Tuesday 23 April 2013

Mencintai Cinta - Bab 4


4

ALIFF mengerling ke arah jam di tangan. Ada masa 15 minit lagi kuliah akan bermula. Agak awal mereka datang. Melihat sudah ramai masuk ke dalam dewan kuliah, mereka juga masuk mengambil tempat. Pasti ramai budak pendidikan berkumpul pagi ini.
“Ta duduk di depan abang. Kalau kita duduk bersebelah, lain pula orang cakap nanti.”
Aliff mengangguk. Dia setuju. Fenomena sosial di Kedah tidak sama dengan Sabah. Di Sabah, perempuan duduk bersebelahan dengan lelaki dalam kelas adalah fenomena biasa dan selalu dibuat begitu. Biasanya guru sendiri yang mengatur kedudukan sedemikian agar pelajar perempuan dan lelaki boleh saling bertukar idea dan pendapat malah tahap komunikasi boleh ditingkatkan. Biasanya, lelaki yang duduk bersebelahan dengan perempuan lebih berpotensi untuk lebih rajin belajar daripada duduk bersama kumpulan lelaki yang hanya tahu bermain. Berbeza dengan Kedah, fenomena itu dianggap kurang sopan kerana wujudnya batasan muhrim.
“Aku duduk sini bolehkan?”
Cinta mengangkat mukanya.
“Su. Hah, duduklah.”
Su terus duduk. Cinta lega. Ada juga rupanya temannya dalam kelas itu. Maklumlah hari pertama. Cinta masih tidak kenal kebanyakan budak pendidikan. Hanya Su orang yang dia paling rapat setakat ini.
“Tak tau pula kita sekelas.” Ujar Su.
“Ya. Akupun lupa kau ambil pendidikan jugak. Kalau aku ingat, aku keluar pergi kelas dengan kau tadi.”
“Jadi hang pergi kelas tadi dengan siapa?”
Cinta hanya memberi isyarat menunjuk ke arah insan yang duduk di belakangnya sebagai jawapan pada soalan Su. Su segera menoleh belakang.
“Ohh..” hanya itu yang mampu Su ucapkan. Dia faham. Dia sudah kenal Aliff.
“Kau  mesti ingat aku dengan Abang Aliff...
“Eh, aku tengok hang ngan dia.. rapat semacam je. Pelik. Tidak lain tidak bukan..”
“Dia abang akulah.”
“Yalah abang.”
“Yalah! Aku tidak tipu..”
Su hanya tersenyum. Masih tidak percaya. Senyuman nakalnya ditunjukkan pada Cinta. Cinta jadi geram. Malas mahu membuka mulut lagi. Nampaknya keadaannya akan tetap seperti itu. Mereka tetap akan anggap perkara itu adalah tidak benar.

RYAN mengatur langkah di hadapan. Dia yang masih mengantuk terpaksa buat-buat riang pagi ini untuk mengelakkan mengantuknya menguasai diri. Baginya, dia mahu semangat di hari kuliah pertama ini. Hari-hari lain dia tidak kisah, asalkan hari pertama dia ada semangat. Dia nekad.
“Kita duduk kat situlah, Lam. Ada Aliff tu. Sampai hati dia tinggalkan kita pagi tadi. Aku ingat dia lambat bangun. Rupanya dia sampai dulu dari kita. Rajin pula budak tu.” Ujar Ryan pada sahabatnya. Terus kakinya diatur menghala pada tempat duduk Aliff.
Aliff yang masih duduk berseorangan di belakang Cinta tersenyum tatkala melihat geng baru dikenalinya sejak minggu lalu melalui program orientasi ada di situ. Terlupa pula dia yang dia sekelas dengan mereka berdua kerana di bawah satu jurusan yang sama.
“Kau tinggalkan kami ya. Kau pergi dengan siapa tadi?” Tanya Ryan yang terus duduk di sebelah Aliff.
“Dengan dia.” Jawab Aliff dan menunjuk pada gadis yang duduk di hadapannya.
