Wednesday 24 April 2013

Mencintai Cinta - Bab 5


5


Aliff merenung ke dinding. Entah apa yang menarik dengan dinding bilik asramanya itu. Apa yang pasti, fikiran sudah jauh. Sejak pagi tadi otaknya buntu dengan apa yang telah dilafazkan oleh Ryan. Kawannya itu beriya sangat mahu berkenalan dengan Cinta. Apa yang jelas, dia yakin Ryan serius suka pada Cinta.
Aliff mengeluh. Bengang dan dia buntu. Benar-benar tidak tahu apa yang ingin dibuat. Ryan tidak boleh suka dengan Cinta! Itu kesimpulannya. Noktah!
“Apa yang kau renung dengan dinding tu?”
Aliff tersentak. Dia memandang belakang. Panjang umur lelaki itu. Muncul tepat pada waktunya.
Ryan melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah Aliff. Memandang wajah Aliff. Dia rasa hairan. Aliff memikirkan sesuatu.
“Kau mengelamunkan siapa? Awek kau kat Sabahkan?” Ryan berlawak tapi memang itu yang dia mahu nyatakan.
“Kau ni... awek, awek, awek. Aku fikirkan family akulah tadi.”
“Kau ni macam budak-budak betul. Mesti anak manja mak ni, kan? Dah besar panjangpun masih macam ni.” Lancang mulut Ryan mengutuk.
“Hah, ada apa hal kau datang ni?” cepat-cepat Aliff mengalih topik. Takut berlanjutan topik yang tidak mahu dibincangkannya tadi.
“Eh, Qalam ajak kita pergi makan dengan dia. Kau pun tau kan dia baru dapat baik dengan Basyirah. Angin dia baiklah tu. Jadi dia nak kita makan ngan mereka berdua.“
Aliff kelihatan berfikir. Sudah banyak kali dia menolak pelawaan mereka untuk pergi makan bersama-sama kerana kerana waktu makannya hanya bersama Cinta. Dia tidak akan makan sekali dengan Aliff dan Qalam jika ada Cinta sekali. Payah!
Sorrylah. Aku betul-betul tidak boleh.”
“Lemahlah kau ni. Setap hari kitorang ajak kau tak nak. Selama ni kau makan dengan siapa sampai nak makan dengan kami pun kau tak nak?” Ryan kelihatan tidak puas hati kerana usahanya masih gagal sejak seminggu yang lalu.
“Betul-betul tidak boleh...”
Please. Sekali ni je...”
Aliff melihat muka penuh harapan yang dicetuskan oleh Ryan. Dia dihimpit rasa bersalah. Terhimpit antara Cinta dengan kawannya. Mana satu yang perlu dia pilih? Dia sendiri tiada jawapan.
“Kau turun dululah..”
“Aku tunggu kat bawah!” riang ria suara Ryan.
Aliff tidak berkata apa-apa lagi. Ryan sudah melangkah keluar dari biliknya. Dia belum lagi menyatakan persetujuan untuk menyertai mereka tapi lelaki itu sudah pergi meninggalkannya. Aliff mula mengeluh.  Pening dengan diri sendiri.
Jam di telefon dipandang sejenak. Dia mengambil kunci dan telefon bimbitnya. Pintu bilik asrama ditutup selepas selipar dipakai. Cinta mesti sudah menunggunya di kafe.
“Dah lama tunggu abang?”
“Ta pun baru sampai. Tadi dengan Nadia tapi dia pergi jumpa kawan dia.”
Aliff tersenyum pada Cinta. Memang jujur Cinta menjawab.
“Ta dah tempah nasi untuk kita makan di kafe Pak Andak. Tapi belum ambil lagi.”
“Ta tunggu sini. Abang pergi ambil.”
Cinta tersenyum. Dia sudah mengagak Aliff akan bertindak sedemikian rupa.  Aliff terus mengatur langkahnya. Selepas mengambil makanan yang sudah dipesan Cinta dia mengatur langkah ke kaunter. Dari jauh dia sudah melihat Ryan. Nampaknya dia tidak dapat mengelak lagi selepas ini.
“Kau beli makanan sampai dua ni. Satu lagi untuk siapa?” Ryan sibuk menyoal.
“Adik aku.”
