Saturday 27 April 2013

Mencintai Cinta - Bab 7


7


Suasana di kafe DPP Bank Muamalat turut dikunjungi pelajar dari DPP Yayasan Al-Bukhari (YAB) yang terletak bersebelahan sahaja riuh seperti biasa. Pelbagai ragam mahasiswa dan mahasiswi dapat dilihat. Ada yang sibuk menjamu selera secara berkelompok dan ada juga yang sibuk melayari internet. Tidak hairanlah bila tempat itulah yang sering dipilih menjadi tempat pertemuan dan perbincangan assignment berkumpulan dijalankan.
Ryan memerhati Aliff. Wajah kawannya itu tenang sahaja tapi dia yakin lelaki itu risau. Masih boleh lagi dia berlagak seperti biasa kini. Pandangan Ryan dialihkan kepada Qalam pula. Dia yang ditemani Basyirah kelihatan bahagia sekali. Walaupun Basyirah tidak terlibat dengan perbincangan assignment mereka, namun kerana cinta gadis itu dia sanggup menemani Qalam untuk beri semangat. Dia masak benar dengan perangai Qalam yang sangat manja. Adanya Basyirah di sisi, dia ada semangat lebih untuk membuat sesuatu.
Suhana, rakan sebilik Cinta pula sedang bermuka serius. Dia yang berada di hadapan Qalam sedang duduk bersama Nizam, juga rakannya. Mereka juga pasangan kekasih sejak tingkatan enam lagi.
Ryan mengeluh perlahan. Kenapa semua orang boleh buat selamba seperti tiada apa yang sedang berlaku kini? Dia bengang. Geram seorang diri.
“Kau kenapa?”
Ryan sedikit terperanjat apabila Qalam menyoalnya. Mungkin ketika dia mengeluh tadi, Qalam mendengarnya.
“Tak ada apa-apalah. Penat.” Perlahan sahaja jawapan Ryan. Takut mengganggu perbincangan yang sedang dijalankan.
Relax, okay? Everything will be fine. Janganlah risau sangat.” Qalam menasihati perlahan. Dia mengerti apa yang dirasakan Ryan kerana dia juga terasa risau. Diikutkan hatinya, dia lagi risau kerana dia pernah berdepan dengan situasi yang sama sebelum ini.
“Okey. Kita buat setakat ni untuk hari ni. Su, jangan lupa taip apa yang perlu kerana ini tugas orang perempuan.” Aliff, selaku ketua kumpulan memberi arahan melalui mandatnya.
Suhana mengangguk pada Aliff. Dia sedar memegang tanggungjawab besar dalam assignment kali ini sebagai jurutaip dan editor bersama Cinta. Semuanya kerana hanya dia dan Cinta sahaja ahli perempuan dalam kumpulan mereka. Maka, mereka kurang mencari maklumat tetapi perlu meneliti, menaip dan menganalisis untuk kali terakhir tugasan mereka.
Nasib mereka baik kerana tugasan yang melibatkan semua budak pendidikan ini agak bebas untuk memilih ahli kumpulan. Syarat yang dikenakan hanya perlu ada pelajar lelaki dan perempuan dalan satu kumpulan. Dengan kebijakan mereka semua, Aliff memilih Cinta sebagai ahli perempuan. Cinta yang juga berkawan baik dengan roommatenya yang juga jurusan pendidikan menjadi ahli yang sama. Suhana pula yang sudah bercinta dengan Nizam, budak jurusan pendidikan moral yang sama dengannya dipilih sebagai ahli lelaki mereka. Bagi mencukupkan ahli kumpulan yang ditetapkan, Qalam dan Ryan yang juga sahabat Aliff turut masuk dalam kumpulan yang sama. Dengan itu, kerana ikatan pertalian yang dibina secara tidak langsung itu memabawa mereka membentuk satu kumpulan. Idea yang bijak!
“Liff, nak tanya sikit boleh?” Suhana menyoal perlahan-lahan.
“Tanyalah.”
“Bila adik hang balik?”
Soalan Suhana itu menarik perhatian Ryan. Ya, inilah yang dia ingin dengar dari tadi!
“Dia masih di KL. Tapi Papa aku cakap dia dah sembuh. Mungkin esok atau lusa balik UUM semula. Don’t be worry. Aku dah maklumkan dia tentang group ni sekali dengan tugas yang dia perlu buat. Malam tadi dia ada hantar kerja yang sempat dia buat dari e-mailnya. Maklumat yang aku bagi tadi tu, dia yang cari.” Terang Aliff.