“Awek kau ya?”
“Ishhh, ada-adalah kau ni.”
“Jadi siapa?” Ryan menyoal lagi. Dia memang suka menyoal. Dari kecil lagi. Sudah jadi perangai tetapnya kini.
“Ta... Ta...” Aliff memanggil Cinta perlahan. Cinta yang terparanjat sedikit terus menghala pandang ke belakang.
“Awak lagi?”
Cinta tersentak. Lelaki itu lagi. Ya, memang dia. Jelas.
“Sabar Lam. Yang sudah tu sudahlah ya.” Ryan cuba menenangkan. Apa-apapun di senyum. Memang takdir. Benar jangkaannya. Dia memang bertemu semula dengan gadis itu.
“Ada cerita apa sebenarnya ni? Kamu dah kenal satu sama lainkah ni?” Aliff bingung. Setahunya, ini kali pertama mereka bertemu, tapi melihat keadaannya mereka seperti sudah pernah bertemu sebelum ini.
“Kau ingat tak aku cerita dengan kau malam tadi pasal cabaran yang aku buat untuk kawan kita ni. Gadis yang aku maksudkan tu, perempuan ni. Tidak sangkakan, kita ada takdir jumpa lagi.” Ryan menerangkan keadaan sebenar kepada Aliff. Dia ada bertemu dengan Aliff malam tadi untuk bercerita tentang babak telefom bimbit semalam.
“Jadi Ta, malam tadi Ta SMS abang, dia nilah. Kecilnya dunia. Bolehnya abang tidak perasan yang cerita Ta dengan Ryan sama. Rupanya ada maksud. Satu kes yang sama. Peliknya.” Serentak itu, Aliff mengingat semula mesejnya bersama Cinta malam tadi. Cinta ada bercerita yang dia telah memijak sebuah telefon bimbit.
“Saya minta maaf. Saya akan ganti hand phone awak.” Ujar Cinta perlahan.
“Oh, saya ingat awak bisu. Rupanya pandai juga awak bercakap. Eh, basi tahu! Dari kelmarin awak tak buka mulutpun minta maaf. Kenapa, mulut awak tu ada emas ker? Tidak ikhlas langsung!”
“Lam.. tak baik cakap macam tu.” Ryan masih cuba menjadi penenang. Tidak sampai hatinya untuk melihat sahabatnya itu memarahi gadis yang sudah menjerat hatinya walaupun baru semalam bertemu.
Aliff terdiam. Diikutkan hati, dia mahu tumbuk muka lelaki itu. Dia paling pantang bila ada orang yang meninggikan suara dengan Cinta. Tapi dia tahu dan kenal dengan Qalam. Dia tahu tekanan yang dialaminya kelmarin sehingga kini. Telefonnya lagi yang rosak dipijak Cinta, memang patut dia naik angin. Lagipun memang lelaki itu ego dan kuat melenting. Dia sudah mula kenal dengan Qalam. Orang yang panas baran dan suka ikut kepala anginnya. Dia pernah melihat Qalam hampir bertelagah dengan senior yang menyuruhnya merangkak mengelilingi padang semasa minggu orientasi. Dia naik berang dan hampir bertumbuk dengan senior. Tidak cukup dengan itu, semua arahan senior semasa orientasi dia tidak pernah patuhi malah dia memberontak sehingga semua senior bertindak melaporkan kepada pihak canselori. Qalam sudah dibawa bertemua naib canselori tetapi semuanya sudah selesai.  Aliff memang kenal benar siapa dia sebenarnya. Pelajar paling berani dan pemberontak. Pantang sekali diarah dan dicabar!
“Dah. Kita berdamai di sini. Okei. Emmm... macam mana kalau kita berkenalan. Kelmarin kita tidak sempat nak berkenalan bukan. Liff, kau lebih kenal dengan gadis ni. Kau bagilah kenal ngan kitorang.” Ryan mengambil kesempatan emas ini untuk terus mengenali gadis itu lebih dalam lagi.
