Sunday 22 September 2013

Mencintai Cinta - Bab 17

Bab 17

“JANGAN!!! Tolong jangan tinggalkan saya!!!”
Ryan terperanjat. Dia segera menghampiri pintu bilik Cinta. Mengintai apa yang berlaku di dalam. Cinta sedar dari tidurnya. Meracau kuat seperti orang yang tidak siuman. Kak Lina yang sentiasa ada di sisinya kelihatan cuba menenangkannya namun tidak berjaya. Tiada cara lain lagi, Ryan terpaksa masuk campur. Dia masuk ke dalam bilik segera.
“Tak apa En. Ryan. Cik Cinta akan okey.” Ujar Kak Lina pada Ryan yang tiba-tiba muncul di sebelahnya.
Ryan senyap. Terpaksa menahan hajatnya untuk menolong Kak Lina menenangkan Cinta.
“Cik Cinta mengucap...”
Cinta menarik nafasnya perlahan. Pandangannya lari pada wajah Kak Lina yang memegangnya. Dia mula senyap. Meligatkan otaknya mengimbas apa yang telah berlaku sebelum ini.
“Astaghfirullah...” lafaz Cinta perlahan. Mengesat peluh yang sudah membasahi dahinya. Aku bermimpi lagi. Keluhnya dalam hati. Matanya melihat kelibat Ryan yang ada di situ. Baru dia tersedar bahawa Ryan ada ketika dia meracau tadi.
“Awak okey?” Ryan menyoal perlahan.
“Apa yang awak buat di sini?” Cinta menjawab dengan melontarkan soalan kepada Ryan. Segera mencapai tudung yang berada di atas meja sebelah katilnya. Menutup rambutnya dari penglihatan Ryan.
“Saya...” Ryan tiada jawapan. Ayatnya mati di situ sahaja.
“Cik Cinta...”Kak Lina bernada perlahan dengan Cinta. Ryan hanya memerhati apa yang telah dilakukan oleh pembantu rumah itu. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas tentang apa yang ingin dibicarakan oleh perempuan itu pada Cinta.
“En. Ryan ada di sini sejak cik tidak sedarkan diri tadi lagi. Kesianlah dengan dia. Mungkin dia mahu cakap sesuatu dengan cik.”
Cinta melarikan pandangannnya kepada Ryan. Lelaki itu kelihatan senyap. Tentu dia tidak mendengar apa yang telah dikatakan oleh Kak Lina.
“Kak Lina nak keluar dulu. Tuan Ariyanshah suruh Kak Lina inform kat dia bila Cik Cinta sedar.”
Cinta hanya senyap. Ryan kelihatan terperanjat sedikit mendengar Kak Lina mahu mengundur diri di saat ini. Apapun yang terjadi, dia hanya membatu tidak boleh berbuat apa-apa. Mungkin inilah ruang yang diberikan padanya untuk berbicara dengan Cinta hanya empat mata. Tiada orang lain yang menghalang.
“Awak okey?” untuk kali yang kedua, Ryan menyoal soalan yang sama pada Cinta.
“Saya okey. Maaf buat semua orang panik termasuk awak.”
“Tak apa.” Ringkas sahaja jawapan yang diberikan oleh Ryan. Pertama kali dia memulakan bicara dengan Cinta. Dia merasakan sedikit kekok. Semua soalan yang ingin ditujukan hilang dari mindanya. Mulutnya juga seakan-akan terkunci. Dia mula tidak tentu arah.
Keadaan hening. Cinta tidak bersuara lagi. Ryan pula mula hilang topik. Segalanya seakan-akan tergendala. Dia sendiri tidak tahu kenapa ini berlaku. Apa yang pasti, ini kali pertama dia kelihatan seperti budak pendiam. Ini bukan Ryan sebelum ini.
Mata Ryan mula terfokus di atas meja sebelah katil Cinta. Gambar Cinta dengan seorang perempuan yang seiras dengan gadis itu. Sebelah bingkai gambar itu pula gambar perempuan tadi dengan Papa Cinta. Siapa perempuan itu? kenapa muka dia bukan muka Mama Aliff? Adakah Papa dia kahwin dua? Ryan menyoal benaknya sendiri. Bingung.
“Emmm... saya... baik saya keluar dululah. Tak manis saya duduk di dalam bilik perempuan berdua je. Lagipun saya nak cari Qalam dan Aliff. Awakpun dah okey. So, saya tak perlu risau lagi..”
“Hah?”
“Maksud saya... kami semua tak perlu risau lagi. Nanti saya bagitau yang lain yang awak dah okey.” Segera membetulkan ayatnya. Hampir lagi terlepas dari lubuk hatinya.
Cinta menggangguk. Ryan dilihat mengatur langkahnya keluar dari situ. Hilang sahaja bayang-bayang lelaki itu, Cinta memandang pada bantal di sebelahnya. Tangannya dimasukkan ke bawah bantal itu.
Ryan memerhatikan penuh tindakan Cinta melalui ruang kecil dari muka pintu. Pensil apa yang Cinta pegang? kenapa perlu disorokkan di bawah bantal. Kenapa mesti diletakkan di situ? Mesti ada makna semua ini. Kemungkinan besar ada kaitan dengan sikap Cinta yang sering meracau. Ryan yakin dengan apa yang telah dipersoalkannya.

