Saturday 15 June 2013

Mencintai Cinta - Bab 10

Bab 10

Qalam meletakkan beg. Pandangannya tertumpu pada bungkusan di depan mata. Dia memandang ke kiri dan kanan berkali-kali. Tiada sesiapa yang memberi tumpuan padanya. Beberapa pelajar yang duduk tidak jauh dari tempatnya juga tidak memperdulikannya. Bungkusan siapa pula ni? Dia bengang sendiri.
“Benda apa tu?” Ryan yang duduk di sebelahnya menyoal sambil melabuhkan penggungnya di kerusi. Dia juga berperasaan sama dengan Qalam apabila melihat ada bungkusan di atas meja Qalam. Dia pasti bukan milik Qalam kerana sejak mereka masuk kelas tadi benda itu ada di situ.
“Entah. Pelajar lain tertinggal kot...” Qalam membuat hipotesis sendiri. Dia pasti itu bukan miliknya.
“Tu ada nota. Bacalah.” Ryan menyedari sekeping kertas ada di bawah bungkusan tersebut.
“Eh, bukan hak kitalah. Tak baik baca.”
“Manalah tahu nota tu untuk sesiapa yang duduk di kerusi yang kau duduk ni. Manalah tahukan. Lam, you are the choosen one!” siap melawak lagi Ryan di pagi ini.
“Mengarutlah kau ni Yan pagi-pagi ni.”
Ryan menyambung ketawa. Memang hobinya buat bodoh pagi-pagi sebelum kelas untuk hilangkan rasa mengantuknya.
“Baca je lah. Kau tak nak, aku yang baca.”
Qalam memandang geram Ryan di sebelahnya. Dia mengalah sebelum mendengar Ryan meleternya pula. Kertas yang dinyatakan Ryan tadi mula dicapai. Nota berlipat itu dibuka perlahan.
“Aku nak tengok!” Ryan pantas bersuara apabila Qalam mahu mula membaca.
“Kau ni kalau tidak menyibuk boleh tak? Aku baca dulu. Akukan the choosen one...” Qalam memulangkan ayat power Ryan semula. Ryan memandangnya geram. Terkena kembali!

Assalamualaikum..
Saya nak minta maaf sebab saya tidak boleh jumpa awak lepas klas ni. Dalam bungkusan tu saya letakkan telefon awak. Saya minta maaf sangat-sangat sebab tidak gantikan telefon yang sama dengan yang telah saya rosakkan sebelum ni. Saya harap awak terima apa yang saya pilih. Kalau awak tidak nak dan nak tukar dengan yang lain, awak boleh maklumkan dengan saya melalui SMS atau telefon saya terus. Saya minta maaf sebab saya tidak mahu berjumpa dengan awak lagi seperti sebelum ni. Saya minta maaf sangat-sangat.
Adik Aliff