“Aku bukannya risau dia tak buat kerja, tapi aku risau ngan dia. Dah seminggu lebih dia kat KL. Sejak dia pengsan malam tu, itu kali terakhir aku jumpa ngan dia. Risaulah. Dah lama sangat dia sakit.”
Aliff tersenyum. Melihat keprihatinan Suhana terhadap adiknya, dia senang hati. Tidak perlu risau sebab ada juga orang yang boleh menolongnya untuk tengok-tengokkan Cinta dalam bilik.
“Jangan risaulah. Dia akan okey.” Ujar Aliff.
“Hah, dengar tu!” Qalam menyampuk sambil menyiku Ryan di sebelahnya.
“Apasal aku pula?” Ryan cuba cover perasaannya. Malu kerana ada ramai orang di situ. Dia tidak mahu orang lain tahu selain Qalam dan Aliff.
“Tak adalah. Saja kacau kau. Manalah tahu kau mengelamun dari tadi sebab tidak ada adik Aliff kita ni kat sini. Semua orang buat kerja tapi kau buat mengelamun je.” Qalam semakin suka mengusik Ryan sampai merah muka lelaki itu.
Aliff mahu tergelak tapi terpaksa menahannya. Hatinya mula didatangi pelbagai perasaan. Ryan. Lelaki itu memang suka dengan Cinta. Melihat muka Ryan yang ada di hadapannya, dia hanya mampu tersenyum hambar apabila mendengar usikan Qalam terhadap lelaki itu.
“Eh, cuti pertengahan sem ni kita jalan-jalan nak tak? Pergi cuti-cuti. Dah lama kita dalam asrama yang dipenuhi hutan ni. Aku bosanlah. ” Qalam tiba-tiba memberi idea.
“Nak pergi mana pula?” Ryan menyoal. Nadanya malas kerana baru sebentar tadi dikacau Qalam.
Relax geng. Emm.. nak pergi tempat yang jauh-jauh. Kitakan cuti, nikmati cuti kita sebaik-bainya.” Semangat sahaja nada Qalam bersuara.
“Kita cuti seminggu je...” Basyirah menyampuk.
“Memang seminggu. Tapi bila tengok balik jadual kita, kita kena balik UUM pada 22 Ogos. Hari tu hari jumaat. Jumaatkan hari cuti kat Kedah ni. Sabtu kita hanya ada ko-k. Kita ponteng sehari je. Lagipun time tu kan kawad kaki. Kita bagilah surat yang kita tak boleh kawad masa tu.  Ahadkan kelas dibatalkan. Ingat tak? Lecterer nak pergi Penang? Isnin... emm... emm... pandai-pandailah kita membatalkan sendiri kelas. Kita balik hari selasa malam sebab selasa kita semua cuti. Rabu baru kita masuk kelas balik. Hah, macam mana dengan idea bijak aku ni?”
“Tu bukan idea bijak, tapi licik..” manja suara Basyirah kepada Qalam. Nampaknya dia tidak bersetuju kerana dia paling tidak suka ponteng kelas.
“Eh, boleh jugak idea tu. Lagipun lepas cuti nanti, assignment kita dah siap. Tinggal minggu presentation jak. Group kita lambat lagi. Emm... malam tadi papa aku ada cakap sekarang MAS Airlines sedang adakan promosi cuti-cuti Malaysia. Tiket kapal terbang murah. Ikut aku balik Sabah, mau?” Aliff menyambung. Tidak sangka pula dia adalah orang yang bersetuju.
“Hah, aku nak! Setuju!” Qalam menjawab laju. 
Semua orang memandang padanya. Pelik betul perangai Qalam hari ini. Dia hyperactive pula.
“Yan..?” Qalam menyoal Ryan. Mahukan pendapat.
“Kau ni biar betul, Lam? Kau tak sihat ya?”
“Hei, aku serius ni!” nekad jawapan Qalam. “Ira..?”
Basyirah memandang Qalam. Jelas di mukanya dia tidak suka dengan cadangan Qalam. Dia ingin marah, tapi terpaksa berdiam diri.
“Nizam? Su?”
“Tak kot.. kitorang ada plan nak balik Perak sama-sama. Sorry..” Nizam menjawab bagi pihak mereka berdua. Tersipu-sipu Suhana di sisinya.
“Liff, kalau kau nak beli tiket, maklumkan kat aku.”
“Kau seriuskah ni, Lam?” Aliff masih menyoal. Tidak percaya.
“Kau tengok muka aku ni macam buat lawak ke?”
“Adalah sikit-sikit.” Aliff cuba menjawab dengan lawak tapi dia memaksudkan kata-katanya itu. “Okey, jangan risau. Kalau kau nak confirmkan tiket, bagi tau aku. Aku boleh tolong uruskan. Okey?”