*************************************************************************

QALAM terduduk. Terasa sedikit longlai. Aliff yang berada di hadapannya menghadap dinding. Ruang ‘Nota Cinta’ yang penuh dengan gambar Cinta dengan Aliff Hamdie di hadapan mereka direnung mendalam dengan begitu bermakna.
“Malam tu malam yang paling bersejarah bagi Cinta. Bila aku sampai kat tempat kejadian, aku nampak Cinta senyap walaupun dia menangis. Bila aku sentuh dia, dia kaku macam manusia tak ada perasaan.”
Qalam tekun mendengar cerita Aliff. Dia sudah tahu punca Cinta suka meracau. Dia akhirnya juga tahu ke mana Aliff Hamdie selama ini.
“Aliff Hamdie?” Qalam menyoal tiba-tiba.
“Tikaman yang terkena pada Aliff Hamdie mengakibatkan dia hilang banyak darah. Dia koma dua hari sebelum meninggal.”
What?” Qalam memandang tepat muka Aliff. Reaksinya terkejut.
“Ya. Aku kehilangan seorang sahabat yang paling aku sayang kat dunia ni. Kematian Aliff Hamdie mengubah hidup kami berenam. Cinta selalu meracau. Dia hidup persis mayat hidup. Kalau dia tak meracau, dia senyap seorang diri. Mengurung dirinya sendiri. Tak makan, tak minum. Kata doktor, dia trauma dengan apa yang berlaku. Empat bulan pertama arwah tinggalkan kami, dia alami amnesia. Dia tak kenal semua orang termasuk aku sendiri. Kau bayangkan keadaan Cinta masa tu. Beberapa kali dia masuk wad kecemasan kerana mempunyai masalah pada organ dalaman disebabkan anemia yang teruk dan kekurangan zat akibat tak makan dan minum. Dia makin kurus sampai doktor sendiri pernah cakap yang dia tak ada harapan lagi untuk terus hidup. Tapi Alhamdulillah, berkat doa semua orang dia semakin pulih sekarang.”
So, dia meracau semula sebab aku? Dia jumpa manusia yang seiras dengan Aliff Hamdie. Orang yang sudah meninggalkannya buat selama-lamanya.” Qalam sudah mendapat jawapannya.
“Kalau aku bagitau kau sesuatu, aku harap kau jangan terkejut.”
“Bagitau apa?” Qalam menyoal bingung. Ayat Aliff Hamdie sebentar tadi mempunyai makna yang begitu mendalam.
“Doktor pernah sahkan Cinta tak waras sejak mengalami amnesia.”
Qalam membesarkan kedua-dua biji matanya. Ayat Aliff seakan-akan mencucuk deria pendengarannya.
“Tak waras?” Qalam mengulang. Menyoal mendapatkan kepastian.
“Ya. Cinta kata dia nampak Aliff Hamdie dalam hidupnya. Dulu dia kritikal sangat sampai nampak Aliff Hamdie sepanjang hari tapi sekarang Alhamdulillah dah kurang sikit. Dia kata dia nampak bayangan Aliff Hamdie di mana-mana je. Dia selalu bercakap seorang diri sebab benda tu. Kau ingat tak Cinta pernah cuti sakit seminggu sebab dia sakit? Papa aku ada telefon aku dan bagitau penyakit Cinta tu menyerang dia semula. Minggu tu dia merapu sorang-sorang sampai Papa aku masukkan dia ke dalam hospital untuk dipantau. Syukurlah dia sembuh semula dalam masa singkat.”
Qalam terdiam. Mengimbas semula detik dia pernah bertemu Aliff suatu ketika dulu. Dia nampak lelaki itu menangis. Saat itulah dia mula mengenali lelaki itu dengan lebih akrab apabila keduanya menceritakan hal peribadi masing-masing dengan lebih terperinci. Masa itulah juga mereka berbincang tentang pertunangan mereka yang seringkali dilanda masalah masing-masing.
So, dia meracau sebab bayangan yang dia nampak?” Qalam menyoal. Ya, soalan inilah yang paling penting sekali baginya. Dari dulu dia ingin tahu kenapa Cinta berkelakuan pelik.
“Ya. Dia akan meracau macam yang kau nampak.”
Persoalan di benak Qalam selama ini akhirnya terjawab malam ini. Inilah persoalan utama yang sering melanda mindanya. Dia tidak menyangka, di sini, di rumah Aliff sendiri cerita itu terbongkar sedikit demi sedikit.
Ryan mematungkan diri di luar bilik. Mendengar setiap ayat yang dikeluarkan Aliff kepada Qalam, dia terpaku. Nasib Cinta mula diselongkar satu per satu. Gadis itu memang misteri. Namun, masih banyak lagi yang belum terbongkar. Ya, dia sangat pasti. Pensil, gambar perempuan yang bersama Papa Cinta dan mungkin selepas ini ada lagi benda yang timbul. Ryan yakin, ceritanya tidak semudah ini.

