Monday 17 June 2013

Mencintai Cinta - Bab 13

Bab 13

HARDI berdiri di sebelah Aliff. Leby yang datang bersamanya kelihatan mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Mendengar dari mulut perempuan itu tadi, dia mahu menyusul tindakan Alisa. Entah apa yang hendak disusulinya, Hardi sebenarnya masih kurang faham dengan apa yang dikatakan oleh perempuan itu.
Aliff menjeling dua saat pada Hardi yang tiba-tiba di sebelahnya. Pandangannya kemudian kembali melihat laut malam yang sedang terbentang luas di hadapan mata.
“Papa kau mana, Liff?” Hardi menyoal. Biasanya bila Ariyanshah ada di rumah, jangan harap mereka akan berkumpul seperti sekarang. Dia masak benar dengan Papa Aliff.
“Tiba-tiba ada meeting malam ni. Kenapa tanya?” Aliff menyoal sambil memandang muka sahabatnya.
“Aku sudah agak. Kalau Papa kau ada, dia tidak akan benarkan kita lepak di luar ni.”
Aliff tersenyum mendengar apa yang dinyatakan Hardi sebentar tadi. Memang sah Hardi sahabatnya. Dia kenal benar perangai Papanya. Memang sudah masak dengan semua itu.
“Aku ingat lagi masa kita lepak-lepak di sini dari petang sampai malam. Manalah kita sedar hari sudah malam sebab syok bercerita. Punyalah dia marah dengan kita time tu. Hampir dia keluarkan senapang nak tembak kami. Apa Papa kau cakap hari tu? Apa lepak-lepak sampai malam di luar rumah ni? Tidak ingat nak balik rumah? Aku tembak satu-persatu baru padan muka kamu semua!
Terburai ketawa Aliff yang mendengar. Hardi yang mengungkit cerita dua tahun lalu kelihatan berusaha mengajuk ayat Papanya dengan nada dan gaya sekali.
“Kau pun masak dengan Papaku. Dia tu dengan anak sendiripun dia tegas. Aku lambat pergi meja makan sarapan pagi pun boleh kena hukum. “
“Nasib baik bapak aku bukan tentera macam Papa kau. Kalau ya, hidup ini penuh dengan disiplin, ketegasan dan peraturan. Huhhh.. ndak sanggup aku..”
Aliff senyum dengan Hardi. Terburai semula ketawanya. Hardi ingat apa yang dia selalu katakan. Memang ayat yang sama terkeluar. Disiplin, ketegasan dan peraturan. Dengan perkataan itulah dia hidup di dunia ini. Ayat itu tidak pernah lekang dari bibir Papanya.
“Ta... kenapa dengan dia?”
Aliff menghentikan gelaknya. Memandang ke hadapan semula. Memang pandai Hardi mengumpan situasi kali ini. Mula-mula mahu berlawak. Rupanya mahu bertanyakan cerita pasal Cinta.
“Kenapa tanya?”
“Kau ni balik-balik ulang soalan yang sama...”
“Memang itu yang aku nak soal kau.”
“Okey...” Hardi pasrah. “Aku tidak pernah tengok Cinta lagi sejak kamu pergi UUM.  Dia okey?”
“Macam kau tidak tahu. Tapi... kalau nak dibandingkan dengan yang dulu, sekarang lagi okey sikitlah. Tapi entahlah, sejak dua menjak ni dia selalu menulis balik di bukunya. Duduk kat luar sendiri-sendiri dari pagi sampai petang dan kadang-kadang sampai malam. Selalu buat kerja sendiri. Depan Papaku jak dia bersuara. Lepas tu dia mula hilang-hilang. Biasalah...”
Hardi terdiam. Dia tahu kenapa mereka lepak di luar dan tidak di tempat biasa. Mahu ditanyakan kenapa pada Aliff, dia sudah tahu alasannya. Jadi, dia bertindak berdiam dari menyoal.
