Monday 17 June 2013

Mencintai Cinta - Bab 13

Bab 13

HARDI berdiri di sebelah Aliff. Leby yang datang bersamanya kelihatan mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Mendengar dari mulut perempuan itu tadi, dia mahu menyusul tindakan Alisa. Entah apa yang hendak disusulinya, Hardi sebenarnya masih kurang faham dengan apa yang dikatakan oleh perempuan itu.
Aliff menjeling dua saat pada Hardi yang tiba-tiba di sebelahnya. Pandangannya kemudian kembali melihat laut malam yang sedang terbentang luas di hadapan mata.
“Papa kau mana, Liff?” Hardi menyoal. Biasanya bila Ariyanshah ada di rumah, jangan harap mereka akan berkumpul seperti sekarang. Dia masak benar dengan Papa Aliff.
“Tiba-tiba ada meeting malam ni. Kenapa tanya?” Aliff menyoal sambil memandang muka sahabatnya.
“Aku sudah agak. Kalau Papa kau ada, dia tidak akan benarkan kita lepak di luar ni.”
Aliff tersenyum mendengar apa yang dinyatakan Hardi sebentar tadi. Memang sah Hardi sahabatnya. Dia kenal benar perangai Papanya. Memang sudah masak dengan semua itu.
“Aku ingat lagi masa kita lepak-lepak di sini dari petang sampai malam. Manalah kita sedar hari sudah malam sebab syok bercerita. Punyalah dia marah dengan kita time tu. Hampir dia keluarkan senapang nak tembak kami. Apa Papa kau cakap hari tu? Apa lepak-lepak sampai malam di luar rumah ni? Tidak ingat nak balik rumah? Aku tembak satu-persatu baru padan muka kamu semua!
Terburai ketawa Aliff yang mendengar. Hardi yang mengungkit cerita dua tahun lalu kelihatan berusaha mengajuk ayat Papanya dengan nada dan gaya sekali.
“Kau pun masak dengan Papaku. Dia tu dengan anak sendiripun dia tegas. Aku lambat pergi meja makan sarapan pagi pun boleh kena hukum. “
“Nasib baik bapak aku bukan tentera macam Papa kau. Kalau ya, hidup ini penuh dengan disiplin, ketegasan dan peraturan. Huhhh.. ndak sanggup aku..”
Aliff senyum dengan Hardi. Terburai semula ketawanya. Hardi ingat apa yang dia selalu katakan. Memang ayat yang sama terkeluar. Disiplin, ketegasan dan peraturan. Dengan perkataan itulah dia hidup di dunia ini. Ayat itu tidak pernah lekang dari bibir Papanya.
“Ta... kenapa dengan dia?”
Aliff menghentikan gelaknya. Memandang ke hadapan semula. Memang pandai Hardi mengumpan situasi kali ini. Mula-mula mahu berlawak. Rupanya mahu bertanyakan cerita pasal Cinta.
“Kenapa tanya?”
“Kau ni balik-balik ulang soalan yang sama...”
“Memang itu yang aku nak soal kau.”
“Okey...” Hardi pasrah. “Aku tidak pernah tengok Cinta lagi sejak kamu pergi UUM.  Dia okey?”
“Macam kau tidak tahu. Tapi... kalau nak dibandingkan dengan yang dulu, sekarang lagi okey sikitlah. Tapi entahlah, sejak dua menjak ni dia selalu menulis balik di bukunya. Duduk kat luar sendiri-sendiri dari pagi sampai petang dan kadang-kadang sampai malam. Selalu buat kerja sendiri. Depan Papaku jak dia bersuara. Lepas tu dia mula hilang-hilang. Biasalah...”
Hardi terdiam. Dia tahu kenapa mereka lepak di luar dan tidak di tempat biasa. Mahu ditanyakan kenapa pada Aliff, dia sudah tahu alasannya. Jadi, dia bertindak berdiam dari menyoal.
“Aku tengok Lisa dah berubah...” Hardi menyambung cerita lagi. Semasa dia dan Leby sampai tadi, dia disambut oleh Alisa. Melihat gaya dan tingkah laku gadis itu, dia kelihatan lebih matang dan tidak lagi seperti sebelum ini.
“Aku pun terkejut jugak. Dia siap jumpa Cinta petang tadi. Aku tengok diorang berpelukan. Dia siap pegang tangan Cinta. Keakraban diorang tu macam dulu semula tapi ini versi lain sikit. Versi Lisa yang lebih matang.” Aliff pula memberi pendapatnya.