“Ta, ni Mohammad Ryan Firdaus. Panggil Ryan cukuplah. Ambil edu moral. Yang sebelahnya tu Qalam. Edu IT sama dengan abang.”
Cinta tersenyum. Terpaksa berlagak ramah sedangkan di hatinya dia sakit hati diperlakukan seperti tadi. Dia malu. Apa yang pasti, dia tidak mahu perkara sama seperti ini berlaku.
“Ni Cinta Nur Alyah. Edu BBA.”
“Hai!” laju sahaja Ryan menyapa. Senang benar hatinya kini. Berbeza dengan Qalam yang duduk di sebelahnya yang kelihatan semakin marah dan hilang mood. “Lam, bertegur sapalah dengan dia. Jangan melampau pula.” Ryan mula marah dengan perangai angin Qalam yang masih tidak mahu mengalah dan ego.
“Kau nak aku pindah tempat duduk atau kau berhenti bercakap sekarang?” ugut Qalam pada Ryan. Ryan kecut dan terus zip mulutnya. Aliff hanya tersenyum melihat gelagat dua sahabat itu. Memang sama juga keadaannya semasa mereka berkenalan minggu lalu.
Qalam diam. Jiwanya panas. Gadis yang buat dia naik angin sejak semalam berada di hadapannya. Dia semakin marah. Pandangannya tercemar di pagi hari. Moodnya untuk semangat dalam kuliah pertama terjejas hanya kerana bertemu dengan gadis malang itu.

PUKUL 9.15 pagi, pensyarah sudah membubarkan kelas. Tidak banyak yang disentuh hari pertama kuliah selain sesi perkenalkan dirinya sebagai tenaga pengajar. Undang-undang dan peraturan yang perlu mengikut cara pengajarannya juga diberitahu agar kelasnya kelak tidak terganggu. Biasalah sudah menjadi trend sekarang semua guru mempunyai cara masing-masing untuk mengajar.
“Liff, aku nak cakap dengan kau boleh?”
Aliff memandang Ryan dengan perasaan bingung. Pelik sungguh perangai kawan barunya itu. Tidak seperti biasa yang sering bercakap tanpa meminta kebenaran.
“Boleh. Apa?”
“Ini rahsia. Aku nak kau, aku dan Qalam je yang tahu.”
“Rahsia apa?”
Ryan tersenyum mendengar soalan Aliff. Dia mengikut sahaja langkah Qalam yang berada di hadapannya menuju keluar bilik kuliah.
“Pasal aku..”
“Hah..?!” Aliff semakin bingung. Mahu tergelakpun ada. Perangai macam perempuan!
“Cakaplah terus terang. Aku ni paling benci dengar benda penting dilambat-lambatkan. Cakaplah. Macam perempuan pula mau malu-malu.” Qalam menyampuk. Dia pula yang naik geram.
“Macam mana kau kenal dengan perempuan tadi tu?”
“Siapa?”
“Yang duduk depan kita tadi tu.” Ryan menjawab malu. Tersipu-sipu.
“Oh... dia...”
“Kejap. Dia panggil kau ‘abang’ tadi kan?” Ryan menyambung laju lagi. “Dia siapa? Jangan kau kata girlfriend kau pula...”
“Eh, kau nak Aliff jawab soalan kau ke atau tak jawab terus?” Qalam semakin geram. Dia semakin marah dan ditambah pula dengan sikap mengada-ngada Ryan yang banyak soal.
“Okey, kamu jangan nak gaduh pulak. Kenapa kau mau tahu ni?” Aliff membuka bicara di antara mereka. Takut pula angin Qalam semakin buruk. Tidak pasal-pasal bergaduh pula mereka berdua hanya kerana kemarahan yang membelunggu Qalam.
Ryan mencebik seketika. Kemudian kembali semula untuk memperdulikan Qalam.
“Dia adik akulah. Sebab tu dia panggil aku ‘abang’ tadi.” Aliff menyambung.