“Terima kasih. Aku kena yakinkan mereka berdua ni dulu baru aku confirmkan dekat kau. Tapi kalau diorang ni tak nak, aku pergi seorang pun boleh juga. Aku pun nak menjelajah Sabah. Mesti seronok.”
Aliff tersenyum. Pertama kali melihat ada juga manusia yang mengagumi negeri kelahirannya itu. Begini rupanya keadaan melihat orang luar menyanjungi Sabah sebagai negeri di Bawah Bayu.
Ryan memandang pada Qalam. Ada yang tidak kena dengannya!

**************************************************************

RYAN mengambil telefonnya yang bordering di atas meja. Melihat nama Basyirah terpapar pada skrin telefon bimbitnya itu, dia mengerutkan dahi. Biasanya, Basyirah akan menghubunginya jika ada sesuatu yang penting. Hanya dia sahaja tempat gadis itu mengadu masalah. Tidak pernah orang lain, walau Qalam sekalipun.
“Hello. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam... Yan.”
“Ada apa Ira?” Ryan menyoal seperti biasa.
“Qalam ada cakap apa-apa tak?” lembut suara Basyirah di hujung telefon. Kedengarannya dia risau.
“Tak ada pula. Ni yang Yan risau dan sedang fikirkan sekarang. Lepas meeting kat kafe tadi, Yan tak jumpa dia lagi setakat ni. Tapi, dia senyap je masa kitorang naik asrama tadi. Ira ada gaduh ngan dia tak?”
“Gaduh? Tak adalah. Ira pun pelik juga. Semalam dia okey je. Pagi tadi pun okey juga. Pelik. Kenapa pula dia nak pergi Sabah?”
“Yan pun pening juga dengan dia ni. Dia tak cerita dengan Yan lagi, jadi Yan tak tahu apa-apa setakat ni.”
“Tak apalah. Nanti kalau Yan tahu apa-apa atau dia buka cerita dengan Yan, jangan lupa cakap dengan Ira ya. Manalah tahu Ira ada buat hatinya tersinggung.”
“Ira tak payahlah risau. Tu memang dah tugas Yan.”
“Yan baik ngan Ira.”
“Yan kan sahabat Qalam. Yan dah anggap dia macam keluarga sendiri. Ira pula jadi pasangan dia. Jadi, macam keluarga Yan juga.”
“Selama ni Yan yang selalu tolong Ira. Walaupun ada perkara tu Qalam tak tau pun. Terima kasih, Yan.”
“Perkara kecil je. No hal punya!”
“Kalau macam tu, esok Ira telefon lagi. Dah lewat malam ni.”
“Yalah. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Panggilan tamat selepas Ira menjawab salam. Telefon bimbit dipegang erat sambil berfikir panjang. Ryan kemudiannya menghala keluar dari bilik. Dia perlu mendapatkan jawapan sekarang dari mulut Qalam sendiri.
Pintu bilik asrama Qalam terbuka luas. Ryan menjeling-jeling ke dalamnya dan melihat Qalam sedang duduk termenung di hadapan laptopnya. Apabila dia mengetuk pintu ingin masuk, Qalam kelihatan senyap termenung dan tidak perasan yang dia sudah ada di situ.
“Lam...” Ryan memanggil nama Qalam sambil menyentuh bahunya.
“Eh, sejak bila kau ada sini? Masuk-masuk bilik orang tak bagi salam. Ketuk pintu pun tak. Aku jatuhkan hukuman raja baru kau tahu!”
Ryan tersenyum mendengar Qalam berkata-kata. Memang lelaki itu sibuk berkhayal. Dia terperanjat.
“Kau fikirkan apa ni sebenarnya? Aku ketuk pintu tadi tapi kau macam pekak je. Aku masuk sebab pintu terbuka luas. Hah, tadi aku terserempak dengan senior yang sebilik kau ni. Dia cakap kau dari tadi duduk depan laptop. Kau buat apa?”
“Aik, aku duduk depan laptop pun salah ke?”
“Tak salah, tapi pelik!”
“Pelik apanya? Aku sedang fikir macam mana nak siapkan assignment ni sebelum cuti.” Selamba sahaja jawapan Qalam.
“Kau ada masalah apa ni sebenarnya?”
Qalam terdiam. Senyuman yang diukir untuk ‘menghiburkan dan menyambut’ kedatangan Ryan yang tidak diundangnya itu hilang serta-merta. Ryan memang sahabatnya kerana lelaki itu sungguh memahami jiwa dan perasaannya.
“Aku kena balik.”
“Hah? Balik?”
Qalam menganggukkan kepalanya. Lemah.