“Aku tengok Lisa dah berubah...” Hardi menyambung cerita lagi. Semasa dia dan Leby sampai tadi, dia disambut oleh Alisa. Melihat gaya dan tingkah laku gadis itu, dia kelihatan lebih matang dan tidak lagi seperti sebelum ini.
“Aku pun terkejut jugak. Dia siap jumpa Cinta petang tadi. Aku tengok diorang berpelukan. Dia siap pegang tangan Cinta. Keakraban diorang tu macam dulu semula tapi ini versi lain sikit. Versi Lisa yang lebih matang.” Aliff pula memberi pendapatnya.
Masing-masing senyap selepas itu. Tidak tahu mahu bicarakan hal apa lagi. Masing-masing kelihatan berfikir. Menganalisa perkara yang telah berlaku. Semuanya sudah lain. Berubah. Tapi Cinta? Kenapa dia kembali menyendiri? Itu yang merunsingkan mereka berdua.
“Assalamualaikum. Kami ganggu tak ni?”
Aliff dan Hardi tersentak. Masing-masing memandang serentak ke belakang. Ryan dilihat mengatur langkah ke arah mereka. Di belakangnya ada Qalam.
“Waalaikumsalam. Mana ada ganggu. Hah Hardi, nilah kawan-kawan aku yang aku bawak dari UUM. Yang itu Ryan. Tu Qalam. Emm... yang ni kawan baik aku di dunia. Namanya Hardi.”
Hardi tersenyum kerana dia mendengar dialah kawan baik Aliff di dunia. Pandai pula Aliff berkata-kata di sesi perkenalan kali ini.
“Hai. Ryan. Panggil je Yan.” Ryan bertindak seperti biasa. Bab bercakap dahulu, dia memang mahir. Terus disalam tangan lelaki yang baru dikenalinya itu. Namanya Hardi.
“Qalam...” bersuara juga Qalam menyebut namanya. Dia memerhati penuh lelaki yang baru disalamnya. Mukanya ada dalam bingkai gambar yang dilihatnya petang tadi. Ini bermaksud sudah lima orang dalam bingkai gambar itu yang ditemuinya. Sebentar tadi dia terjumpa perempuan yang bernama Leby. Ini bermakna semua perempuan yang ada dalam bingkai gambar itu sudah ditemuinya. Cinta, Alisa dan Leby. Sekarang bertemu pula dengan Hardi. Ini bermaksud tinggal seorang lelaki lagi yang dia belum jumpa. Mesti dia belum datang atau tidak akan hadir malam ini.
“Jadi ini semua budak-budak pendidikanlah ni. Bakal jadi cikgu,” Hardi bersuara membuka topik. Dia memang kaki bercerita. Persis dengan Ryan.
“Aamiin...” Ryan mengaminkan ayat Hardi. Berharap mulut Hardi masin.
“Dah lama ke kamu berdua kenal? Aku nampak dah macam adik-beradik.” Ryan menyoal. Melihat keakraban Aliff dengan Hardi, dia perasan Aliff tidak pernah melayan mereka sedemikian rupa sebelum ini. Walaupun mereka bersembang sedikit sahaja, tetapi cara Aliff tergelak tidak sama sama sebelum ini. Berjumpa kembali dengan gengnya, Aliff mula menunjukkan dirinya yang sebenar. Mengeluarkan cerita sebenar yang terbuku sebelum ini. Baru saat ini mereka dapat mengenali siapa sebenarnya Muhammad Aliff yang mereka kenali sejak minggu orientasi.
“Kami kenal sejak kecil lagi. Tahun satu tak silap. Aliff ni, kamu jak yang tidak kenal. Punyalah pembuli. Akulah orang yang selalu dibulinya dulu. Tapi bila aku tau dia anak tentera, akupun tercabar jugak. Patutlah dia berlagak, rupanya anak tentera. Aku pun pergi rancang nak belasah dia. Bila nak belasah dia tu, aku baru tau dia ni tidak ada kawan kerana tiada orang berani mau tegur anak tentera ni. Timbul rasa kesian, aku jinak-jinakkan diri dekat dengan dia. Baru aku tau dia ni memang sekepala dengan aku. Sejak tu kami jadi kawan baik.”