Qalam terdiam. Tidak senyum, tidak geram. Dia memandang tempat duduk di hadapannya. Kosong. Gadis itu tiada di tempatnya. Suhana, teman sebiliknya sudah dilihat berada di tempat sebelah gadis itu sejak dia datang tadi.
“Surat apa?” Ryan segera menyoal. “Aku nak tengok!”
“Yan, Aliff dah sampai ke?” tanpa memperdulikan permintaan dan soalan Ryan padanya, Qalam terus menghantar soalan.
“Aliff? Diakan selalu awal. Ada kot. Tengok tu, beg diakan?” Ryan menjawab selamba pertanyaan serius Qalam. Pandangannya lari kepada tempat duduk di sebelah Qalam. Kosong tapi ada beg.
Qalam senyap.  Jiwanya tidak tenang. Ayat terakhir nota itu menyakitkan hatinya. Tidak mahu berjumpa seperti sebelum ini? Apa maksudnya? Qalam mula tidak berpuas hati.
“Tu...” Ryan bersuara lagi.  Nadanya perlahan dan mendatar. Dia tidak menunjuk dengan tangan atau anggota badannya sebaliknya melalui perkataan pendek daripada mulutnya. Qalam mengalihkan pandangannya mengikut pandangan Ryan.
Aliff dilihat masuk ke dalam kelas bersama adiknya. Berdua sahaja. Qalam menjeling ke kerusi milik gadis Sabah itu yang terletak betul-betul di hadapannya. Ada beg. Beg Aliff kemudiannya dijeling selepas itu. Mereka sudah tiba awal lagi sebelum ini. Tapi mereka berdua dari mana?
“Awal kau sampai, Liff.” Ryan menyapa serentak punggung Aliff dilabuhkan di kerusi sebelah Qalam.
“Biasalah. Bukan macam kau tu. Tidur memanjang. Bangun pagi pun malas. Nasib baik Tuan Haji tidak sampai lagi. Kalau dia dah sampai, alamatnya di luarlah kau belajar nanti.” Aliff menyindir.
“Kejam sungguh mulut anda berkata-kata di pagi ini, Encik Aliff.” Ryan cuba berlawak untuk menepis ayat Aliff. “Kau sampai awal tapi tinggalkan beg dalam kelas. Kau pergi mana?”
“Tandas. Adik aku minta aku temankan.”
“Hah? Ke tandas pagi-pagi pun minta teman?”
Aliff tersenyum sahaja. Dia sempat menjeling pada Qalam yang duduk di sebelahnya. Lelaki itu diam sahaja. Dia tidak mahu menanya. Dia paling tidak suka menanya benda yang melibatkan perasaan. Qalam dilihat seakan-akan tidak puas hati dari raut wajahnya. Mungkin dia punya masalah. Bungkusan di atas meja Qalam dijeling sama. Aliff memandang depan. Dia tahu apa yang terjadi.
Qalam mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Tangannya laju menaip sesuatu di peti mesej. Apabila mesejnya berjaya dihantar, dia memandang bungkusan di depan matanya.
Maaf... sy x blh...
Nota yang dibaca tadi direnyukkan menggunakan tangannya.  Hatinya sakit melihat balasan mesej daripada adik Aliff yang begitu mengecewakannya.
Tp sy nak jmpa awk pas klas ni jugak!
Qalam semakin marah apabila mesej keduanya tiada sebarang balasan walaupun dia menunggu dalam beberapa minit. Adik Aliff di hadapannya dilihat sejak tadi. Dia bersembang dengan rancak sekali dengan Suhana. Tiada gaya langsung untuk membalas mesejnya lagi.
Aliff menjeling pada Qalam. Lelaki itu dilihat mengetap bibir. Dia benar-benar marah. Nota yang sangat dikenalinya itu dilihat sudah menjadi gumpalan bola di tangan Qalam. Marahnya sudah bermula tetapi masih di tahap rendah. Aliff memandang hadapan semula. Apapun yang terjadi, dia puas hati.

