BAB 3
“Mana perginya pensil aku ni?” hatinya
resah. Gelisah.
Tiara menarik nafas lalu
menghembuskannya malas. Otaknya sudah serabut. Sudah dua hari dia kehilangan
pensilnya. Dua hari juga dia berpusing-pusing dan naik turun Bangunan Art. Dia
buntu. Pensil itu masih tidak ditemuinya. Ke mana benda itu menghilang?
“Awak cari ni?”
Tiara membeku. Suara yang menyapanya
dari belakang datang terus masuk menusuk jantungnya.
“Cik Ara?”
Tiara mengerutkan dahinya. Dia panggil
aku ke? Segera berpaling ke belakang.
“Awak cari ni?” Adit mengulang
soalannya. Saat ini hanya tuhan sahaja yang tahu betapa jantungnya boleh
mengepam begitu laju tatkala melihat wajah gadis di hadapannya. Ya, dia gadis
yang sama dengan gadis yang ditemuinya beberapa hari lepas. Gadis yang menjadi
tanda tanya tentang kuasa yang menyebabkan jantungnya boleh sakit mengepam
laju.
Tiara kaku. Abah! Sekali pandang anak
mata lelaki itu, otaknya laju mengenangkan arwah abahnya. Apa kena mengena
arwah Abahnya dengan lelaki ini? Takkanlah matanya. Hidung? Wajahnya? Semua tak
sama dan tidak ada kaitan!
“Awak cari ni?” Adit mengulang soalan
yang sama buat kali ketiga.
Tiara segera mengalihkan pandangannya
ke arah tangan kanan lelaki itu. Pensil yang dicari-carinya selama dua hari ini
betul-betul ada di hadapan mata. Yes, finally.
Alhamdulillah.
Tiara mengambil pensil itu dari tangan
lelaki di hadapannya. Hatinya senang dan lapang semula.
“Ara tu nama awak, kan?”
Tiara tersentak. Mamat ni mesti tahu nama
aku dari ukiran yang ada pada pensil ni. Huh!
“Terima kasih.” Ucap Tiara. Kakinya
terus mengatur langkah pergi dari situ. Otaknya laju berputar meneliti dan mengingati
wajah mamat yang datang memberikan pensilnya. Kat mana aku pernah nampak dia
sebelum ni?
Oh, I got
it!
PG!
Lelaki yang menimbulkan suasana gila para
gadis beberapa hari lalu. Apasal pulak dia datang sini sampai pulangkan pensil
aku? Pulangkan? Eh, dia yang jumpa ke? Kalau dia yang jumpa, dia jumpa kat
mana? Pelik!
Adit masih kaku. Gadis itu sudah
mengatur langkah pergi dan sudah hilang dari pandangan mata. Se’simple’ ini
sahaja pertemuan kami? Gadis itu langsung tidak bercakap dengan aku walau satu
perkataan pun. Dua hari aku tunggu saat ini, tapi akhirnya berakhir dalam masa
tidak sampai lima minit!
Unbelievable. Ini satu
sejarah!
Tapi kenapa muka gadis tu macam nampak
familiar? Aku pernah jumpa dia ke
selain beberapa hari ni? Bila tenung dekat-dekat, baru jelas nampak rupa
sebenar gadis itu. Macam pernah jumpa sebelum ini. Tapi di mana?
Adit cuba memutarkan otaknya mengingat
semula semua tempat yang dia pernah pergi. Brunei? Australia? London? Paris?
Arghhhh! Bayangan gadis itu tiada. Aku pernah jumpa dia ke sebelum ni? Adit
geram dengan daya ingatan sendiri yang agak lemah. Masa ini jugalah otak dia
jadi lembab nak memproses wajah gadis kecil molek itu.
Adit memegang dadanya. Peluh mula
menyerang tubuhnya. Dia mula menggigil perlahan. Aku kena cari gadis itu lagi.
Dia yang buat aku ‘sakit’ macam ni! Adit mendengus.