Aliff memandang Hardi. Dia mengungkit cerita lama. Nampaknya pekung di dadanya mula terbongkar kini dengan adanya Hardi. Pasti Hardi boleh menjadi orang yang boleh menceritakan semuanya. Mulutnya memang susah mahu ditutup mahupun dihalang.
“Aku tak taupun Papa kau tentera, Liff. Patutlah garang semacam,” Ryan menambah.
Aliff memandang Hardi. Geram. Nampaknya Ryan dan Hardi memang sukar mahu ‘dikawal’ kali ini. Mula menembaknya dengan cerita yang baru dibuka. Hanya Qalam senyap mendengar.
“Disiplin, ketegasan dan peraturan. Itulah motto dalam rumah Aliff ni. Mesti dituruti. Siapa yang ingkar, akan dijatuhi hukuman.” Hardi semakin galak menambah. Nampaknya Ryan mula menghamburkan suara tawanya. Qalam dilihat tersengih.
“Memang teruk kau kerjakan aku ya, Hardi.” Aliff berkata pasrah.
“Aku tau kau tidak akan cakap apa-apa sebab kau setuju dengan apa yang aku cakapkan?” Hardi mengumpan Aliff. Dia tahu itu kelemahannya.
“Okey kawan. Aku pun malas nak hidup begini tapi aku kena hadapi jugak. Dia tetap Papaku yang aku sayang...”
Semua orang ketawakan Aliff yang kalah mudah di tangan Hardi. Memang lucu raut wajahnya.
“Kamu tak taukah Papa Aliff ni ketua Komander TLDM?” Hardi menyambung lagi.
“Hah? Biar betul?” Ryan terkejut beruk. Memandang Qalam segera. Qalam juga terperanjat.
“Kamu tak tau? Kesiannya...” sempat berlawak Hardi di hujung ayatnya.
“Kenapa selama ini kau tak bagitau kat kitorang Liff?” Ryan segera menyoal Aliff.
“Hah..? aku rasa tidak pentingpun nak bagitau. Hardi ni yang suka over-overkan cerita. Benda tu pun nak bagitau orang.” Aliff sedikit geram. Hardi benar-benar sudah memulakan cerita.
Ryan memandang Qalam sekali lagi. Patutlah macam pernah nampak Papa Aliff sebelum ini. Rupanya pegawai tentera laut di-Raja. Mukanya sinonim dengan banyak orang. Memang sebelum mereka ada melihat gambar Papa Aliff berpakaian tentera tergantung di ruang tamu utama rumah. Tidak sangka pula dia seorang komander TLDM. Memang tidak disangka-sangka.
“Rancak berbual. Kami nak joint jugak!”
Aliff, Hardi, Ryan dan Qalam memandang belakang serentak. Muncul empat gadis di situ. Leby, Alisa, Cinta dan Basyirah. Perbualan terhenti tiba-tiba.
“Aik, stop pulak...” Leby meneruskan kata-katanya. Pelik melihat semua orang memandang tepat pada mereka berempat. “Hai. Saya Leby...” Leby bijak mengawal keadaan. Dia memperkenalkan dirinya kepada Ryan dan Qalam yang baru pertama kali dilihatnya.
“Dia buah hati manusia ni,” Aliff segera bersuara. Hardi ditunjuknya. Semua orang melihat Hardi dan Leby.
“Patutlah mesra semacam.” Ryan bersuara semula.
“Kau kenakan aku balik ya, Liff!” Hardi menyoal dan memandang tepat muka Aliff.
“Siapa yang mulakan dulu?”