****************************************************************************

ALIFF memejamkan matanya. Jam di dinding sudah menunjukkan angka tiga pagi namun dia masih tidak dapat lena. Telinga dari tadi mendengar suara jelas Aliff Hamdie.
“Kau janji de... dengan aku, Liff. Ja... jaga Alyah sebaik... yang mungkin. To... tolong hentikan... tangisannya. Aku nak... dia... senyum semula macam biasa...”
Aliff menangis. Aliff Hamdie yang kelihatan nazak masih cuba sedaya upayanya menyampaikan amanah. Tangan mereka tergenggam erat menunjukkan ikatan persahabatan yang begitu kukuh.
“Aku tak boleh janji. Aku mungkin tak boleh kembalikan senyumannya. Kau sendiri tau, dia tersenyum semula pun sebab kau hadir dalam hidupnya. Hanya kau yang dapat mengubah dia.”
“Kak Lisa...” Aliff Hamdie memanggil kakak kembarnya. Alisa yang berdiri di sebelah kanannya masih menangis tidak berhenti melihat adik kesayangannya dalam keadaan sedemikian. “Tolong DD, Kak... Lisa. Hanya... Kak Lisa dan... Aliff yang boleh buat... semua ni. Tolong...”
Alisa hanya menangis. Naluri kembar yang dimilikinya membuatkan dia agar sukar menerima kenyataan bahawa separuh hidupnya akan hilang bila-bila masa atas kehendak-Nya. Keadaan adiknya yang nazak sebegini agak sukar kerana terlalu berat untuk dihadapi.
Aliff tersentak. Cerita lama menguasai mindanya. Sudah lama adegan itu cuba dilupakan namun semakin sukar untuknya. Bingkai gambar di hadapannya ditenung. Muka Aliff Hamdie menjadi fokus utamanya.
“Aku dah cuba yang terbaik, Liff. Aku masih gagal. Aku tak akan kalah demi janji yang kau berikan pada aku dan Lisa. Demi kau, Liff. Demi persahabatan kita. Aku akan buat sampai boleh. Aku tak akan peduli walau apapun yang akan terjadi. Asalkan Cinta tidak meracau lagi dan kembali senyum macam dulu. Aku janji!”
Aliff menggenggam tangannya. Cincin pertunangan di jari manisnya ditenung sedalam-dalamnya. Liff, aku akan buat apa yang boleh. Demi janji kita. Demi senyuman Cinta!

