Sunday 16 June 2013

Mencintai Cinta - Bab 11

Bab 11


CUTI pertengahan semester akhirnya bermula.  Stesen bas Changlun mula dibanjiri pelajar UUM yang ingin balik ke kampung. Tidak kira di mana asal mereka, semua berebut mahu pulang walaupun cuti hanya seminggu. Kerinduan dengan kampung halaman yang menebal mungkin menjadi penyebab terutamanya pelajar-pelajar semester satu yang baru merasakan mereka berada jauh dari keluarga.
“Semua sudah siap?” Aliff menyoal semua kawan-kawannya.
Sorry... sorry lambat...”
Semua orang memandang ke arah Cinta yang baru muncul. Dia yang ditemani Suhana dan Nizam kelihatan tercungap-cungap akibat kelam kabut kerana lambat sambil membawa barang yang banyak dibantu oleh Suhana dan Nizam.
“Biar abang tolong...” Aliff segera menghampiri Cinta. Beg yang berada di tangan Cinta segera diambil.
Qalam mengalihkan pandangannya ke arah lain. Mula rasa meluat dengan perangai Aliff sedemikian rupa. Basyirah dan Ryan di sebelahnya mula perasan dengan responnya. Masing-masing membatukan diri walaupun memandang fenomena yang tidak seronok di pagi ini.
“Okey semua dah siap. Sekarang sudah pukul 8.30 pagi. Baik kita bertolak ke airport sekarang sebab kita perlu check-in. Jom!” umum Aliff kepada semua orang.
“Jom!” Ryan sahaja yang bersuara menyambut ayat Aliff. Menyedari situasi melucukan itu, Suhana dan Nizam tergelak tetapi yang lain masih diam tiada respon.
“Teksi kita dah sampai Ta. Abang sudah simpan bagasi Ta dalam teksi. Biar abang bawakan barang Ta.” Aliff menawarkan dirinya kepada Cinta. Cinta tersenyum. Dia sudah biasa dilayan sedemikian rupa oleh Aliff. “Jom..!” ujar Aliff sambil mengangkat beg Cinta sambil memaut tangan Cinta.
Cinta tersentak. Dia terpaksa mengikut rentak langkah Aliff kerana tangannya ditarik lelaki itu. Dia sempat terpandangan Qalam yang senyap, Ryan yang terparanjat dan Basyirah yang buat tidak nampak. Suhana dan Nizam hanya mampu terdiam.
Qalam menarik begnya dengan perasaan marah. Dia kalah lagi saat ini. Tidak pernah dia diperlakukan sedemikian rupa. Egonya benar-benar dicabar oleh Aliff namun dia terpaksa menahannya di depan semua orang terutamanya Cinta. Apa yang pasti, dia mahu tahu permainan apa yang cuba dimainkan oleh Aliff kini kepadanya. Sebelum ini lelaki itu baik sahaja padanya tetapi bila dia berbaik dengan adiknya, semua jadi berubah sekelip mata. Pelik betul dan inilah pertama kali orang buat dia tercabar sebegini rupa.
“Kau bawa kereta ke airport? Kau nak simpan mana kereta tu nanti?” Nizam menyoal Qalam yang sedang membuka bonet belakang kereta untuk menyimpan barang-barangnya.
“Aku dah suruh orang ambil,” dengan nada malas, Qalam menjawab.
“Siapa?”
“Jangan banyak tanya boleh tak?”
Nizam terdiam. Ryan di sebelahnya membei isyarat supaya berhenti menyoal. Nizam faham. Dia turut masak dengan perangai Qalam yang suka ikut kepala anginnya.
“Baik-baik bila kat Sabah ya. Ada apa-apa, call aku okey?”
Qalam yang sudah membuka pintu kereta sempat melihat Suhana berpelukan dengan Cinta. Cinta dilihat tersenyum manis.
“Kau pun sama. Balik Perak hati-hati naik bas tu. Nizam, tengok-tengokkan Su ya,” sempat lagi Cinta membuat usikan pada Suhana. Nizam tersenyum sambil mengenyitkan anak mata kirinya. Suhana mula menjadi malu.
“Jaga kesihatan tau.” Suhana masih sempat menasihati Cinta.
“Kalau sampai di Sabah nanti, Ta akan sentiasa sihat kerana Papa kitorang tu paling pantang bila dia tidak makan ubat.” Aliff menyampuk. Dia sengaja kenakannya di hadapan Suhana. Cinta mula geram. Suhana tersenyum. Cinta terkena.
Qalam yang sudah membuka pintu keretanya masih terpacak di tepi kereta memerhatikan Cinta. Basyirah dan Ryan yang sudah lama masuk ke dalam kereta hanya terdiam menunggu. Ryan mula risau akan Basyirah yang menahan hati dengan perangai Qalam. Qalam mula menunjukkan belangnya. Dia mula menjauhi Basyirah dan Ryan. Ryan mula menyimpan dendam Qalam berperangai pelik kerana Cinta, gadis yang sudah menjerat hatinya. Apa yang paling dia tidak mahu percaya, mengapa harus Qalam yang bertindak dan memulakan semua babak yang menyakitkan hati ini? Kenapa bukan orang lain? Kenapa mesti kawan baiknya sendiri yang sudah dianggap seperti saudara kandung sendiri?
“Dah lewat ni. Takut hang ketinggalan kapal terbang pula.” Su melihat jam tangannya.
Cinta tersenyum. “Aku pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Bye!”
Dengan senyuman, Cinta masuk ke dalam teksi diikuti oleh Aliff.  Qalam yang masih memerhati mula panas. Dengan perasaan marah, dia masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan lalu menekan minyak dengan kuat. Dia marah. Liff, nampaknya kau buat permainan yang salah. Bukan aku orangnya. Dia berdesis di dalam hati.