Ryan dan Qalam tersengih. Pandai juga Aliff melawan. Melihat telatah mereka berdua, memang sah mereka sahabat. Melalui pandangan mata Aliff sahaja semua orang tahu mereka itu seperti ada satu ikatan yang sukar mahu dileraikan. Ikatan yang istimewa itulah membawa persahabatan kukuh antara mereka.
***************************************************************************
QALAM memerhati laut malam yang terbentang luas di hadapannya. Memang nyaman. Tidak hairanlah bila rumah Aliff ini selesa. Kedudukannya yang betul-betul berhadapan laut sangat mendamaikan. Sesiapa sahaja mengidamkan rumah didirikan di tempat sebegitu.
Suara Aliff dan gengnya bercerita rancak kedengaran. Qalam sudah letih mahu mendengar kerana setiap ayat yang dikeluarkan mereka semuanya menggelikan hati sesiapa sahaja yang mendengar. Dia tidak sanggup lagi lalu menggunakan alasan mahu menelefon keluarganya untuk pergi dari situ.
“Boleh saya duduk?”
Qalam terperanjat. Segera mengalihkan pandangan ke kanannya. Tidak menyangka Aisa muncul.
“Duduklah. Saya pun tetamu kat sini. Tak perlu minta kebenaran dengan saya.” Ujar Qalam.
Alisa melabuhkan punggung di sebelah kiri Qalam. Duduk di atas pasir seperti ini tidak lagi asing baginya. Dulu dia selalu duduk di situ bersama-sama gengnya. Semua itu selalu dilakukannya dulu. Sekarang... tinggal kenangan.
“Awak tak telefon siapa-siapapun. Kata tadi mau call your family.”
Qalam senyap. Dia terjerat akibat alasannya sendiri.
“Awak mau lari dari sana, kan?” sakat Lisa.
“Saya penat nak layan cerita lawak diorang. Duduk kat sinikan syok jugak. Dah lama tak rasa angin macam ni. Kena-kena pula berdepan dengan laut malam. Dah lama tak rasa keindahan malam macam ni,” sangat bijak Qalam mengatur ayatnya. Ini pula alasannya kali ini.
“Saya dengar awak sudah bertunang. Betul?”
Qalam memandang Alisa. Gadis itu memang banyak bertanya padanya.
“Siapa cakap kat awak?” Qalam yang bingung menyoal. Sejak mereka berkumpul petang tadi, tiada seorang pun buka cerita tentang pertunangannya.
“Cinta.”
“Hah?” Qalam terperanjat. Tidak menyangka benar Cinta akan membuka mulut. Otaknya mula berpusing. Baru teringat Cinta dan Alisa memang sahabat baik persis adik-beradik. Tidak hairan bila Cinta buka mulut. Tapi kenapa dia ceritakan pada Alisa? Qalam berasa pelik. Seakan-akan tidak percaya tindakan Cinta.
“Awak percaya kalau saya cakap Cinta yang cakap dengan saya?”
“Apa alasan yang boleh buat saya tak percayakan awak? Tapi, boleh jadi juga saya tak percaya sebab Cinta jenis gadis yang senyap. Saya tak tahulah kalau dia dengan awak. Ada kemungkinan besar dia cerita kat awak sebab saya nampak ada pertalian ‘kekeluargaan’ dalam persahabatan geng korang.”
Alisa memerhatikan Qalam yang petah menjawab. Dia tertarik. Cara Qalam memang menarik hatinya untuk kenal lelaki itu lebih jauh lagi.
“Mama Aliff yang cerita kat saya tadi. Time tu saya kat dalam nak jumpa Cinta. Kalau nak harap Cinta buka mulut, tahun depan pun tidak tentu lagi dia akan cakap atau tidak.”
Qalam tersengih. Kali ini dia pula yang tertarik dengan apa yang dikatakan Alisa padanya. Baginya, cerita yang berkaitan dengan gadis yang bernama Cinta itu pasti dia berminat.
“Awak perasan tak ada orang yang sedang perhatikan awak sejak tadi? Dan mungkin sekarang ni pun dia tengah perhatikan kita.”