“Adik?” Ryan terkejut. Qalam yang tadinya tidak mahu memandang muka Ryan yang mengada-ngada mula mengalihkan pandangan ke muka Aliff.
“Yalah..”
“Pelik. Takkan dua-dua sem satu pula. Oh... mesti dia budak matriks kan? Sebab kau lepasan STPM.”
“Yan, sudahlah ya. Aku tumbuk kau sekali baru kau nak diam?”
Ryan terdiam. Terpaksa menutup mulutnya. Dia menurut. Memang dia tidak berani melawan apa yang diarahkan atau dikatakan oleh Qalam padanya. Dia akan sentiasa berusaha tidak melawan sahabatnya itu. Dari dulu lagi sampai bila-bila. Dia tidak kisah mengalah dengan lelaki itu.
“Kau suka adik akukah, Yan?” Aliff menyoal.
Ryan tersenyum. Malu-malu pula dia kali ini. Qalam yang melihatnya semakin meluat dengan sikap bodoh Ryan.
“Yan, sekali lagi aku tengok kau macam ni, tidak ragu-ragu aku tumbuk mukamu.”
Ryan diam sahaja. Mahu marah juga tapi terpaksa diam. Aliff yang berada di situ juga mula senyap. Dia mula bingung dengan sikap tunduk Ryan pada Qalam. Takut sampai begitu sekali.
Fikiran Aliff terlintas akan sesuatu. Sebelum ini Ryan pernah membuka cerita dengan. Qalam dan dia memang sudah menjadi sahabat dari kecil. Qalam memang pelajar yang nakal di sekolah tapi bijak dan menjadi pelajar cemerlang STPM. Dia pernah menjadi ketua samseng di sekolah dan Ryan menjadi orang kanan yang terpenting sekali.  Memang patut Ryan gentar dengan lelaki itu. Aliff mula tersenyum sendirian. Memang tidak hairanlah melihat Ryan tunduk sebegitu rupa terhadap Qalam.
“Eh, korang jalan dululah. Aku jumpa adik aku dulu sekejap.”
“Liff, cakap dengan dia aku kirim salam.” Ryan segera menyampaikan.
Aliff tersenyum. Faham dengan maksudnya.
“Aku pergi dulu. Jumpa di kelas seterusnya nanti.” Dengan ayat itu Aliff meninggalkan mereka berdua. Dia menuju ke arah Cinta yang sedang mengatur langkah bersama Suhana, roommatenya. Fikirannya mula penuh dengan sikap Ryan terhadap Cinta. Ryan suka Cinta? Dia mula bengang.
Qalam memandang tepat pada muka Ryan. Perginya Aliff sebentar tadi, dia mendengar ayat yang tidak patut dikeluarkan Ryan. Dia benci mendengarnya.
“Nasib kita berada di tempat public and aku ada fikiran yang waras hari ni. Eh, Yan. Jangan mentang-mentang hari ni hari pertama kita masuk kuliah kau tahu aku try tidak mengamuk dan kau boleh buat suka hati kau. Kau tidak ingat apa aku cakap tadi? Ikutkan hati aku ni, aku tumbuk kau di sini juga tadi. Jangan cuba cabar aku, Yan.”
Ryan bertindak mendiamkan diri semula. Dia tahu hanya itu jalannya. Jika dia buka mulut dan melawan, pasti mereka akan bergaduh selepas ini. So, dia bertindak mengalah sekarang. Dengan cara itulah angin Qalam akan pulih. Dia tahu Qalam memang kaki angin. Tapi biasanya dia marah sekejap. Apa yang membingungkan, dia pelik kenapa Qalam marah sangat pada gadis yang telah menambat hatinya itu. Tidak pernah dia marah begitu lama kecuali dia benci. Nampaknya, Qalam memang benci pada gadis itu.
Ryan mengeluh sendiri. Nampaknya susah baginya untuk meneruskan perasaan yang dialaminya kerana sikap Qalam sedemikian rupa.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^