************************************************************************

CINTA menarik nafasnya. Udara segar Tawau akhirnya masuk ke hidungnya. Sabah, aku kembali!!
Welcome to Tawau, Sabah. Aku tau Tawau tidaklah semoden bandar di KL, tapi bagi aku lagi moden dari Kedahlah...” Aliff menjadi ketua rombongan cuti ini mula bersuara sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Tawau. Cuba berlawak dengan kata pendahuluan itu.
“Aku pernah dengar Tawau, tapi tak pernah pergi. Boleh tahan jugak.” Ryan bersuara. Pandangannya dilarikan ke setiap ruang di hadapannya. Udara memang segar, Sabah memang cantik!
“Aku berani yakin Sabah akan bagi kamu 1001 kenangan selama seminggu ni. Okey?” Aliff kelihatan semangat apabila kawan-kawannya mengunjungi negeri kelahirannya. Walaupun dalam situasi yang sedikit tegang berlaku antara semua orang yang ada, dia masih boleh menutup semua seperti tiada apa yang berlaku. Semua orang juga berlagak selamba walaupun masing-masing menyimpan perasaan kurang enak.
Aliff kemudiannya mengatur langkah. Semua orang mengikut arahnya. Di balai ketibaan, Pak Man sudah setia menanti mereka. Aliff kemudiannya dilihat menyalam mesra tangan lelaki itu. Semua kawannya kehairanan kecuali Cinta.
“Ni driver keluarga aku. Panggil dia Pak Man.” Aliff memperkenalkan.
“Assalamualaikum Pak Man...” Ryan memulakan sesi perkenalan dengan siap menyalam tangan lelaki itu. Qalam pula bertindak selepas itu. Pak Man tersenyum. Tidak menyangka bahawa kawan-kawan tuan mudanya begitu menghormati orang tua walaupun berpangkat pemandu sekalipun.
“Waalaikumsalam. Emm... Tuan Muda, kereta sudah siap. Ini kuncinya.”
“Tuan Muda? Boleh tahan kau Liff. Tak sangka pula aku yang kau kena panggil ‘Tuan Muda’. Wau, menakjubkan!” dikebingungannya, Ryan sempat berjenaka di hujung ayat.
Aliff menjadi malu. Dia lupa pada perkara itu. Dia tidak mahu dipanggil sedemikian rupa di hadapan kawan-kawannya. Seakan-akan budak kecil pula rasanya. Dia kemudiannya mengambil kunci dari tangan Pak Man dengan pantas.
“Kamu balik ikut Pak Man, okey. Aku follow dari belakang.” Aliff menjelaskan. Sudah perangainya begini. Dia suka untuk memandu sendiri. Tidak hairanlah apabila Pak Man menyediakan dua buah kereta hari ini sebagai menyambut kehadiran mereka. Satu kereta Aliff, satu lagi kereta khas untuk menjemput mereka.
Aliff mula mengatur langkahnya. Semua barangnya diangkut oleh Pak Man. Cinta mengikut di belakangnya. Qalam, Ryan dan Basyirah pula mengikut Pak Man. Semua mula bertolak pulang ke rumah.
Setengah jam perjalanan dari Lapangan Terbang, kereta yang mereka naiki mula masuk perkarangan sebuah rumah. Ryan memanjangkan lehernya memandang panorama sekeliling. Matanya membundar. Cantiknya.
“Wah, kalau akulah punya rumah ni, tak keluar enjoy pun boleh!” ujar Ryan sebaik sahaja turun dari kereta. Matanya terpaku dengan keadaan sekeliling yang cantik dihiasi permandang dunia. Rumah Aliff betul-betul terletak di hadapan laut. Dengar dengan jelas desiran ombak seakan-akan menyambut kedatangan mereka ke Tawau, Sabah.