Masing-masing senyap selepas itu. Tidak tahu mahu bicarakan hal apa lagi. Masing-masing kelihatan berfikir. Menganalisa perkara yang telah berlaku. Semuanya sudah lain. Berubah. Tapi Cinta? Kenapa dia kembali menyendiri? Itu yang merunsingkan mereka berdua.
“Assalamualaikum. Kami ganggu tak ni?”
Aliff dan Hardi tersentak. Masing-masing memandang serentak ke belakang. Ryan dilihat mengatur langkah ke arah mereka. Di belakangnya ada Qalam.
“Waalaikumsalam. Mana ada ganggu. Hah Hardi, nilah kawan-kawan aku yang aku bawak dari UUM. Yang itu Ryan. Tu Qalam. Emm... yang ni kawan baik aku di dunia. Namanya Hardi.”
Hardi tersenyum kerana dia mendengar dialah kawan baik Aliff di dunia. Pandai pula Aliff berkata-kata di sesi perkenalan kali ini.
“Hai. Ryan. Panggil je Yan.” Ryan bertindak seperti biasa. Bab bercakap dahulu, dia memang mahir. Terus disalam tangan lelaki yang baru dikenalinya itu. Namanya Hardi.
“Qalam...” bersuara juga Qalam menyebut namanya. Dia memerhati penuh lelaki yang baru disalamnya. Mukanya ada dalam bingkai gambar yang dilihatnya petang tadi. Ini bermaksud sudah lima orang dalam bingkai gambar itu yang ditemuinya. Sebentar tadi dia terjumpa perempuan yang bernama Leby. Ini bermakna semua perempuan yang ada dalam bingkai gambar itu sudah ditemuinya. Cinta, Alisa dan Leby. Sekarang bertemu pula dengan Hardi. Ini bermaksud tinggal seorang lelaki lagi yang dia belum jumpa. Mesti dia belum datang atau tidak akan hadir malam ini.
“Jadi ini semua budak-budak pendidikanlah ni. Bakal jadi cikgu,” Hardi bersuara membuka topik. Dia memang kaki bercerita. Persis dengan Ryan.
“Aamiin...” Ryan mengaminkan ayat Hardi. Berharap mulut Hardi masin.
“Dah lama ke kamu berdua kenal? Aku nampak dah macam adik-beradik.” Ryan menyoal. Melihat keakraban Aliff dengan Hardi, dia perasan Aliff tidak pernah melayan mereka sedemikian rupa sebelum ini. Walaupun mereka bersembang sedikit sahaja, tetapi cara Aliff tergelak tidak sama sama sebelum ini. Berjumpa kembali dengan gengnya, Aliff mula menunjukkan dirinya yang sebenar. Mengeluarkan cerita sebenar yang terbuku sebelum ini. Baru saat ini mereka dapat mengenali siapa sebenarnya Muhammad Aliff yang mereka kenali sejak minggu orientasi.
“Kami kenal sejak kecil lagi. Tahun satu tak silap. Aliff ni, kamu jak yang tidak kenal. Punyalah pembuli. Akulah orang yang selalu dibulinya dulu. Tapi bila aku tau dia anak tentera, akupun tercabar jugak. Patutlah dia berlagak, rupanya anak tentera. Aku pun pergi rancang nak belasah dia. Bila nak belasah dia tu, aku baru tau dia ni tidak ada kawan kerana tiada orang berani mau tegur anak tentera ni. Timbul rasa kesian, aku jinak-jinakkan diri dekat dengan dia. Baru aku tau dia ni memang sekepala dengan aku. Sejak tu kami jadi kawan baik.”
Aliff memandang Hardi. Dia mengungkit cerita lama. Nampaknya pekung di dadanya mula terbongkar kini dengan adanya Hardi. Pasti Hardi boleh menjadi orang yang boleh menceritakan semuanya. Mulutnya memang susah mahu ditutup mahupun dihalang.
“Aku tak taupun Papa kau tentera, Liff. Patutlah garang semacam,” Ryan menambah.
Aliff memandang Hardi. Geram. Nampaknya Ryan dan Hardi memang sukar mahu ‘dikawal’ kali ini. Mula menembaknya dengan cerita yang baru dibuka. Hanya Qalam senyap mendengar.