“Sebab tu kau nak pergi Sabah?”
Qalam mengangguk lagi.
“Nak larilah ni?”
Qalam mengangguk.
“Ira?”
“Entah. Dia ingat aku bergurau nak pergi Sabah. Aku pun sebenarnya tak tahu yang Aliff tu akan bagi cadangan. Sebelum ni aku ingat nak bersembunyi di Alor Star je. Tak sangka pula Aliff nak bawa kita ke Sabah. Rasanya aku memang kena pergi Sabah. Aku tak nak balik.”
“Bonda kau tahu?”
Qalam menggeleng.
“Kalau kita kena cari mana?”
“Entah. Tapi mustahil. Diorang kan tahu macam mana perangaiku. Selagi kau tak buka mulut, kita akan selamat.”
“Kau ni peliklah. Andai kata berita kehilangan kau keluar kat paper atau TV, macam mana?”
“Sampai macam tu sekali hiperbola kau. Eh, aku rasa Bonda takkan buat macam tu punya.”
“Eh... Bonda kau tu kan sayang sangat-sangat dengan kau. Ingat Lam, Bonda kau boleh buat apa-apa je untuk cari kau.”
“Sebab sayanglah Bonda aku takkan buat!”
It’s up to you. Jangan yakin sangat.” Ryan putus asa. Bertekak dengan Qalam, memang dia tidak pernah menang.
“Sekarang macam mana nak urus Ira ni? Aku tak nak dia tahu Bonda aku suruh aku balik. Nanti tak pasal-pasal dia pula yang hantar aku balik. Aku tak nak.”
Ryan diam. Berfikir. Patutlah Qalam bertindak ‘gila’ hendak mengikut Aliff balik ke negerinya. Basyirah pula bengang sebab dia jadi mangsanya. Ryan turut jadi bengang. Bingung!
“Aku tengok kau semakin tak boleh urus Ira pula sejak kita sampai UUM ni. Kenapa?”
“Aku pun tak tahu kenapa dengan aku ni. Aku rasa Ira semakin jauh dengan aku. Aku yakin aku semakin ego dan keras kepala. Tapi aku benar-benar tak boleh. Terus-terang aku cakap aku tak nak kongsi apa-apa lagi dengan dia. Sebab aku fikir, apa-apapun yang aku cakapkan dengan dia, pasti dia akan beritahu kat Bonda aku. Kau faham-fahamlah dengan dia tu. Semua dia nak bagi tau. Nasib baik Bonda tak marah aku study kat sini. Kalau marah, aku pun tak tahu macam mana.”
Ryan senyap sahaja. Apa yang dikatakan oleh Qalam memang ada benar. Dalam hal ini, Qalam memang tidak boleh dipersalahkan kerana hanya itu yang termampu dilakukannya. Ini Semua agak sukar sebenarnya baginya. Berat.
“Ira merajuk lagi tak?” Qalam mula menyoal pula.
“Tak adalah.” Pendek sahaja jawapan Ryan. Dia tidak mahu membuka cerita antara mereka berdua. Itu batu api namanya.
“Lam, aku tanya kau satu soalan, kau jangan marah dan tolong jawab dengan jujur dan betul. Boleh?”
Qalam melihat Ryan dengan muka bengang. “Pelik je bunyinya. Tanyalah!”
“Kalau bukan Bondamu dengan orang tua Ira kenal, kau akan suka dengan dia tak?”
“Hei, yang kau tanya aku soalan bodoh ni kenapa? Eh, buat apa aku ikut Ira sampai daftar masuk UUM ni? Semua ni sebab dialah. Selama ni aku ada masalah kat sini kebanyakannya sebab Ira je kan? Sebab dia merajuklah, aku kena pujuk. Aku bengang pun hanya sebab diakan? Kau ni, lain kali tanyalah soalan yang mencabar sikit. Ni tanya benda bodoh macam tu. Macamlah kau tak kenal ngan aku..”
Ryan diam sahaja. Sebab dia kenallah dia menanyakan soalan itu sebenarnya. Tapi jawapan yang diberikan Qalam memang cukup bernas walaupun Ryan ada sedikit perasaan pelik. Apapun, Qalam memang pintar menjawab soalan bagi dirinya.
So, kau nak ikut pergi Sabah atau tidak ni? Kalau tak nak, rugi besar sebab kita pergi rumah Aliff. Rumah Aliff, rumah adiknya juga. Gadis idaman kau kan.. macam mana?” Qalam cuba menjerat Ryan semula. Memang dia sangat pakar dalam hal sedemikian rupa. Memang dia pintar mengerjakan Ryan sejak dulu.