************************************************************************

KELAS bersurai seperti biasa sebelum 9.30 pagi. Kelas mula riuh dengan macam-macam jenis suara yang diselingi dengan loghat pekat negeri masing-masing. Bunyi kerusi juga kedengaran jelas kerana masing-masing mula beredar keluar.
Qalam memasukkan bungkusan yang diterimanya ke dalam beg dengan cepat. Proses mengemas alat tulisnya dilakukan dengan pantas sekali hari ini. Matanya liar memandang adik Aliff yang sudah siap berkemas dan sudah siap mahu keluar dari kelas.
“Yan, kau blah dulu. Aku mau pergi toilet lepas ni. Kau tunggu aku kat tempat biasa. Aku datang kejap lagi. Okey?”
Ryan memandang Qalam. Pelik sungguh perangainya hari ni. Dari tadi dia tidak bersuara semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Biasanya ada sahaja rungutannya keluar tapi pagi ini dia jadi diam dan hilang mood tiba-tiba pula.
“Aku tunggu kau keluar tandaskan boleh?”
“Hei, aku cakap tunggu je kat sana pun susah nak ikut?!”
“Lam, kenapa dengan kau hari ni? Macam pelik je aku nampak. Kau okey ke ni?”
“Jangan banyak tanya sebelum aku naik angin. Kau faham?”
Ryan mengunci mulutnya. Dia pelik melihat Qalam mula naik angin lagi. Setahunya sejak beberapa minggu lalu dia jarang beremosi seperti dulu. Dia ingat Qalam mula berubah tapi sebaliknya. Masih lagi seperti azalinya.
Ryan mula pergi meninggalkan Qalam. Dia perlu patuh pada arahan lelaki itu. Dia benar-benar tidak boleh dan tidak berani ingkar.
Qalam segera mengangkat begnya. Dia keluar dari pintu sebelah kiri dewan kuliah tidak seperti sebelumnya kerana dia lebih suka keluar dari pintu kanan kerana tidak jauh dari pintu kanan ada tandas pelajar perempuan. Langkahnya dilajukan. Dia perlu mendapatkan adik Aliff sekarang. Dia kena menggunakan kesempatan ini kerana Aliff sekarang perlu bertemu dengan pensyarah kerana semua ketua kumpulan perlu berbuat demikian. Qalam tahu Aliff mungkin tidak mahu adiknya bertemu dengannya. Apa yang Qalam pasti, dia tidak tahu apa sebabnya.
“Awak!”
Cinta berpaling ke belakang. Dia yang sedang menunggu Suhana yang berada di dalam tandas kelihatan terperanjat melihat Qalam muncul di situ.  Dia segera mengatur langkah.  Mahu lari dari lelaki itu.
Qalam mengatur langkahnya dengan pantas. Beberapa pelajar perempuan yang turut berada di hadapan tandas melihat babak itu. Mereka cukup terperanjat apabila Qalam muncul. Siapa yang tidak mengenali lelaki itu. Pujaan hati setiap pelajar perempuan terutamanya budak pendidikan yang sering sekelas dengannya. Mukanya yang sedap mata memandang pasti akan menjerat mana-mana perempuan yang memandangnya.
“Awak..!” Qalam memanggil lagi. Langkah gadis yang dikejarnya dirasakan semakin laju dan menjauh darinya. Qalam mula berlari perlahan. Dia memaut tangan gadis itu bila berada dekat dengannya.
Cinta menarik tangannya. Memandang sekeliling takut orang lain nampak perbuatan kurang enak itu. Nasib baik tiada sesiapa di situ.
“Kenapa dengan awak ni..?” ujar Cinta.