“Disiplin, ketegasan dan peraturan. Itulah motto dalam rumah Aliff ni. Mesti dituruti. Siapa yang ingkar, akan dijatuhi hukuman.” Hardi semakin galak menambah. Nampaknya Ryan mula menghamburkan suara tawanya. Qalam dilihat tersengih.
“Memang teruk kau kerjakan aku ya, Hardi.” Aliff berkata pasrah.
“Aku tau kau tidak akan cakap apa-apa sebab kau setuju dengan apa yang aku cakapkan?” Hardi mengumpan Aliff. Dia tahu itu kelemahannya.
“Okey kawan. Aku pun malas nak hidup begini tapi aku kena hadapi jugak. Dia tetap Papaku yang aku sayang...”
Semua orang ketawakan Aliff yang kalah mudah di tangan Hardi. Memang lucu raut wajahnya.
“Kamu tak taukah Papa Aliff ni ketua Komander TLDM?” Hardi menyambung lagi.
“Hah? Biar betul?” Ryan terkejut beruk. Memandang Qalam segera. Qalam juga terperanjat.
“Kamu tak tau? Kesiannya...” sempat berlawak Hardi di hujung ayatnya.
“Kenapa selama ini kau tak bagitau kat kitorang Liff?” Ryan segera menyoal Aliff.
“Hah..? aku rasa tidak pentingpun nak bagitau. Hardi ni yang suka over-overkan cerita. Benda tu pun nak bagitau orang.” Aliff sedikit geram. Hardi benar-benar sudah memulakan cerita.
Ryan memandang Qalam sekali lagi. Patutlah macam pernah nampak Papa Aliff sebelum ini. Rupanya pegawai tentera laut di-Raja. Mukanya sinonim dengan banyak orang. Memang sebelum mereka ada melihat gambar Papa Aliff berpakaian tentera tergantung di ruang tamu utama rumah. Tidak sangka pula dia seorang komander TLDM. Memang tidak disangka-sangka.
“Rancak berbual. Kami nak joint jugak!”
Aliff, Hardi, Ryan dan Qalam memandang belakang serentak. Muncul empat gadis di situ. Leby, Alisa, Cinta dan Basyirah. Perbualan terhenti tiba-tiba.
“Aik, stop pulak...” Leby meneruskan kata-katanya. Pelik melihat semua orang memandang tepat pada mereka berempat. “Hai. Saya Leby...” Leby bijak mengawal keadaan. Dia memperkenalkan dirinya kepada Ryan dan Qalam yang baru pertama kali dilihatnya.
“Dia buah hati manusia ni,” Aliff segera bersuara. Hardi ditunjuknya. Semua orang melihat Hardi dan Leby.
“Patutlah mesra semacam.” Ryan bersuara semula.
“Kau kenakan aku balik ya, Liff!” Hardi menyoal dan memandang tepat muka Aliff.
“Siapa yang mulakan dulu?”
Ryan dan Qalam tersengih. Pandai juga Aliff melawan. Melihat telatah mereka berdua, memang sah mereka sahabat. Melalui pandangan mata Aliff sahaja semua orang tahu mereka itu seperti ada satu ikatan yang sukar mahu dileraikan. Ikatan yang istimewa itulah membawa persahabatan kukuh antara mereka.
***************************************************************************
QALAM memerhati laut malam yang terbentang luas di hadapannya. Memang nyaman. Tidak hairanlah bila rumah Aliff ini selesa. Kedudukannya yang betul-betul berhadapan laut sangat mendamaikan. Sesiapa sahaja mengidamkan rumah didirikan di tempat sebegitu.
Suara Aliff dan gengnya bercerita rancak kedengaran. Qalam sudah letih mahu mendengar kerana setiap ayat yang dikeluarkan mereka semuanya menggelikan hati sesiapa sahaja yang mendengar. Dia tidak sanggup lagi lalu menggunakan alasan mahu menelefon keluarganya untuk pergi dari situ.
“Boleh saya duduk?”
Qalam terperanjat. Segera mengalihkan pandangan ke kanannya. Tidak menyangka Aisa muncul.
“Duduklah. Saya pun tetamu kat sini. Tak perlu minta kebenaran dengan saya.” Ujar Qalam.
Alisa melabuhkan punggung di sebelah kiri Qalam. Duduk di atas pasir seperti ini tidak lagi asing baginya. Dulu dia selalu duduk di situ bersama-sama gengnya. Semua itu selalu dilakukannya dulu. Sekarang... tinggal kenangan.
