dia sejak petang tadi lagi. Awak jangan lupa yang kami berdua ni
macam adik-beradik.”
Qalam senyap.
Mula menjeling ke belakang. Memerhati Cinta yang duduk keseorangan di tempat
lepaknya seperti sebelum ini. Mustahil dia perhatikan aku. Apa faedahnya?
“Dia... emm... dia
tu memang suka sorang-sorang ke?” berani pula Qalam menyoal.
“Memang dia macam
tu. Dulu pendiam jugak tapi macam biasalah. Cuma sekarang ni kritikal sikit.
Dia tak akan mau tegur orang kecuali benda penting.”
“Kenapa dia jadi
macam tu?”
Alisa hanya
tersenyum. “Tanya tuan punya badan sendiri.”
Qalam senyap. Apa
lagi dia mahu katakan jika Alisa sudah berkata nekad sedemikian. Dia tidak suka
memaksa orang yang tidak mahu membuka cerita.
“Memang korang
geng berenam ke?” Qalam menyial lagi.
“Ya. Macam
pelikkan. Tiga lelaki, tiga perempuan. Boleh pulak jadi satu geng. Tapi,
mungkin inilah yang dinamakan takdir.”
“Saya tengok
macam adik-beradik. Adik-beradik pun tak seakrab korang semua.”
“Mestilah.”
Dengan senyuman, Alisa mengatur katanya. Memang bersetuju dengan Qalam.
Qalam tersenyum.
“Awak memang
rapat dengan Alyah?”
Alisa memandang
Qalam. Bila Qalam memandang padanya, dia segera memandang ke hadapan. Melihat
kesungguhan Qalam menyoal, nampaknya seperti dia sedang mengorek cerita.
Kebanyakannya bersoalkan tentang Cinta. Dia suka Cinta? Tapi kenapa?
“Saya kenal dia start form two. Semester kedua dia naik
kelas ke kelas saya. Kami duduk bersebelahan. Kebetulan saya tinggal tak jauh
dari sini. Jadi, bila ada masa lapang saya lawat dia. tak sangka kami jadi
rapat.”
“Dia memang suka
duduk kat situ ke sambil tulis sesuatu kat buku?”
“Memang tu tempat
dia lepak sejak dulu. Tempat istimewa baginya. Dia memang suka menulis. Macam-macam
dia tulis. Selalunya sajak, cerita... entahlah.
Saya pun tidak pasti jugak sebab saya tidak pernah lagi baca.”
“Tempat ni memang
tempat korang lepak ke?”
“Emm... yup. Kami lepak di sinilah kalau Papa
Aliff ada kerja luar. Dia tak bagi kami berkumpul di sini terutamanya malam.
Tau-taulah Papa Aliff tu disiplin sikit. Tapi kami ada bilik lepak. Bilik jamming dalam rumah Aliff tu. Kami
selalu di sana.”
“Ohh... tapi tak
pernah pun nampak korang lepak kat sana sekarang.”
“Entahlah macam
mana nak cakap. Mungkin kami tidak akan lepak sana lagi.”
“Sebab?”
Alisa hanya
tersenyum. Tiada tanda-tanda dia mahu menjawab soalan. Qalam diam. Dia terpaksa
akur. Lisa tidak mahu membuka cerita. Mungkin mereka ada sebab tertentu. Oleh sebab
Qalam tidak mahu memanjangkan cerita, maka dia berhenti menyoal hal itu. Rasanya
tidak perlu dipanjangkan.
“Alyah... dia dah ada... ada...”
“Boyfriend?” cepat Alisa menyambung. Dia
tahu lidah Qalam tersekat dan sukar mahu menyebutnya. Mungkin dia malu.
Qalam tersengih.
“Ada.”
Qalam senyap.
Nafasnya seakan-akan mahu berhenti.
“Dulu. Tapi
sekarang dah berpisah. Kenapa tanya?”
Qalam diam.
Memandang ke hadapan semula. Tidak disedari, bibirnya tersenyum bahagia.
“Awak suka dia?”
“Hah?!” Qalam
ralat. Sekali lagi terjerat dengan tindakannya sendiri.
“Lam!!!”
Mereka senyap.
Segera memandang belakang serentak. Ryan berteriak kuat memanggil nama Qalam.
“Sini kejap.
Cepatlah!!”
Qalam memandang
Alisa di sebelahnya. Pandangan yang membawa makna meminta diri untuk perg. Alisa
hanya diam. Memerhatikan pandangan Qalam yang sudah berjaya mengganggu
mindanya.
“Saya kena pergi
sana. Kalau tak, melalaklah Ryan malam-malam ni.”
Alisa tersenyum.
Pandai juga Qalam berlawak.
“Okey.”
“Jangan cakap kat
siapa-siapa tentang apa yang kita bualkan.”
Alisa tersenyum
lalu mengangguk. Qalam mula mengangkat punggung dan berdiri lalu mengatur
langkah pergi dari situ. Alisa menjadi senyap. Memerhati penuh Qalam yang sudah
berlalu. Kenapa lelaki itu muncul? Dia mula mengganggu fikiran Alisa.
Dia suka Cinta?
Tapi kenapa boleh terjadi? Alisa bingung. Dia mula menjeling ke belakang.