***************************************************************************

ALISA memerhati gambar di hadapannya. Wajah Qalam bermain di dalam otaknya. Wajah Aliff Hamdie yang ada dalam bingkai gambar di hadapannya juga diperhati penuh. Kenapa ada takdir sedemikian rupa? Dia masih melegarkan soalan itu di dalam otaknya. Dia bingung dengan apa yang telah berlaku.
“Kak Lisa masih tak faham. Kenapa Qalam muncul? Dia macam dekat dengan Kak Lisa. Siapa dia yang sebenarnya? Kenapa Kak Lisa dapat merasakan ada aura DD dalam diri Qalam?” Alisa bersuara seolah-olah menyoal gambar di hadapannya.
“Kak Lisa...”
Alisa terdiam. Membatu seketika. Tubuhnya dipusingkan perlahan ke belakang. Ke arah suara yang baru menyapanya sebentar tadi.
Bayangan itu muncul semula. Alisa menarik nafas perlahan.
“Dalam diri Qalam ada DD.”
Alisa terdiam. Apa yang cuba disampaikan oleh bayangan itu, dia masih kurang pasti. Apa yang dia pasti, memang bayangan itu dilihat dengan jelas. Dia tidak bermimpi.
“DD...” Alisa memanggil nama timangan manja adiknya. Dia sekeluarga sahaja yang memanggilnya dengan nama singkat itu. Juga gadis yang dicintainya, Cinta Nur Alyah.
“Tolong kembalikan senyuman Alyah. DD rayu dengan Kak Lisa... kak boleh tolong DD.”
Alisa menggeleng beberapa kali. Dia yang lemah mendengar suara adik kesayangannya itu dilihat mengalirkan air mata perlahan.
“Qalam... dia ada jawapannya sebab dalam diri Qalam ada DD.”
“Hah?” Alisa masih bingung. Ayat itu masih samar dan tidak ditemui makna mendalamnya.
“DD perlukan senyuman Alyah... please...”
Alisa meliarkan matanya. Bayangan itu hilang sebaik sahaja menamatkan ayat yang mendayu-dayu itu. Dia menarik nafas. Air mata yang mengalir perlahan kelihatan tidak tumpah lagi. Dia kemudiannya tunduk. Menarik nafas dengan cermat.
Sudah lama dia tidak didatangi bayangan itu. Dia juga masih tidak tahu kenapa dia masih mengalami keadaan ini. Adakah satu mimpi atau anugerah Ilahi? Dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia pasti, bukan dia seorang sahaja yang mengalami keadaan ini. Cinta juga sama.
Beberapa hari selepas pemergian Aliff Hamdie, dia didatangi bayangan adiknya itu. Dia pelik kerana dia boleh berkomunikasi dengan bayangan seakan-akan roh itu. Apabila mendengar khabar bahawa Cinta trauma dan anemia kerana dipercayai didatangi bayangan Aliff Hamdie, dia terperanjat. Dia bingung. Namun, dia tidak pernah membuka mulut pada sesiapa termasuk kedua orang tuanya dan kawan-kawannya. Dia takut disahkan tidak siuman sama seperti Cinta.
Tak! Semua ini bukan satu ilusi seperti mana doktor yang merawat Cinta sahkan. Ini satu realiti. Bayangan itu benar-benar wujud. Kami bukan manusia gila.


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^