“Awak tak telefon siapa-siapapun. Kata tadi mau call your family.”
Qalam senyap. Dia terjerat akibat alasannya sendiri.
“Awak mau lari dari sana, kan?” sakat Lisa.
“Saya penat nak layan cerita lawak diorang. Duduk kat sinikan syok jugak. Dah lama tak rasa angin macam ni. Kena-kena pula berdepan dengan laut malam. Dah lama tak rasa keindahan malam macam ni,” sangat bijak Qalam mengatur ayatnya. Ini pula alasannya kali ini.
“Saya dengar awak sudah bertunang. Betul?”
Qalam memandang Alisa. Gadis itu memang banyak bertanya padanya.
“Siapa cakap kat awak?” Qalam yang bingung menyoal. Sejak mereka berkumpul petang tadi, tiada seorang pun buka cerita tentang pertunangannya.
“Cinta.”
“Hah?” Qalam terperanjat. Tidak menyangka benar Cinta akan membuka mulut. Otaknya mula berpusing. Baru teringat Cinta dan Alisa memang sahabat baik persis adik-beradik. Tidak hairan bila Cinta buka mulut. Tapi kenapa dia ceritakan pada Alisa? Qalam berasa pelik. Seakan-akan tidak percaya tindakan Cinta.
“Awak percaya kalau saya cakap Cinta yang cakap dengan saya?”
“Apa alasan yang boleh buat saya tak percayakan awak? Tapi, boleh jadi juga saya tak percaya sebab Cinta jenis gadis yang senyap. Saya tak tahulah kalau dia dengan awak. Ada kemungkinan besar dia cerita kat awak sebab saya nampak ada pertalian ‘kekeluargaan’ dalam persahabatan geng korang.”
Alisa memerhatikan Qalam yang petah menjawab. Dia tertarik. Cara Qalam memang menarik hatinya untuk kenal lelaki itu lebih jauh lagi.
“Mama Aliff yang cerita kat saya tadi. Time tu saya kat dalam nak jumpa Cinta. Kalau nak harap Cinta buka mulut, tahun depan pun tidak tentu lagi dia akan cakap atau tidak.”
Qalam tersengih. Kali ini dia pula yang tertarik dengan apa yang dikatakan Alisa padanya. Baginya, cerita yang berkaitan dengan gadis yang bernama Cinta itu pasti dia berminat.
“Awak perasan tak ada orang yang sedang perhatikan awak sejak tadi? Dan mungkin sekarang ni pun dia tengah perhatikan kita.”
“Siapa?” Qalam menyoal terkejut. Tidak menyangka dengan apa yang yang telah dinyatakan oleh Alisa. Dia memandang kiri dan kanan sejenak. Memerhati semua kawannya. Mencari siapa gerangan orang yang dikatakan oleh gadis di sebelahnya.
“Awak rasa?”
“Ryan?”
No.Perempuan.”
“Basyirah?”
“Basyirah... mungkin. Tapi dia perhatikan awak bila saya duduk berdua dengan awak sekarang. Ada lagi orang yang perhatikan awak sejak tadi lagi.”
“Bukan Basyirah?”
Alisa menggelengkan kepalanya. Qalam berfikir. Perempuan? Hanya ada hanya Lisa, Leby, Cinta dan Basyirah malam ini. Kalau bukan Basyirah, takkanlah Alisa. Dia duduk di sebelahnya kini.
“Leby?”
“Apa pulak Leby. Dia tidak akan perhati orang lain lagi selain Hardi. Jangan nak perasan sangatlah..”
“Alyah?” tiada lain lagi yang perlu disebutkan Qalam. Hanya Cinta sahaja jawapannya.
“Hah...? emm.. ya!.” Tergamam sebentar Alisa mendengar nama yang disebut oleh Qalam. Memang orang yang sama tapi kenapa dia panggil Cinta dengan nama akhirnya?
“Mustahil.” Qalam memang tidak percaya. Alisa bijak membuat lawak. Kali ini mesti dia berlawak lagi.
“Saya serius. Saya sebelah dia sejak petang tadi lagi. Awak jangan lupa yang kami berdua ni macam adik-beradik.”