*************************************************************************
TIARA tersenyum. Lukisan yang berada di hadapan matanya dipandang
puas. Sudah tiga hari dia melukis benda itu dan akhirnya siap. Tiga hari
jugalah dia memegang kembali pensil kesayangannya. Pensil pemberian arwah
Abahnya sempena ulang tahunnya yang ke lima. Sudah 16 tahun lamanya. Pensil itu
sebaya dengan budak yang berada di tingkatan empat!
Jam tangan dikerling. Sudah pukul lima
petang. Kepalanya dipusing sambil mengalihkan pandangannya ke luar jendela.
Matahari petang mula mengindahkan permandangan indah ciptaan Allah di luar
sana. Dia tersenyum. Terlalu ralit menyiapkan lukisannya, dia tidak sedar hari
sudah petang.
Semua peralatan melukis disimpan di
dalam almari. Lukisan yang berada di painting
board dibuka dan digulung diletakkan di dalam beg.
“Hai!”
Langkah Tiara kaku tatkala seorang
lelaki terpacak di muka pintu bilik lukisannya.
“Hai Cik Tiara!” sapa Adit dengan
senyuman.
Dahi Tiara berkedut. Mana dia tau nama
aku pulak ni? Dia mahu menggaru kepalanya yang dilitupi tudung tapi hasratnya
terbatal melihat senyuman manis lelaki di hadapannya.
“Jangan tanya kat mana saya tau nama
awak. Kat pintu ni dah terang-terang tulis ‘Tiara’. So, nama awak Tiara lah kan? Tiara a.k.a Ara. Cik pemilik pensil
yang hilang tiga hari lalu.”
Tiara memandang wajah lelaki di
hadapannya. Fokus. Boleh tahan mulut lelaki ini. Banyak cakap pulak sekarang!
“How
special you are. Ada private room
untuk melukis. So, awak budak Art lah ni kan?”
Tiara hanya senyap. Tidak berkata
walau sepatah pun. Apa yang dia alami, dia rasa pelik. Ramah pulak lelaki ni.
“Saya selalu nampak awak melukis dua
tiga hari ni. Saya nak datang bertegur sapa dengan awak tapi nampak macam awak
fokus sangat. So, nampak awak dah
habiskan lukisan hari ni, saya datanglah bertegur sapa dengan awak.”
Tiara mengerutkan dahi pula kali ini.
Dia ni memang pelik. Dia intip aku ke selama ni? Dia nampak aku dari arah mana?
Dia memusingkan kepala kiri dan kanan. Kemudian memandang siling. Ada CCTV ke
kat sini?
“Awak selalu duduk melukis dekat
tingkap. Saya kat tingkat bawah pun boleh nampak awak dengan jelas.” Adit
menerangkan. Dia boleh membaca reaksi Tiara. Gadis itu sedang mencari punca
kata-katanya.
“Awak, boleh tak saya nak berkawan
dengan awak?”
Tiara cuak. Nak berkawan pulak!
“Nama saya Adit. Public panggil saya dengan nama PG.”
Sah! Dialah jejaka yang buat
gadis-gadis menjadi riau beberapa hari lepas. Dia ni artis ke? Kenapa dia famous sangat? Tiara bingung sendiri.
Dia memang tidak suka ambil pusing tentang dunia hiburan. Terutama artis.
Penyanyi. Pelakon. Pelawak. Semua dia tidak mahu kenal dan tidak mahu tahu!
“Sorry,
I have to go.” Menyedari dia belum menunaikan solat Fardhu Asar, Tiara mula
meminta diri. Dari berkenalan dengan lelaki yang tidak mendatangkan keuntungan
dengannya, better dia ke masjid
berdekatan. Lagi berfaedah dan berpahala.
“Awak tak sudi berkenalan dengan saya
ke?” Adit patah hati. Gadis itu tidak pernah melayannya. Mahu mendengar gadis
itu bersuara sangat payah. Kalaupun bersuara, dia pasti terus blah.
Tiara tidak memperdulikan lelaki di
hadapannya. Dia mula mengatur langkahnya. Pada masa yang sama, dia mendengar
deringan telefon lelaki yang digelar PG itu. Okey, penyelamat. Bolehlah aku
blah dengan mudah.