“Siapa?” Qalam menyoal terkejut. Tidak menyangka dengan apa yang yang telah dinyatakan oleh Alisa. Dia memandang kiri dan kanan sejenak. Memerhati semua kawannya. Mencari siapa gerangan orang yang dikatakan oleh gadis di sebelahnya.
“Awak rasa?”
“Ryan?”
No.Perempuan.”
“Basyirah?”
“Basyirah... mungkin. Tapi dia perhatikan awak bila saya duduk berdua dengan awak sekarang. Ada lagi orang yang perhatikan awak sejak tadi lagi.”
“Bukan Basyirah?”
Alisa menggelengkan kepalanya. Qalam berfikir. Perempuan? Hanya ada hanya Lisa, Leby, Cinta dan Basyirah malam ini. Kalau bukan Basyirah, takkanlah Alisa. Dia duduk di sebelahnya kini.
“Leby?”
“Apa pulak Leby. Dia tidak akan perhati orang lain lagi selain Hardi. Jangan nak perasan sangatlah..”
“Alyah?” tiada lain lagi yang perlu disebutkan Qalam. Hanya Cinta sahaja jawapannya.
“Hah...? emm.. ya!.” Tergamam sebentar Alisa mendengar nama yang disebut oleh Qalam. Memang orang yang sama tapi kenapa dia panggil Cinta dengan nama akhirnya?
“Mustahil.” Qalam memang tidak percaya. Alisa bijak membuat lawak. Kali ini mesti dia berlawak lagi.
“Saya serius. Saya sebelah dia sejak petang tadi lagi. Awak jangan lupa yang kami berdua ni macam adik-beradik.”
Qalam senyap. Mula menjeling ke belakang. Memerhati Cinta yang duduk keseorangan di tempat lepaknya seperti sebelum ini. Mustahil dia perhatikan aku. Apa faedahnya?
“Dia... emm... dia tu memang suka sorang-sorang ke?” berani pula Qalam menyoal.
“Memang dia macam tu. Dulu pendiam jugak tapi macam biasalah. Cuma sekarang ni kritikal sikit. Dia tak akan mau tegur orang kecuali benda penting.”
“Kenapa dia jadi macam tu?”
Alisa hanya tersenyum. “Tanya tuan punya badan sendiri.”
Qalam senyap. Apa lagi dia mahu katakan jika Alisa sudah berkata nekad sedemikian. Dia tidak suka memaksa orang yang tidak mahu membuka cerita.
“Memang korang geng berenam ke?” Qalam menyial lagi.
“Ya. Macam pelikkan. Tiga lelaki, tiga perempuan. Boleh pulak jadi satu geng. Tapi, mungkin inilah yang dinamakan takdir.”
“Saya tengok macam adik-beradik. Adik-beradik pun tak seakrab korang semua.”
“Mestilah.” Dengan senyuman, Alisa mengatur katanya. Memang bersetuju dengan Qalam.
Qalam tersenyum.
“Awak memang rapat dengan Alyah?”
Alisa memandang Qalam. Bila Qalam memandang padanya, dia segera memandang ke hadapan. Melihat kesungguhan Qalam menyoal, nampaknya seperti dia sedang mengorek cerita. Kebanyakannya bersoalkan tentang Cinta. Dia suka Cinta? Tapi kenapa?
“Saya kenal dia start form two. Semester kedua dia naik kelas ke kelas saya. Kami duduk bersebelahan. Kebetulan saya tinggal tak jauh dari sini. Jadi, bila ada masa lapang saya lawat dia. tak sangka kami jadi rapat.”
“Dia memang suka duduk kat situ ke sambil tulis sesuatu kat buku?”
“Memang tu tempat dia lepak sejak dulu. Tempat istimewa baginya. Dia memang suka menulis. Macam-macam dia tulis. Selalunya sajak, cerita...  entahlah. Saya pun tidak pasti jugak sebab saya tidak pernah lagi baca.”