“Maaf. Saya tak sengaja. Saya takut awak lari. Maaf.” Qalam segera menyedari kesalahannya. Tangan gadis itu segera dilepaskan. Dia sendiri tidak tahu mengapa tindakan drastik itu boleh dilakukannya terhadap gadis itu.
Senyap. Cinta tidak sesekali memandang lelaki di hadapannya. Dia agak marah. Nasib baik tidak ada sesiapa yang melihat aksi tadi.
“Kenapa awak lari dari saya?” Qalam segera menyoal. Perkara inilah yang dia mahukan jawapannya.
Cinta mengalihkan tubuhnya memusing ke belakang. Tidak sanggup melihat wajah lelaki itu lagi. Nafasnya ditarik perlahan-lahan. Menahan perasaan yang dialaminya. Dia takut ada sesuatu lagi yang akan muncul bila melihat muka lelaki itu.
“Ada apa awak cari saya?”
Qalam terdiam. Akhirnya gadis itu membuka mulut juga.
“Awak memang tidak suka jawab pertanyaan orang ke?” Qalam menyoal pula.
Cinta terdiam. Tidak mahu meneruskan perbualan. Dia tidak berminat. Qalam geram. Diikutkan kepalan anginnya, dia ingin mengamuk sekarang juga tapi hatinya membantah.
“Jangan jumpa saya macam ni lagi.” Akhirnya Cinta membuka mulut mengatur bicara.
“Kenapa?”
Cinta diam. Dia tidak boleh memberikan jawapannya.
“Semalam semuanya okey. Kenapa hari ni tiba-tiba jadi begini pula?” Qalam menyoal pula. Inilah yang membuatkannya bingung dengan perubahan drastik yang menimpanya pagi ini. Dia pelik kenapa jadi begini secara-tiba-tiba.
Cinta memejamkan matanya. Tidak sanggup berdepan dengan situasi sukar sebegini.
“Awak cakap jujur dengan saya. Awak tak nak kawan dengan saya lagi? Atau awak masih benci dengan saya? Saya minta maaf.” Ujar Qalam. Dia mengatur langkahnya menuju hadapan Cinta. Mahu menyaksikan sendiri gadis itu menjawab betul-betul disaksikan oleh kedua-dua biji matanya.
Cinta senyap. Qalam di hadapannya tidak sanggup dipandang sedikitpun. Qalam semakin menghampirinya. Cinta tunduk dan mengundur selangkah ke belakang. Macam-macam perkara muncul di fikirannya. Matanya dipejam sekuat yang boleh.
“Ta!”
Qalam memandang belakangnya. Cinta mengangkat pandangan dan mengundur beberapa langkah lagi ke belakang.
“Kita dah lambat. Kata tidak sarapan lagi pagi tadi. Jom, abang lapar.” Aliff berkata dengan nada mendatar sambil melangkah ke arah Cinta. Tangan Cinta diambil dan dia membawa Cinta pergi dari situ. Cinta mengikut.
Qalam menggenggam tangannya menjadi penumbuk. Ingin dihayunkan ke muka Aliff tapi melihat Cinta ada di situ, niatnya terbantut.  Dia benar-benar tercabar kali ini. Tidak pernah terjadi sebelum ini keadaan seperti ini. Biasanya tiada siapa yang berani mengacau ketika dia serius berbual. Inilah kali pertama dia dibuat sedemikian.
Cinta mengatur langkahnya. Dia mengikut sahaja langkah yang dibawa oleh Aliff kerana tangannya masih terpaut oleh tangan Aliff. Sempat dia memandang belakang melihat Qalam. Lelaki itu menahan marah. Gumpalan penumbuk di tangan kanan Qalam jelas di penglihatannya. Dia masih tidak boleh bertindak apa-apa. Saya minta maaf awak...
“Semalamkan abang dah cakap dengan Ta jangan jumpa Qalam lagi. Ta tak faham apa yang abang cakap?”
“Ta minta maaf...”
“Abang tidak mau nampak benda ni lagi...”