Qalam memerhatikan Aliff yang baru keluar dari kereta. Adiknya juga sama. Cinta kelihatan diam sahaja. Dia memang berperangai sedemikian rupa. Seperti manusia yang tiada rasa apa-apa.
“Selamat datang ke rumah aku. Jom masuk. Tiada siapa kat rumah aku ni kecuali my Mum. Jom!” Aliff menjemput mereka masuk.  “Hah, barang kamu biar jak. Semuanya akan settle. Ada pembantu akan urus semua tu. Jom, aku kenalkan dengan mama aku dulu.”
Mereka semua mengatur langkah. Mengikut sahaja Aliff sepanjang hari ini. Nampaknya seperti Aliff ‘raja’ yang mengarah dan mereka yang lain menurut perintah. Memijak sahaja ruang rumah Aliff, Ryan, Qalam dan Basyirah masing-masing memandang sekeliling. Terpana melihat rumah besar yang dimiliki kawan mereka itu.
“Boleh tahan!” Qalam memuji perlahan dan didengari oleh Ryan sahaja. Ryan mengangguk setuju. Jarang-jarang melihat orang kebanyakan mempunyai rumah banglo sebesar Aliff. Nampaknya keluarga Aliff bukan calang-calang orangnya.
“Assalamualaikum Mama.”
Qalam, Ryan dan Basyirah memerhati penuh. Aliff memeluk mesra tubuh seorang wanita yang digelarnya ‘Mama’ sebentar tadi. Nampak seperti manja sangat. Seperti sudah bertahun-tahun lama tidak bertemu padahal baru dua bulan. Mereka masuk ke asrama.
Qalam terdiam. Aliff begitu akrab dengan Mamanya. Nampak seperti lelaki biasa tapi berdepan sahaja dengan orang tuanya, dia benar-benar tidak seperti Aliff yang pernah mereka jumpa. Manja mengalahkan perempuan. Dia tersenyum sendiri. Ada juga lelaki sedemikan di dunia ini lagi. Dan ada juga ibu sedemikian rupa melayan anaknya yang sudah berusia 21 tahun seperti mana anaknya berumur 3 tahun.
“Ta...”
Cinta tersenyum dan segera menyalam dan memeluk tubuh Mamanya.
“Sihat?”
Cinta hanya mengangguk kepada Mamanya.
“Ma, ni semua kawan Aliff. Qalam, Ryan dan tu tunang Qalam, namanya Basyirah. Basyirah ni orang Singapura.” Aliff memperkenalkan mereka. Basyirah segera pergi menyalam tangan Mama Aliff.
“Ya..? Jauhnya. Pelajar antarabangsalah ni?” Mama Aliff sempat berlawak di hujung ayatnya.
“Begitulah nampaknya. Tapi Ira dah biasa kat Malaysia sebab Ibu Ira buka business kat Johor. Malaysia atau Singapura, Ira rasa sama je.” Basyirah bersuara lembut.
“Liff, kami pun pelajar antarabangsa. Kamikan dari Brunei.” Ryan segera menyampuk.
“Yalah tu!” Aliff menangkis apa yang diperkatakan Ryan. Memang Ryan suka bergurau.
“Kau tak percaya ke? Nak aku bagi tengok IC?”
No, thank you.”
“Tak caya sudah!”
Aliff mengangkat kedua-dua keningnya. Dia meresakan dirinya menang dari Ryan. Ryan diam sahaja. Mengalah memang sikapnya.
Basyirah memerhatikan Qalam dari tadi. Tunangnya itu tidak pernah lekang pandangan dari memandang Cinta sepanjang hari ini. Cinta yang dilihat mula menghilangkan diri juga diperhatikan Qalam. Entah pergi mana gadis itu, tiada siapa perasan dia menghilang kerana gadis itu senyap sahaja dari tadi. Dia punya rumah, dia berhak pergi ke mana sahaja dia suka.