“Yes, Hazrin Azka Halim Mahmood? Boleh
tak kau call aku lain kali? Bukan
sekarang!”
Tiara yang baru melepasi pintu mula
mematikan langkahnya. Nama lelaki yang bari disebut oleh lelaki pelik itu tadi
tertangkap masuk ke dalam corong pendengarannya.
“Okey bro. Aku jumpa kau tempat biasa.
Dalam masa 15 minit aku sampai. Kau ni jiwang sangatlah. Kat pondok tu jugak kau
nak jumpa aku. Lain kali tunggulah aku kat café ke. Boleh minum-minum isi perut
aku yang tengah berkeroncong ni.”
Tiara masih diam. Setiap bibit kata
yang keluar dari mulut lelaki pelik itu didengari dan diamati dengan baik. Nama
itu, adakah dia orang yang sama? Kalau dia orangnya, apa pula kaitan dia dengan
lelaki pelik tu?
Dalam kemusykilan, Tiara meneruskan
langkahnya sebelum lelaki pelik itu mengekorinya.
***************************************************************
TIARA mengatur langkah cermat. Kelakuannya seakan-akan seorang
perisik profesional. Setiap jejak dan langkah lelaki yang menggelar dirinya
sebagai Adit a.k.a PG itu diekori dengan begitu sempurna. Secara kebetulan keluar dari Masjid, dia
terserempak dengannya. Lelaki itu berkereta Honda pula kali ini.
Adakah itu petunjuk daripada Allah
untuk aku mencari jawapan yang pasti? Pasti atau tidak pasti, aku kena ikut
budak pelik tu jugak untuk dapatkan jawapan.
Tiara menaiki teksi mengekori kereta
Adit. Arah laluan yang diekorinya seperti pernah dia tempuhi sebelum ini. Tiara
cuba mengingat namun agak sukar. Terlalu banyak perubahan yang sudah berlaku di
sepanjang jalan.
Setengah jam mengekori, kereta Adit
berhenti. Jantung Tiara mula tidak senang tatkala matanya melilau memandang
sekeliling. Ya yakin, aku kenal tempat ini! Tapi apa kaitan Adit dengan semua
ini?
“Hello bro. Sorrylah. Jalan jam sikit tadi.”
“Jalam jam ke atau kau singgah minum kat café dulu? Bukan kau kata perut
kau lapar ke?”
Adit tersengih macam kerang busuk.
Kalau dengan Hazrin, dia memang senang kantoi!
Tiara yang bersembunyi di sebalik sebatang
pokok kelihatan terperanjat tatkala melihat muka lelaki yang bertemu dengan
Adit. Nafasnya segera dikawal dek terperanjat. Ya, Allah. Memang dia!
“Awak ni siapa?”
Darah Tiara seperti ditoreh keluar
daripada badannya. Suara seorang perempuan datang menyapa dari belakang. Dia
mahu lari, namun tersalah pijak ranting kayu yang ada di kakinya. Dia terjatuh
terduduk.
Adit dan Hazrin segera mengalihkan
pandangan ke arah bunyi yang baru kedengaran. Serentak mengatur langkah
perlahan menghampirinya.
“Nawal?” Adit menyoal perlahan seraya
memandang muka Hazrin. Rupanya lelaki itu mengatur pertemuan ini untuk aku
dengan Nawal.
“Siapa dia ni?” Nawal segera menyoal
Adit dan Hazrin. Terkejut melihat kelibat seorang perempuan menghendap
memerhatikan Adit dan Hazrin di sebalik pokok.
Hazrin memerhati gadis bertudung
coklat di hadapan mereka. Siapa dia? Macam mana dia boleh berada di tempat ini?
Tempat ini memang agak privasi untuk orang lain. Hanya Hazrin dan orang
berkaitan sahaja tahu kewujudannya.
“Abang Ren…” Tiara memanggil perlahan. Mukanya diangkat
melihat wajah Hazrin.
*******************************************
Assalamualaikum... and finally, entry bab 3 publish. Yeahhh... Alhamdulillah. Please enjoy readers! Sory, still can't move on daripada DOTS... hahaha!
Lot of LOve,
Salawati Latip