Membulat bersinar mata Ryan mendengar apa yang dikatakan oleh Aliff. Besar telinganya mendengar berita baik itu.
“Kau nak makan dengan dialah ni?”
Mahu tidak mahu, Aliff terpaksa juga menganggukkan kepalanya. Memang sah Ryan suka dengan Cinta. Aliff naik pasrah dengan takdir itu. 
“Ajak dia makan dengan kita sekali ya.”
Aliff diam sahaja. Tiada jawapan ‘ya’ mahupun ‘tidak’ dikeluarkannya. Anggukan mahupun gelengan kepala juga tiada. Melihat reaksi Ryan yang gembira, dia semakin terhimpit. Dia kesian melihat kawannya itu. Tapi dia juga kesiankan pada Cinta.
“Aku tunggu di meja depan koperasi.”
Aliff terdiam. Ryan pergi dengan senyuman lebar. Mahu tidak mahu, Aliff mula mengatur langkahnya menghala ke arah Cinta yang setia menunggu sejak tadi. Cinta pasti sedia mahu mengatur langkahnya ke tempat biasa mereka. Aliff semakin bingung. Apa yang dia patut pilih sekarang? Beritahu Cinta untuk makan bersama teman-temannya atau pergi bertemu Ryan untuk menolak makan bersama? Penat dia menyoal akalnya. Tiada jawapan!
Pandangan Aliff ke arah Cinta. Gadis itu sudah mengatur langkah ke tempat biasa. Dia semakin buntu. Otaknya dirasakan semakin berat apabila baru tersedar bahawa Ryan dan Qalam akan makan di meja berdekatan dengan tempat biasa mereka. Arghhh!!! Keadaan semakin rumit baginya. Dia mati akal.
“Ta...” Aliff memanggil lemah. Cinta memandangnya. “Malam ni kita makan..”
“Liff!!!”
Mereka berdua tersentak. Nampaknya Ryan yang melihat kelibat mereka berdua .
“Sini!” Ryan memanggil. Memekik dan menyuruh mereka berdua menuju ke arahnya. Kelihatan seperti sudah ada tempat duduk yang disediakan khas oleh lelaki itu.
Cinta melihat Aliff. Dia sudah mengerti apa yang mahu dikatakan oleh Aliff sebentar tadi walaupun masih belum menumui titik noktah sebenarnya. Aliff dilihat diam. Muka tiada pilihan dan terdesak. Dia tidak dapat mengelak lagi sekarang.  Dia mengalihkan pandangannya melihat pada wajah Cinta. Inginkan persetujuan.
Cinta hanya senyap. Dia tidak mahu makan bersama mereka dan apa yang dirasakannya itu dapat dibaca oleh Aliff. Namun dia terpaksa berdiam diri. Tanpa sebarang kata, mereka berdua mengatur langkah ke arah Ryan.
“Kau sorang?” Aliff menyoal. Dia hairan. Hanya Ryan yang ada di situ.
“Tak. Duduklah. Hah, tu pun Qalam. Dia jemput Basyirah.”
Cinta yang baru mahu melabuhkan punggung mula terperanjat mendengar nama Qalam. Dia ada juga rupanya. Aliff di sebelahnya dipandang. Aliff mengerti maksud pandangannya. Dia tidak mahu lagi bersua muka dengan Qalam.
Sorry, lambat.”
Cinta tidak sesekalipun mengangkat mukanya memandang Qalam yang baru sampai.  Baginya, dia tidak mahu lagi memandang tepat muka lelaki itu. Perangai Qalam akan membuatkan Cinta tidak mahu dibelenggu masalah lagi.
Qalam melabuhkan punggungnya. Basyirah melabuhkan punggung di sebelah Cinta. Menyedari wujudnya Cinta di situ, mood Qalam terus hilang. Dia bengang. Nasib bai tempat awam. Kalau tidak, mesti dia memaki di situ juga.
“Ira, ni kawan abang. Namanya Aliff. Sebelah Ira pula adik dia. Nama dia...” ayat Qalam terhenti. Dia tersekat di situ. Dia tidak ingat nama budak perempuan itu. Puas otaknya dipusing-pusingkan. Cuba berfikir semula. “Alyah. Hah, nama dia Alyah.”