“Aku try pujuk Ira pergi ngan kita. Pastu kau belikan tiket. Bagus tak cadangan aku?” Dengan lancar sekali Ryan bersetuju. Laju dia menutur kata-kata.
“Set!”

*****************************************************************

“AKU tak ganggu kau ke malam-malam ni?”
Aliff tersenyum kepada Ryan. Sepuluh minit sebelum itu, Ryan menghubunginya untuk bertemu di bilik Aliff. Otak Aliff sudah mengagak topik apa yang akan terbuka nanti.
“Qalam tak ikut sekali?” Aliff pula menghantar soalan pada Ryan.
“Dia kata nak cari jurnal kat internet. Entahlah dia tu. Macam banyak pula assignmentnya. Eh,  berdua ni satu course ke? Kau relax je ni.” Mimik muka Ryan pelik. Melihat apa yang berlaku antara Qalam dan Aliff. Aliff nampak biasa sahaja tidak sibuk. Qalam pula sibuk terkejar-kejar internet mencari laman web jurnal pendidikan.
“Aku pun banyak assignment jugaklah. Kitorangkan sama.”
“Jadi aku ganggu kaulah ni?” Ryan segera menyoal.
“Taklah. Aku dah siap cari jurnal. Adik akulah yang tolong cari. Time dia cari jurnal untuk assignment dia, kebetulan terjumpa jurnal untuk assignment aku. Jadi dia bagi ngan aku.”
“Baiknya hati dia.”
Aliff memandang tepat muka Ryan yang riang. Raut wajahnya semakin ceria bila cerita Cinta terkeluar. Sengaja Aliff menyakat dengan cara itu. Dia tahu itulah topik utama yang membawa Ryan ke biliknya malam ini.
“Lain macam je bunyinya. Hah, jangan senyum macam tu. Pelik aku tengok!” semakin tajam sindirin Aliff namun Ryan semakin melebarkan senyumannya.
“Adik kau sakit apa sampai lama sangat kat hospital?”
“Aku ingat kau ke sini mau cakap pasal assignment Tuan Haji Jusoh. Rupanya mau tanya pasal adik aku.”
Ryan tersenyum sampai telinga. Pecah tembelangnya di hadapan Aliff. Selama ini dia malas mahu berbincang pasal perempuan tapi hal Cinta, memang dia lain. Terpaksalah dia mengalah dan tidak lagi berperasaan malu dengan Aliff. Semuanya demi perasaannya terhadap gadis itu.
“Kau tidak ada mood sepanjang minggu ni sebab adik akulah ni?” Aliff mula menyakat lagi. Entah kenapa perangai Qalam yang suka menyakat Ryan sudah terjangkit dengannya.
“Ni yang aku bengang dengan kau ni. Adik kau sendiri sakitpun kau masih boleh buat lawak? Kau tak sayangkan dia ke?”
Aliff segera tergelak. Perutnya diterjah lucu melihat tatkala mendengar soalan Ryan dengan wajah dan nada yang agak serius. Menyedari Ryan diam dan geram, dia terus bertindak mendiamkan diri. Berhenti daripada tergelak. Senyap. Aliff diam.
“Apsal kau senyap pula? Aku tanya kau ni!” semakin serius nada Ryan.
“Yan, aku ketawa lagi boleh?” tanpa mendengar jawapan daripada Ryan, Aliff menghamburkan lagi suara ketawanya. Ryan semakin senyap. Semakin geram dengan sikap Aliff yang semakin ‘jahat’.
“Kau dengan Qalam memang ditakdirkan jadi kawanlah. Perangai memang sebijik! Kalau membuli aku memang nombor satu!” sedih pula nada Ryan. Mungkin cukup pasrah dengan takdirnya.
“Aku main-main jaklah. Janganlah sedih pulak!”
Tiba giliran Ryan pula tergelak. Dia berjaya kenakan Aliff dengan hanya bernada sedih. Ini kelemahan Aliff. Dia memang tidak sampai hati mendengar orang lain bersedih. Dia tahu dan dapat melihat perangai lelaki itu terutamanya pada adiknya. Memang dia lelaki penyayang. Jelas sangat!
“Hah, ini yang dapat bezakan kau dengan Qalam. Kalau Qalam, aku buat muka sedih ke, suara sedih ke... dia mana perasaan. Dia tahu aku jerat dia tapi yang kau ni pula terus mengalah. Bagus. Ni yang aku suka dengan kau ni. Kelak aku jadi suami adik kau, aku tidaklah risau sangat punya abang ipar penyayang macam kau ni.”
Aliff tersenyum pahit. Dia tahu Ryan cuba bercanda di sebalik kebenaran dan keinginannya. Namun, Aliff masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Ryan benar-benar serius suka dengan adiknya, Cinta.