**************************************************************************

RYAN memandang Qalam yang baru sahaja melabuhkan punggungnya. Lelaki itu kelihatan diam. Sejak pagi tadi dia berkelakuan sedemikian. Ryan menarik nafas. Cuba menguatkan semangatnya. Berhadapan dengan Qalam di saat sebegini memang sukar. Dia juga perlu tabah walaupun dia mengetahui sesuatu yang masih tidak jelas dan kabur.
“Kau okey?”
Qalam diam.
“Aku nak balik asrama. Aku nak tidur.”
Ryan terdiam. Dia masak benar dengan perangai Qalam. Dia pasti akan memilih untuk tidur panjang apabila dia ditimpa masalah. Nampaknya kali ini dia memang agak marah tapi dia cuba mengawalnya dengan cara tidur. Memang inilah Qalam Abdul Halim yang dikenalinya sejak kecil.
“Sekarang baru pukul Sembilan. Awal lagi nak tidur. Kita belum makan malam lagi ni.” Ryan cuba menahan Qalam untuk pergi.
Qalam berdiri dari tempat duduknya tanpa berkata apa-apapun. Dia mula mengatur langkah pergi. Ryan terdiam keseorangan ditinggal di situ. Otaknya masih segar dengan bayangan peristiwa pagi tadi yang dilihatnya dengan jelas sekali melalui mata kepalanya sendiri.  Qalam memegangan tangan Cinta. Hatinya benar-benar lebur melihat Qalam bertindak sedemikian rupa di belakangnya. Apa yang paling dia tidak sangka, Qalam sanggup menikamnya dari belakang dengan cara begini.
“Sorang?”
Ryan memandang gadis yang baru menyapanya.
“Ira...”
“Boleh Ira duduk?” Basyirah menyoal lembut seperti selalunya.  Apabila Ryan tersenyum, dia mula duduk di kerusi yang diduduki Qalam sebentar tadi. “Dah makan?”
Ryan memerhatikan Basyirah. Kalau gadis ini tahu apa yang dia tahu. Ryan menarik nafasnya. Dia mesti kuat. Basyirah pula tidak boleh tahu akan perkara ini.
“Tadi Qalam joint tapi dia tak ada mood. Dia balik tidur.”
Basyirah tersenyum. Dia juga sudah tahu perangai Qalam sedemikian rupa. Qalam memang kaki tidur jika dia bermasalah mahupun tidak ada mood. Dia suka menghabiskan masanya sedemikian kerana baginya jika dia tidur, dia dapat lupa segalanya buat seketika.
“Dia ada masalah lagi? Masalah apa?”
Ryan memandang muka Basyirah. Dia menarik nafas cermat supaya boleh jadi kuat untuk teruskan semua ini.
“Biasalah. Qalam tu perkara kecil pun akan jadi besar kalau dia dah tak suka. Nasib baik dia tak  mengamuk menggila sekarang ni macam biasa. Mungkin dia masih ingat dia berada di dalam kawasan asrama. Jadi dia cuba melawan perangainya sendiri. Dia tidak boleh merosakkan masa depannya di sini kerana inilah yang dia inginkan. Jika dia mengikut kepala anginnya, semuanya akan musnah sekelip mata.”
“Hah? Ira tak faham?”
“Tak da apa-apalah. Yan cuma mengarut.” Hampir pecah rahsia. Ryan menarik nafas lega kerana tidak bertindak ikut sedap mulutnya.
“Temankan Ira makan boleh? Kawan-kawan Ira semuanya sibuk buat assignment malam ni.”
Ryan tersenyum. Hatinya mudah menjadi lembut dengan permintaan Basyirah. Dia mengangguk perlahan.
Thank you. Ira belanja!”
“Ni yang Yan suka dengar!” sempat lagi Ryan berjenaka dengan gadis di hadapan matanya. Hatinya tersepit ketika ini sungguhpun wajahnya cuba tersenyum di hadapan Basyirah. Dia diulit pelbagai perasaan. Dia benar-benar tidak sampai hati melihat Basyirah kehilangan senyumannya. Dia tidak akan membuka cerita berkaitan sikap Qalam dan apa yang lelaki itu telah lakukan sekarang. Dia terasa pahitnya dan dia tidak mahu Basyirah menerima perkara yang sama juga.