Cinta tersentak. Aliff memandangnya. Dia mengerti apa yang difikirkan Cinta. Cinta menarik nafas. Peristiwa lalu melintasi otaknya.
“Nama awak panjang sangatlah. Cinta. Nur. Alyah. Hah, ada tiga nama. Nama awak boleh bagi tiga orang pakai tau. Emm... kalau orang rumah awak panggil awak Cinta, biar saya panggil awak.. Alyah. Alyah. Cantikkan?”
Tangan Cinta tergerak. Air sirap milik Basyirah dilanggarnya dan tumpah ke atas perempuan itu.
“Kenapa dengan awak ni?”
Cinta tersentak. Dia menghayal lagi. Melihat air tumpah, dia membesarkan mata. Terperanjat dan baru menyedarinya.
“Maaf... saya minta maaf...” Cinta segera meminta maaf. Panik. Sapu tangan dikeluarkan dari koceknya. Mengesat air yang tumpah di baju Basyirah. Semua orang memandang padanya.
Qalam berdiri. Segera mendekati Basyirah. Dia benar-benar marah. Ikutkan hatinya, dia ingin sekali menampar muka perempuan itu masa itu juga. Namun, melihat semua ini berlaku depan semua orang dia terpaksa  bersabar. Ini tempat awam, dia perlu banyak bersabar.
“Saya minta maaf...” Cinta masih meminta maaf.
“Tak apa.” Lembut sahaja suara Basyirah. Masih tenang wajahnya berbeza dengan Qalam.
“Awak memang bawa malang dengan saya. Setiap kali saya jumpa awak, mesti ada je yang berlaku. Ira, biar abang bawa Ira pergi dari sini. Semakin lama kita di sini, semakin banyak kesusahan kita dapat. Semuanya sebab perempuan sial ni!”
“Apa abang cakap ni? Tak baik. Alyah tak sengaja.” Basyirah mula bersuara.
Qalam diam. Basyirah dapat mengawal marahnya dengan mudah sekali.
Ryan melihat Cinta. Dia simpati. Melihat wajah Cinta, hatinya sakit apabila Qalam memperlakukannya sedemikian. Wajah Cinta memang menjeratnya. Hatinya terusik tatkala menatap indah mata milik Cinta.
“Ni semua kau punya pasal kan..?” Qalam marah berbisik ke arah telinga Ryan.
Jiwa Ryan panas. Ikutkan hatinya, dia ingin sekali menumbuk muka Qalam masa itu juga. Direnungnya mata Qalam yang tajam menusuk ke jantungnya itu. Ryan menyabarkan dirinya. Dia tidak mahu melakukan semua itu terutamanya di hadapan gadis yang disukainya dan mereka berada di tempat awam. Dia kena bersabar.
Qalam kemudiannya mengatur langkah pergi sambil tangannya menarik tangan Basyirah. Cinta memandang tepat pautan tangan itu. Pahit yang terpaksa ditelannya. Menusuk jantungnya seakan-akan ada pisau yang menikam dari hadapan.
Ryan semakin panas. Jiwanya mula hilang sabar namun Qalam sudah pergi. Dia menarik nafas.
Aliff bengang. Entah dia masih terkejut atau hairan dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya. Selama berkenalan dengan Qalam dan Ryan, tidak pernah berlaku perkara sedemikian rupa. Dia marah juga sebentar tadi tatkala melihat Cinta diherdik kuat. Pertama kali dia melihat dengan mata kepalanya sendiri benda itu berlaku. Dia cuba menenangkan fikirannya. Positif, Liff. Qalam cuba melindungi Basyirah. Basyirah pasti terkejut dengan semua ini terutamanya bila ini adalah pertemuan pertamanya dengan Cinta.
Aliff menarik nafas. Dia juga rasa bersalah kerana mengheret Cinta dalam situasi ini. Kalau bukan kerana dia mahu makan bersama Ryan dan Qalam, Cinta tidak akan alami semua ini.
“Saya minta maaf. Qalam memang macam tu. Dia sayang sangat dengan Basyirah. Dah nama juga tunang...”
Hampir tersekat pernafasan Cinta saat itu. Tunang? Takdir apakah ini?
“Al... Alyah. Kesedihan bukan penyelesaiannya. Al dah janji takkan nangis kan?”