Aliff masih tidak dapat bayangkan apa sebenarnya yang dia rasakan kini. Hatinya benar-benar sakit dengan perasaan Ryan. Dia tersepit dengan situasi sebenar. Mahu diluahkan kebenaran, namun keadaan tidak mengizinkan.
“Eh, tadi aku tanya kau. Kau belum jawab aku lagi ni..”
“Hah? Tanya apa pulaknya?”
“Jangan nak pura-pura lupa pula kali ini. Dahlah, banyak sangat yang kau mainkan aku ni. Okey, aku mengalah kali ini. Tapi tolong jawab aku, boleh?”
“Okei.. okei. Mau tahu pasal apa tentang adik aku?”
“Kan soalan pertama aku tadi aku tanya dia sakit apa? Kau ni!”
“Ohh, aku betul-betul lupa. Sorry..!” Aliff cuba bergurau lagi namun melihat air muka Ryan, dia tidak sampai hati meneruskan niatnya itu lebih jauh. “Adik aku dah biasa sakit. Papa aku kata sejak dia lahir lagi dia selalu masuk wad. Masa kecil dulu, dia bukannya main sangat sebab setiap minggu dia akan pergi hospital. Badan dia lemah. Jadi kena perlukan rawatan hospital.”
“Badannya lemah? Sebab?”
“Sejak lahir dia hidap asma. Sebab tulah dia nampak kurus sikit. Tapi sekarang kira dah okeylah. Dia diserang asma kalau dia terlalu sejuk sangat atau penat.”
“Jadi dia penatlah minggu ni sampai sakit?”
Aliff terdiam. Dia tidak tahu apa jawapannya sebenarnya. Apa yang pasti dia juga pelik mendengar Cinta sakit semula selepas beberapa bulan tidak pernah ditimpa sakit semula.
“Mungkin dia tidak makan ubat. Badannya lemah dan dia tu jenis tidak suka makan ubat. Takut nampak ubat.”
Ryan tersenyum. Tidak sangka gadis yang dia minati mempunyai perangai sedemikian rupa.
“Adik kau tu nampak manja je ngan kau.” Kenyataan Ryan sedikit memaparkan cemburunya. Apa tidaknya, Cinta tidak pernah bercerita atau mau bertegur sapa dengannya. Mahu bercakap pun susah sekali apatah lagi mendengar cerita dari mulut gadis itu.
“Diakan adik aku. Keluarga aku pulak tu, memanglah kena rapat. Hah, kau jealous ya..?”
“Biasalah, naluri seorang lelaki. Kalau kau, mesti kau cemburu juga.”
“Mau cemburu apa pulak?”
“Yalah tu. Aku tengok, kalau adik kau cakap dengan orang lain terutamanya lelaki, kau mesti pandang lelaki itu sedalam-dalamnya.”
“Hei, akukan abang dia! Mestilah kena jaga adik aku baik-baik. Itulah namanya sayang.”
“Okey, jangan ambil serius sangat dengan apa yang aku kata tadi. Aku cuma nak main-main je.”
Aliff terdiam. Nampaknya kali ini dia pula yang dikenakan.
“Eh, Cinta tu dah pernah couple tak sebelum ni atau dia sedang couple dengan seseorang sekarang ni?”
“Kau rasa?”
“Dia cantik. Pendiam. Tengok perangainya macam tu, mesti banyak yang minat dengan dia kan? Sedangkan aku ni tengok dia sekalipun boleh terjerat, mungkin dia sudah ada peminat atau meminati seseorang atau sudah berpunya. Ada banyak kemungkinan yang menakutkan aku ni. Dah beberapa hari aku fikirkan hal ni tapi malu nak bagitau kat kau.”
Aliff terdiam. Kesungguhan Ryan mengasak mindanya untuk memberitahu perkara yang sebenarnya kepada lelaki itu. Namun, dia tidak boleh. Apa yang dia tahu tidak boleh dihebahkan kepada sesiapa termasuk Ryan, kawan baiknya kini.
“Dia ada couple...”
“Hah?!” laju Ryan memotong ayat Aliff.
“Kau dengar aku cakap dulu boleh?”
Ryan terdiam. Arahan Aliff menjadikan dia akur.
“Dia dah couple sejak form two. Lelaki tu best friend aku sendiri.”
Ryan diam. Senyap membisu dengan wajah yang hampa. Dia sedih.
“Kenapa kau tak bagitau aku awal-awal lagi? Kau tengok aku memang jelas dah suka dengan adik kau tapi kau pula buat aku terhegeh-hegeh macam orang bodoh. Sampai hati kau buat aku macam ni.”