“Tempat ni memang tempat korang lepak ke?”
“Emm... yup. Kami lepak di sinilah kalau Papa Aliff ada kerja luar. Dia tak bagi kami berkumpul di sini terutamanya malam. Tau-taulah Papa Aliff tu disiplin sikit. Tapi kami ada bilik lepak. Bilik jamming dalam rumah Aliff tu. Kami selalu di sana.”
“Ohh... tapi tak pernah pun nampak korang lepak kat sana sekarang.”
“Entahlah macam mana nak cakap. Mungkin kami tidak akan lepak sana lagi.”
“Sebab?”
Alisa hanya tersenyum. Tiada tanda-tanda dia mahu menjawab soalan. Qalam diam. Dia terpaksa akur. Lisa tidak mahu membuka cerita. Mungkin mereka ada sebab tertentu. Oleh sebab Qalam tidak mahu memanjangkan cerita, maka dia berhenti menyoal hal itu. Rasanya tidak perlu dipanjangkan.
 “Alyah... dia dah ada... ada...”
Boyfriend?” cepat Alisa menyambung. Dia tahu lidah Qalam tersekat dan sukar mahu menyebutnya. Mungkin dia malu.
Qalam tersengih.
“Ada.”
Qalam senyap. Nafasnya seakan-akan mahu berhenti.
“Dulu. Tapi sekarang dah berpisah. Kenapa tanya?”
Qalam diam. Memandang ke hadapan semula. Tidak disedari, bibirnya tersenyum bahagia.
“Awak suka dia?”
“Hah?!” Qalam ralat. Sekali lagi terjerat dengan tindakannya sendiri.
“Lam!!!”
Mereka senyap. Segera memandang belakang serentak. Ryan berteriak kuat memanggil nama Qalam.
“Sini kejap. Cepatlah!!”
Qalam memandang Alisa di sebelahnya. Pandangan yang membawa makna meminta diri untuk perg. Alisa hanya diam. Memerhatikan pandangan Qalam yang sudah berjaya mengganggu mindanya.
“Saya kena pergi sana. Kalau tak, melalaklah Ryan malam-malam ni.”
Alisa tersenyum. Pandai juga Qalam berlawak.
“Okey.”
“Jangan cakap kat siapa-siapa tentang apa yang kita bualkan.”
Alisa tersenyum lalu mengangguk. Qalam mula mengangkat punggung dan berdiri lalu mengatur langkah pergi dari situ. Alisa menjadi senyap. Memerhati penuh Qalam yang sudah berlalu. Kenapa lelaki itu muncul? Dia mula mengganggu fikiran Alisa.
Dia suka Cinta? Tapi kenapa boleh terjadi? Alisa bingung. Dia mula menjeling ke belakang. Memandang Cinta yang duduk menulis sesuatu di bukunya. Cinta sering kali memandang pada Qalam. Qalam pula menunjukkan tingkah laku sama dengan Cinta. Dia perasan lelaki itu asyik memandang pada Cinta sejak pertama kali dia melihat Cinta dan Qalam bertemu.
Mereka suka sama suka? Tapi kenapa? Benarkah Qalam suka Cinta? Kenapa boleh jadi perkara seperti ini? Benda seperti ini tidak boleh berlaku antara mereka berdua.
Ada apa sebenarnya dengan Cinta?
Qalam menghampiri Ryan yang memanggilnya sebentar tadi. Ryan ada bersama Hardi, Aliff, Leby dan Basyirah.  Apabila dia tiba, semua orang melihatnya dengan pandangan yang sama.
“Kenapa?” Qalam mengambil tindakan menyoal. Dia segan dipandang oleh semua orang.
“Duduk dulu.” Ryan mengajak duduk di sebelahnya.
Qalam menurut sahaja. Menghirup udara malam betul-betul di hadapan laut memang indah seindah saat sekarang. Lebih istimewa apabila mereka hanya duduk di atas pasir tanpa sebarang pelapik.