Aliff memerhatikan Cinta. Mata adiknya itu sedang memerhatikan sesuatu di sebelah tempat duduknya. Aliff memandang kirinya. Tiada siapapun di situ.
“Ta!” Aliff segera memanggil.
“Jangan menangis kerana air mata bukan jalan yang terbaik. Apa yang penting, Al ingat pada janji Al sebelum ini. Tidak akan menangis lagi..”
Cinta cuba mengawal emosi. Apa yang dikatakan padanya memang satu peringatan yang pernah dia ungkapkan suatu masa dahulu.
Ryan diam. Melihat wajah Cinta yang memikatnya itu, dia semakin sedih. Cinta kelihatan senyap sahaja. Ryan semakin dihimpit bersalah.
“Ta... Cinta...?”
Cinta tersentak. Memandang pada wajah Aliff yang baru memanggilnya. Aliff terdiam. Cinta kembali seperti sebelumnya semula.
“Ta mau balik bilik.” Itu kata putus Cinta.
“Balik bilik?” Ryan menyoal cepat.
“Maaf...”
Aliff memandang sahaja Cinta pergi. Cinta terburu-buru. Aliff menghembuskan nafasnya perlahan. Berlaku semula kejadian yang tidak diingini ke atas Cinta.
Ryan bengang. Apa yang berlaku, dia sendiri tidak tahu. Apa yang pasti, dia tahu Cinta mungkin rasa bersalah yang teramat sangat dan terus pergi. Gadis itu mesti menangis. Semua ni salah Qalam! Terlalu ego. Suka ikut kepala anginnya!

CINTA mengatur langkahnya laju. Fikirannya mula sarat dengan pelbagai bayangan. Ingin sekali ditepisnya namun dia sendiri tidak berdaya. Dia menghentikan langkah di tepi gelanggang tenis di bawah bangunan asramanya. Nafasnya ditarik cermat. Dia sesak nafas lagi kali ini.
Peristiwa di kafe sebentar tadi segar dalam kotak fikirannya. Wajah bengis Qalam terhadapnya menyakitkan kepala. Nama Alyah yang diseru oleh bibir lelaki itu masih kedengaran dengan jelas sekali seakan-akan Qalam berdiri di hadapannya.
“Alyah...”
Cinta menajamkan matanya. Kakinya menghentikan langkah. Tiba-tiba mengundur beberapa langkah ke belakang. Perlahan.
“Alyah...” namanya dipanggil semula.
“Awak pergi...” Cinta mengarah perlahan. Suaranya tersekat kerana nafasnya yang susah dikawal.
“Qalam...”
“Awak jangan sebut nama dia.”
“Semua ujian Allah. Al kena kuatkan semangat.”
“Ujian? Kenapa dia jahat macam... macam...” ayat Cinta mati di situ tanpa titik noktahnya. “Saya tidak kuat lagi...” Cinta mengalah akhirnya.
“Saya ada untuk awak. Akan sentiasa ada untuk awak.”
“Awak tipu..!”
“Ingatlah bahawa Allah itu Maha Kaya. Dia berkuasa atas segalanya yang ada. Kekuasan-Nya menulis semua ini pasti aka nada hikmahnya. Alyah, awak janji tidak mahu menangis lagi. Kenapa awak mungkir janji awak pada saya?”
“Sebab awak tipu saya.”
“Semuanya kuasa Allah. Awak perlu ingat itu.”
Cinta diam membisu. Tiada ayat tidak puas hati lagi yang ingin dia utarakan. Dia kalah di situ.
“Al, ingatlah. Saya akan sentiasa ada untuk awak. Sentiasa akan ada...”
Cinta membesarkan matanya. Tiada lagi dipandangan matanya. Dia berpaling ke belakang dan sekelilingnya. Hilang. Senyap dan sepi. Seasana hening.
Bunyi deringan telefon mengejutkan Cinta. Dilihat nama si pemanggil. Telefonnya ditenung. Hembusan satu nafas menekadkan mindanya. Telefon itu disimpan semula di dalam kocek seluar. Langkahnya diteruskan ke asrama.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum... tq readers !!!
Ringankan jari anda tuk komen hasil penulisan saya... muahhh ^^