“Sekarang hubungan dorang dah tak ada apa-apa.”
“Hah?!” sekali lagi Ryan menyoal laju. Aliff hanya mengangguk perlahan. “Kenapa boleh jadi macam ni?”
“Aku bagitau kau satu perkara kau jangan marah, boleh?”
“Okey...”
“Janji dengan aku.”
“Janji.”
Aliff menarik nafasnya. Mencapai ketenangan sebelum memberitahu apa yang Ryan patut tahu.
“Aku tak suka Cinta dekat dengan lelaki lagi.”
“Hah..?” Ryan bengang.
“Aku tidak mahu perkara lama berulang. Aku tidak mahu Cinta dekat dengan lelaki lagi terutamanya kawan baikku sendiri sebab dulu dia pernah sakit sebab benda ni. Selepas hubungan tu tamat, dia sakit dan baru beberapa bulan yang lalu dia baik sikit. Kau tengok dia sekarang sihat macam tu kira dah okey. Aku takut perkara berulang sebab sukar mahu pulihkan dia. Tapi, dalam hal kau ni aku bukannya mahu membantah tapi aku bagi warning awal-awal sebab aku sayangkan dia lebih dari nyawa aku sendiri. Apa-apa yang buruk menimpa ke atasnya, aku sendiri tidak dapat maafkan diri aku. Aku harap kau faham.”
Ryan terdiam. Melihat tepat pada wajah Aliff yang mula serius.
“Kalau aku tak buat macam best friend kau buat, kau bagi tak aku couple ngan dia?”
Aliff terdiam. Melihat rupa Ryan, dia tidak dapat berbuat apa-apa. Kalau Ryan tahu semua kebenarannya. Aliff tidak boleh memikirkan apa tindakan lelaki itu.

***************************************************************************

TELEFON bimbit jenama Sony Ericson digenggam erat. Aliff tunduk. Mahu menitik air matanya namun digagahkan dirinya. Suara Papanya di hujung talian sudah tidak sanggup didengarinya lagi. Nafasnya seakan-akan tersekat. Takdir apa pula ini? Kenapa mesti diduga seberat ini?
“Liff... Aliff..?”
Aliff tidak sanggup lagi mahu meneruskan perbualan di telefon bersama Papanya. Dia membiarkan sahaja panggilan Papanya di hujung talian.
“Kenapa mesti Cinta? Ya-ALLAH, ujian apakah ini?” ucapnya. Dia terduduk di koridor tempat dia berdiri sebentar tadi.
Qalam menghentikan langkahnya. Dia terperanjat melihat Aliff terduduk tidak jauh dari pandangannya. Kenapa lagi dia bersedih? Apa yang dah jadi? dia menyoal dirinya sendiri. Dia mengatur langkahnya menghampiri Aliff. Mungkin kawannya itu perlukan sesuatu. Mungkin juga dia ditimpa masalah. Kehadirannya mungkin boleh membantu Aliff.
“Kau okey, Liff?”
Aliff mengangkat mukanya. Terkejut melihat kelibat Qalam muncul di hadapannya tanpa disedarinya.
“Aku okey. Jangan risau.”
“Betul?”
Aliff mengangguk beberapa kali sambil berdiri.
“Kalau ada apa-apa, kau boleh cerita ngan aku. Jangan risau, aku takkan cerita dengan sesiapa.”
“Aku okey. Don’t be worry.”
Qalam diam sahaja. Dia yakin dan pasti ada sesuatu yang menimpa dengan Aliff. Raut dan air muka lelaki itu lain dari biasa.
“Apa kau buat kat sini?” Aliff menyoal pula. Pelik melihat Qalam juga ada di situ.
“Aku gaduh dengan Basyirah. Ntahlah nak cakap macam mana. Aku makin tak faham dengan dia dan dia makin tak faham dengan aku.”
“Sebab?”
Qalam tidak menjawab tetapi mengangkat bahunya beberapa kali. Dia tiada jawapan sebenarnya. Tidak mahu memikirkan jawapannya kerana dia mula rasa bosan dengan semua ini.
“Macam masalah besar jak aku tengok. Dalam perhubungan ni, jika tiada persehaman antara satu pihak atau kedua-duanya boleh bawa masalah besar kelak. Selagi tidak dipulihkan, dalam masa terdekat ini kamu akan alami banyak masalah. Aku nasihatkan kau jangan sampai putus sudahlah. Hubungan cinta yang sudah lama terjalin agak sayang untuk ditamatkan.”
Qalam terdiam. Dia mengakui kata-kata Aliff ada benarnya dan ada kena-mengena dengan dirinya.