Memandang Cinta yang duduk menulis sesuatu di bukunya. Cinta sering kali
memandang pada Qalam. Qalam pula menunjukkan tingkah laku sama dengan Cinta.
Dia perasan lelaki itu asyik memandang pada Cinta sejak pertama kali dia
melihat Cinta dan Qalam bertemu.
Mereka suka sama
suka? Tapi kenapa? Benarkah Qalam suka Cinta? Kenapa boleh jadi perkara seperti
ini? Benda seperti ini tidak boleh berlaku antara mereka berdua.
Ada apa
sebenarnya dengan Cinta?
Qalam menghampiri
Ryan yang memanggilnya sebentar tadi. Ryan ada bersama Hardi, Aliff, Leby dan
Basyirah. Apabila dia tiba, semua orang
melihatnya dengan pandangan yang sama.
“Kenapa?” Qalam
mengambil tindakan menyoal. Dia segan dipandang oleh semua orang.
“Duduk dulu.”
Ryan mengajak duduk di sebelahnya.
Qalam menurut
sahaja. Menghirup udara malam betul-betul di hadapan laut memang indah seindah
saat sekarang. Lebih istimewa apabila mereka hanya duduk di atas pasir tanpa
sebarang pelapik.
“Lam, diorang tak
caya yang kau dah tunang dengan Basyirah.” Ryan membuka cerita.
Qalam tergamam
sebentar. Melihat Ryan yang membuka topik. Dia kemudian mengalihkan pandangan
pada Basyirah. Gadis itu kelihatan tersenyum simpul. Aliff di sebelahnya
tersenyum sumbing. Hanya Leby dan Hardi yang memerhati penuh mahukan jawapan
daripada mulutnya. Permainan apa yang mula dibuat oleh Ryan malam ini?
Qalam mula
mengukir senyuman singkat. Tidak mengiyakan atau menidakkan ayat Ryan.
Basyirah
tersenyum. Puas. Sudah beberapa hari dia makan hati dengan perangai Qalam.
Senyuman dari Qalam sudah berjaya membuatkan dia tersenyum semula walaupun dia
tahu Qalam terpaksa. Apa yang dia puas, biar semua orang tahu Qalam sudah
‘terikat’ dengannya.
Ryan juga puas.
Dia nekad. Selama ini dia menurut kata Qalam tanpa sebarang bantahan. Sekarang,
dia mahu mempertahankan perasaannya. Dia tidak boleh kalah dengan Qalam dan
kini dia tahu bagaimana caranya. Apa yang penting baginya sekarang, Qalam akan
tetap bersama Basyirah dan dia akan cuba memenangi hati Cinta.
Aliff menarik
nafas. Juga puas. Qalam boleh kalah mulai saat ini. Ini kelemahannya. Ikatan
pertunangannya dan Basyirah. Selepas ini dia boleh jarakkan Cinta dengan lelaki
itu. Cinta tidak boleh dekat dengannya!
“Kalau Qalam dah
bertunang, macam mana dengan kau, Yan?” Hardi menyoal pula.
Ryan tersenyum
malu. Ini peluangnya untuk bertindak.
“Tak tunanglah
lagi.” Jawab Ryan malu-malu.
“Girlfriend?” Leby segera menyoal.
“Tak ada.”
“Bohong...” Hardi
menyangkal.
“Betul. Tapi,
suka kat sorang dak perempuan tu. Tapi dia tak tahu pun.”
“Siapa?” Leby
menyoal.
Qalam memerhati
tajam Ryan dalam diam. Jiwanya panas dengan apa yang dilakukan oleh Ryan. Dia
sudah mengagak apa permainan Ryan malam ini.
“Yang duk kat
belakang tu.”
Leby dan Hardi
membesarkan mata. Berpandangan sesama sendiri.
“Cinta?” mereka
menyoal serentak.
Ryan mengangguk
perlahan. Malu-malu.
“What?”
Semua tersentak
bila mendengar suara Alisa. Dia yang datang tiba-tiba mula dipandang.
“Awak suka
Cinta?” Lisa segera menyoal.
Ryan mengangguk
padanya. Leby dan Hardi saling berpandangan semula. Kemudian serentak memandang
Aliff pula. Alisa juga sama.
Qalam menggenggam
pasir di tangan kanannya. Kepulan penumpuknya erat digenggam. Dia benar-benar
marah dan ingin membelasah Ryan saat itu juga. Dia terkena malam ini. Permainan
Ryan berjaya menyemarakkan api kemarahannya. Dia kalah pada Ryan.
Basyirah
memerhatikan kemarahan Qalam. Dia tetap tersenyum. Permainan Ryan malam ni
memang bagus. Dia boleh tabik dengan Ryan selepas ini kerana sudah pandai
bertindak berani.
“Liff...” Hardi
memanggil Aliff. Dia yang masih terpeanjat dengan pengakuan Ryan.
Aliff memberi
isyarat senyap dan tidak bertindak apa-apa pada Hardi. Hardi terpaksa diam. Aliff
kemudiannya melihat pada Alisa. Alisa kelihatn diam. Mungkin tidak berpuas
hati. Dia kemudiannya memandang pada Cinta yang ada duduk berseorangan.
Ada apa dengan
Cinta sebenarnya?