*************************************************************************

BASYIRAH merenung komputer riba di hadapannya. Gambarnya bersama Qalam ditenung seakan-akan menusuk ke dalam. Mindanya jelas membayangi saat-saat yang telah berlaku ke atasnya dan Qalam sebelum ini. Gambar pertunangan yang dirancang oleh kedua pihak ibu bapa mereka melahirkan senyumannya. Dia ingat lagi saat itu Qalam marah padanya. Saat itulah dia bertentangan mata dengan lelaki yang benar-benar dicintainya sejak kecil lagi. Hanya Qalam yang tidak tahu perasaannya itu.
Perkenalannya dengan Qalam bermula sejak dia berusia lima tahun lagi. Usianya itulah yang menjadi saksi pertemuan pertama mereka berdua apabila keluarga Basyirah bercuti di Brunei. Kebetulan ibu Basyirah kawan baik dengan Bonda Qalam dan mereka berkenalan di negara yang kaya dengan minyak petroleum itu. Percutian keluarga yang dirancang bersama itu membuatkan dia jatuh cinta kali pertama dengan Qalam walaupun di usia kecil. Tidak tahu apa yang istimewanya Qalam di matanya. Apa yang pasti, dia suka melihat mata lelaki itu yang hitam dan sayu menusuk ke hatinya.
Sikap Qalam memang sombong. Pertama kali jumpa sahaja dia sudah memaharahi Basyirah apabila dia terpijak kasut Qalam secara tidak sengaja. Qalam memang panas baran tapi Basyirah tahu dia baik orangnya. Cuma perangai luarannya sedemikian rupa tapi dalamannya dia sangat penyayang. Ego yang tinggi menguasai jiwanya.
Perasaan cinta yang hadir dalam jiwanya disedari oleh ibunya. Ibunya secara tidak langsung memberi nasihat kepada Bonda Qalam supaya mereka bersekolah di sekolah yang sama. Perangai Qalam yang nakal menyenangkan lagi rencana ibunya untuk meyakinkan Bonda Qalam bahawa Basyirah akan memerhatikannya sepenuh masa di sekolah. Mudah sahaja Bonda Qalam bersetuju dan Qalam terpaksa berpindah ke Singapura, negara kelahiran Basyirah. Sejak itulah Qalam berada di bawah jagaan keluarga Basyirah tanpa disedarinya kerana Qalam ditempatkan di sebuah rumah berdekatan mereka. Dia tidak tahu langsung bahawa semua itu adalah rancangan ibu Basyirah dan Bondanya. Apa yang dia tahu dia mula bebas kerana jauh dengan kongkongan Bondanya.
Hidup Qalam semakin teruk apabila dia mula memberontak dan menjadi pelajar paling nakal di sekolah. Basyirah masih ingat lagi Qalam selalu menggunakan kuasa dan darjat keluarganya sebagai senjata untuk menguasai sekolah. Tiada satupun pelajar yang berani mengingkari arahan dan semua orang tunduk padanya bak raja termasuk pengetua sekolah. Basyirah paling ingat apabila semua pelajar sanggup tunduk apabila Qalam berjalan di khalayak ramai. Pelajar perempuan pula banyak yang tergila-gilakannya kerana pakej rupa parasnya dan darjatnya.
Kenangan paling manis apabila mereka ditunangkan kerana sikap Qalam benar-benar mencabar Bondanya apabia dia membelasah seorang senior kerana membalas dendam untuk Ryan. Qalam juga cedera teruk ketika itu kerana turut dibelasah teruk namun pergaduhan mereka dimenangi olehnya. Dia sempat dimasukkan ke hospital oleh Bondanya kerana kecederaan di belakangnya akibat dipukul kayu. Bondanya panik dan segera mengambil keputusan untuk tunangkannya dengan Basyirah. Basyirah semakin bahagia di saat itu walaupun di saat itu Qalam membencinya dan telah lupa padanya. Pertemuannya dengan Qalam di saat pertunangan mereka masih jelas di ingatannya.
“Puas hati awak?” agak marah nada Qalam masa itu. Perkataan itulah yang dikeluarkannya buat pertama kali selepas kali terakhir semasa mereka lima tahun.
“Saya tak faham..”
“Tak faham? Hei perempuan, semua ini rancangan kau kan?”
“Hah?”
“Aku tak sangka, rupanya aku dihantar ke Singapura sebab kau. Siapa sebenarnya kau hah? Kenapa kau buat aku begini? Dengan pertunangan bodoh ni lagi... puas hati kau sekarang?”
Basyirah terdiam. Qalam lupa padanya.
“Saya tak tahu. Ibu saya dan Bonda awak...”
“Awak pun sama. Jangan salahkan orang tua kita.” Segera ayat Qalam terkeluar tanpa mendengar penjelasan Basyirah. Jari telunjuknya siap menikam tajam pandangan gadis itu sehinggakan Basyirah tertunduk.
“Saya cintakan awak...” lahir juga perkataan di mulut Basyirah ketika itu walapun situasi Qalam tegang dengannya.
“Cinta..? gila!”
Basyirah memejamkan matanya. Qalam pergi dari situ sambil menendang benda yang berada di hadapannya sambil teriak marah. Basyirah hanya diam. Dia puas. Apapun yang terjadi terhadap Qalam, dia puas kerana berjaya mengikat lelaki yang dicintainya itu.
Basyirah tersenyum. Tersedar dari lamunannya. Otaknya mula sarat. Kebahagiaannya menjadi tunang Qalam mula menjadi mimpi buruk yang nyata apabila kemunculan Cinta dan Aliff. Adik-beradik yang berasal dari Sabah itu mencipta beberapa titik permulaan keretakan perhubungan mereka. Qalam pula semakin berubah. Semakin jauh darinya. Pertemuannya dengan Aliff petang tadi memberi sejarah pahit kepada apabila sesuatu yang tidak patut dia dengar masuk ke telinganya.
“Saya tau awak nampak Qalam dan adik saya berjumpa malam tadi di parking kereta asrama. Saya nampak awak dengan Ryan menuju ke asrama di belakang kafe.”
Basyirah terdiam. Dia tidak mahu lagi mengungkit perkara pahit itu. Malam semalam sewaktu dia ingin kembali ke asramanya, dia yang ditemani Ryan terpaku melihat Qalam memagang lengan Cinta yang pada masa itu ingin terjatuh. Dia cuba memujuk hatinya dengan memberi alasan bahawa Qalam hadir tepat pada masanya untuk menolong Cinta tapi setiap bibit-bibit perkataan yang dibincangkan mereka berdua seakan-akan membunuhnya.
“Awak tolong saya jauhkan Qalam dari Cinta boleh?”
Basyirah terdiam. Apa yang cuba dikatakan oleh Aliff pula kali ini? Apa maksudnya?
Basyirah memejamkan matanya. Dia tunduk. Ingin melupakan bayangan yang menerjah fikirannya. Kepalanya terasa berat. Dia diasak pelbagai cerita pahit yang seakan-akan menikam jantungnya.
Telefonnya mula dicapai. Dia perlu menghubungi seseoang.
“Assalamualaikum. Ira?”
“Yan... Yan... Ira, Ira tak kuat tanggung semuanya...” Basyirah menangis. Ryan di hujung talian sahaja yang mengetahui apa yang dirasakannya kerana semua keluhannya didengari telinga lelaki itu.


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^