*************************************************************************

“LAM...”
Qalam memandang belakang. Ryan kelihatan menghampirinya.
Ryan menarik nafasnya. Dia perlu kuatkan semangatnya untuk terus berdepan dengan Qalam. Dia semakin tidak faham dengan apa yang sedang berlaku dengan sahabatnya tiu tapi dia yakin ada sesuatu yang tidak kena dan ini melibatkan semua orang. Mereka berdua, Aliff, Basyirah dan orang yang paling penting sekali Cinta. Bagi Aliff, waktu sekarang bukan masanya yang sesuai untuk membuka cerita kerana masing-masing mahu bersenang-senang dengan percutian ini. Biarlah semuanya berlalu dengan baik sekali dan dia tidak sesekali mahu merosakkan semua ini.
“Tak sangka pula rumah Aliff cantik macam ni. Dia anak orang kaya rupanya. Tidak hairanlah dia kelihatan segak dan kemas. Rupanya ‘Tuan Muda’.”
Qalam diam memerhati panorama di hadapannya. Mereka yang leka berdiri di balkoni bilik tetamu itu kelihatan sedang menghirup udara segar dari bayu laut di hadapan matanya. Bilik mereka yang terletak di tingkat kedua membolehkan mereka memerhati laut yang terbentang luas di hadapan rumah dengan jelas sekali. Patutlah Sabah terkenal dengan keindahan lautnya yang luas.
Ryan terdiam. Hatinya seakan-akan ditikam pisau apabila melihat apa yang sedang diperhatikan Qalam. Patutlah dia sanggup berdiri di situ sejak tadi walaupun panas petang menyinari. Tidak pernah dia sanggup berjemur di bawah panas sebelum ini. Rupanya dia melihat Cinta sedang duduk di batu yang terletak di hadapan laut.
“Tu adik Aliff kan?” Ryan berpura-pura tidak perasan apa yang sedang diperhatikan Qalam.
“Yan, kau suka adik Aliff?”
Ryan tersentak dengan apa yang disoalkan Qalam padanya. Qalam yang membuka topik itu terlebih dahulu. Ryan terdiam. Tidak sangka. Dia tidak tahu mahu menjawab apa pada Qalam ketika itu.
Sorry, Yan.”
Ryan terpaku apabila Qalam meninggalkannya di situ seorang diri dengan meminta maaf. Apa maksudnya? Ryan bingung. Apa yang dikhuatiri sebelum ini nampaknya sudah melihatkan permulaannya.
Ryan memandang belakang. Qalam tidak sesekali memandang ke arahnya. Sudah sikapnya sebegitu. Dia tidak suka memandang belakang atau ada orang memalingkan muka darinya. Tapi hanya seorang sahaja yang pernah Ryan nampak berani berbuat sedemikian. Cinta!


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^