“Kalau aku cakap aku ngan Basyirah couple sebab orang tua kami satukan, kau percaya tak?”
“Hah..?” Aliff terperanjat dengan kenyataan Qalam.
Qalam mengangguk lemah.
“Aku bukannya kenal sangat dengan Basyirah. Mungkin sebab aku nakal sangat kat sekolah time aku form four, parents aku tunangkan aku dengan dia. Time aku tunang dengan dia, aku bukannya kenal dengan pun. Ryan tu yang kenal dengan dia. Entahlah...” Qalam mula membuka cerita. Hasratnya mahu mendengar Aliff membuka cerita kini sudah bertukar. Dia pula yang membuka cerita untuk Aliff.
“Aku tengok kau sayang dia lebih dari segalanya. Seingat aku, kau selalu ada masalah sampai marah semua orang sebab Basyirah. Bukankah itu menandakan bahawa kau sayang sangat dengan dia?” Aliff menyoal. Dia memang mula rasa sesuatu yang tidak kena.
“Entah. Aku memang sayangkan dia tapi aku yakin aku sayang dia sebab aku tak nak parents aku kecewa kot. Lagipun aku anggap dia macam adikku sendiri. Aku sendiri bingung dengan apa yang aku rasa sekarang dan tak tahu mahu berterus-terang dengan siapa. Mahu luahkan dengan Ryan, aku takut dia beritahu Basyirah sebab aku dapat tahu Basyirah selalu SMS dan telefon dia.”
“Macam mana pula kau tahu?”
“Aku tertengok telefon Ryan tadi. Bila Ryan tak angkat panggilan tu, Basyirah siap mesej lagi. Bukannya sebijik mesejnya, tapi ada tiga. Apa lagi, aku dah syaklah.”
“Aku rasalah kan, kau cemburu ni...”
“Hah..?!”
Aliff ketawa melihat muka Qalam yang terkesima dengan apa yang baru dia perkatakan.
“Aku dapat rasa apa yang Basyirah rasa.”
“Rasa apa pulanya?”
“Papa akupun dah ikatkan aku dengan seorang perempuan.”
“Maksudnya?” Qalam semakin bingung dengan apa yang diomongi Aliff padanya. Semakin panjang cerita lelaki itu, semakin susah dia mahu mentafsirkan apa yang tersirat dari kata-katanya. Baru kini dia perasaan yang Aliff ini seorang yang pelik. Dia banyak cerita yang belum dia ketahuinya. Semakin banyak dia berbual dengan lelaki itu, baru satu persatu cerita tersirat terkeluar.
Aliff dilihat mengangkat tangannya. Lima jari di tangan kanannya ditunjukkan pada Qalam.
“Jangan cakap kau juga sudah ditunangkan..?”
Aliff mengangguk lemah. Jari manisnya sudah disarungkan cincin sejak beberapa bulan yang lalu. Objek berbentuk bulat itulah yang difokuskan oleh Qalam.
“Aku memang perasan kau pakai cincin tapi aku ingat tu cincin saja-saja. Sejak bila?”
“Baru jak. Dua bulan yang lalu.”
“Kau tak pernah buka ceritapun. Dengan siapa?”
“Ini yang membezakan cerita kita berdua. Aku betul-betul suka dengan perempuan tu tapi dia langsung tiada perasaan dengan akupun.”
“Hah..? habis tu, kenapa dia setuju kalau dia tak nak?”
“Tutup semua perasaan. Ingin lupa semua kisah silam. Lagipun, kisah kami juga pilihan keluarga. Dia tidak sampai hati tolak sebab Papa aku. Dia kenal dengan Papa aku sejak dia lahir lagi. Hubungan kekeluargaan kami juga rapat.”
Qalam terdiam. Patutlah dia cakap dia faham apa yang Basyirah rasa sekarang rupanya dia posisinya sama dengan perempuan itu. Dia kemudiannya mengatur langkah. Dia mahu berdiri bersama Aliff yang sedang bersandarkan dinding koridor.
Hening. Keduanya tidak bersuara. Bersandarkan dinding sambil memandang ke langit menerungkan situasi yang sedang menimpa. Aliff dengan takdir yang seakan-akan menduganya sehingga dia keliru dengan situasi yang sedang berdepan dengannya. Qalam pula dengan masalahnya yang entah bagaimana mahu diselesaikannya. Dia nekad mahu menamatkan semua ini jika ianya berterusan. Sebelum ada perkara yang lebih parah terjadi, baik kata sepakat dibuat. Jika penyelesaiannya ditemui dengan cara baik, dia akan berusaha pulihkan segalanya. Apa yang baik akan diterimanya.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^