“Lam, diorang tak caya yang kau dah tunang dengan Basyirah.” Ryan membuka cerita.
Qalam tergamam sebentar. Melihat Ryan yang membuka topik. Dia kemudian mengalihkan pandangan pada Basyirah. Gadis itu kelihatan tersenyum simpul. Aliff di sebelahnya tersenyum sumbing. Hanya Leby dan Hardi yang memerhati penuh mahukan jawapan daripada mulutnya. Permainan apa yang mula dibuat oleh Ryan malam ini?
Qalam mula mengukir senyuman singkat. Tidak mengiyakan atau menidakkan ayat Ryan.
Basyirah tersenyum. Puas. Sudah beberapa hari dia makan hati dengan perangai Qalam. Senyuman dari Qalam sudah berjaya membuatkan dia tersenyum semula walaupun dia tahu Qalam terpaksa. Apa yang dia puas, biar semua orang tahu Qalam sudah ‘terikat’ dengannya.
Ryan juga puas. Dia nekad. Selama ini dia menurut kata Qalam tanpa sebarang bantahan. Sekarang, dia mahu mempertahankan perasaannya. Dia tidak boleh kalah dengan Qalam dan kini dia tahu bagaimana caranya. Apa yang penting baginya sekarang, Qalam akan tetap bersama Basyirah dan dia akan cuba memenangi hati Cinta.
Aliff menarik nafas. Juga puas. Qalam boleh kalah mulai saat ini. Ini kelemahannya. Ikatan pertunangannya dan Basyirah. Selepas ini dia boleh jarakkan Cinta dengan lelaki itu. Cinta tidak boleh dekat dengannya!
“Kalau Qalam dah bertunang, macam mana dengan kau, Yan?” Hardi menyoal pula.
Ryan tersenyum malu. Ini peluangnya untuk bertindak.
“Tak tunanglah lagi.” Jawab Ryan malu-malu.
Girlfriend?” Leby segera menyoal.
“Tak ada.”
“Bohong...” Hardi menyangkal.
“Betul. Tapi, suka kat sorang dak perempuan tu. Tapi dia tak tahu pun.”
“Siapa?” Leby menyoal.
Qalam memerhati tajam Ryan dalam diam. Jiwanya panas dengan apa yang dilakukan oleh Ryan. Dia sudah mengagak apa permainan Ryan malam ini.
“Yang duk kat belakang tu.”
Leby dan Hardi membesarkan mata. Berpandangan sesama sendiri.
“Cinta?” mereka menyoal serentak.
Ryan mengangguk perlahan. Malu-malu.
What?”
Semua tersentak bila mendengar suara Alisa. Dia yang datang tiba-tiba mula dipandang.
“Awak suka Cinta?” Lisa segera menyoal.
Ryan mengangguk padanya. Leby dan Hardi saling berpandangan semula. Kemudian serentak memandang Aliff pula. Alisa juga sama.
Qalam menggenggam pasir di tangan kanannya. Kepulan penumpuknya erat digenggam. Dia benar-benar marah dan ingin membelasah Ryan saat itu juga. Dia terkena malam ini. Permainan Ryan berjaya menyemarakkan api kemarahannya. Dia kalah pada Ryan.
Basyirah memerhatikan kemarahan Qalam. Dia tetap tersenyum. Permainan Ryan malam ni memang bagus. Dia boleh tabik dengan Ryan selepas ini kerana sudah pandai bertindak berani.
“Liff...” Hardi memanggil Aliff. Dia yang masih terpeanjat dengan pengakuan Ryan.
Aliff memberi isyarat senyap dan tidak bertindak apa-apa pada Hardi. Hardi terpaksa diam. Aliff kemudiannya melihat pada Alisa. Alisa kelihatn diam. Mungkin tidak berpuas hati. Dia kemudiannya memandang pada Cinta yang ada duduk berseorangan.
Ada apa dengan Cinta sebenarnya?

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^