Qalam senyap. Mula menjeling ke belakang. Memerhati Cinta yang duduk keseorangan di tempat lepaknya seperti sebelum ini. Mustahil dia perhatikan aku. Apa faedahnya?
“Dia... emm... dia tu memang suka sorang-sorang ke?” berani pula Qalam menyoal.
“Memang dia macam tu. Dulu pendiam jugak tapi macam biasalah. Cuma sekarang ni kritikal sikit. Dia tak akan mau tegur orang kecuali benda penting.”
“Kenapa dia jadi macam tu?”
Alisa hanya tersenyum. “Tanya tuan punya badan sendiri.”
Qalam senyap. Apa lagi dia mahu katakan jika Alisa sudah berkata nekad sedemikian. Dia tidak suka memaksa orang yang tidak mahu membuka cerita.
“Memang korang geng berenam ke?” Qalam menyial lagi.
“Ya. Macam pelikkan. Tiga lelaki, tiga perempuan. Boleh pulak jadi satu geng. Tapi, mungkin inilah yang dinamakan takdir.”
“Saya tengok macam adik-beradik. Adik-beradik pun tak seakrab korang semua.”
“Mestilah.” Dengan senyuman, Alisa mengatur katanya. Memang bersetuju dengan Qalam.
Qalam tersenyum.
“Awak memang rapat dengan Alyah?”
Alisa memandang Qalam. Bila Qalam memandang padanya, dia segera memandang ke hadapan. Melihat kesungguhan Qalam menyoal, nampaknya seperti dia sedang mengorek cerita. Kebanyakannya bersoalkan tentang Cinta. Dia suka Cinta? Tapi kenapa?
“Saya kenal dia start form two. Semester kedua dia naik kelas ke kelas saya. Kami duduk bersebelahan. Kebetulan saya tinggal tak jauh dari sini. Jadi, bila ada masa lapang saya lawat dia. tak sangka kami jadi rapat.”
“Dia memang suka duduk kat situ ke sambil tulis sesuatu kat buku?”
“Memang tu tempat dia lepak sejak dulu. Tempat istimewa baginya. Dia memang suka menulis. Macam-macam dia tulis. Selalunya sajak, cerita...  entahlah. Saya pun tidak pasti jugak sebab saya tidak pernah lagi baca.”
“Tempat ni memang tempat korang lepak ke?”
“Emm... yup. Kami lepak di sinilah kalau Papa Aliff ada kerja luar. Dia tak bagi kami berkumpul di sini terutamanya malam. Tau-taulah Papa Aliff tu disiplin sikit. Tapi kami ada bilik lepak. Bilik jamming dalam rumah Aliff tu. Kami selalu di sana.”
“Ohh... tapi tak pernah pun nampak korang lepak kat sana sekarang.”
“Entahlah macam mana nak cakap. Mungkin kami tidak akan lepak sana lagi.”
“Sebab?”
Alisa hanya tersenyum. Tiada tanda-tanda dia mahu menjawab soalan. Qalam diam. Dia terpaksa akur. Lisa tidak mahu membuka cerita. Mungkin mereka ada sebab tertentu. Oleh sebab Qalam tidak mahu memanjangkan cerita, maka dia berhenti menyoal hal itu. Rasanya tidak perlu dipanjangkan.
 “Alyah... dia dah ada... ada...”
Boyfriend?” cepat Alisa menyambung. Dia tahu lidah Qalam tersekat dan sukar mahu menyebutnya. Mungkin dia malu.
Qalam tersengih.
“Ada.”
Qalam senyap. Nafasnya seakan-akan mahu berhenti.
“Dulu. Tapi sekarang dah berpisah. Kenapa tanya?”
Qalam diam. Memandang ke hadapan semula. Tidak disedari, bibirnya tersenyum bahagia.
“Awak suka dia?”
“Hah?!” Qalam ralat. Sekali lagi terjerat dengan tindakannya sendiri.
“Lam!!!”
Mereka senyap. Segera memandang belakang serentak. Ryan berteriak kuat memanggil nama Qalam.
“Sini kejap. Cepatlah!!”
Qalam memandang Alisa di sebelahnya. Pandangan yang membawa makna meminta diri untuk perg. Alisa hanya diam. Memerhatikan pandangan Qalam yang sudah berjaya mengganggu mindanya.
“Saya kena pergi sana. Kalau tak, melalaklah Ryan malam-malam ni.”
Alisa tersenyum. Pandai juga Qalam berlawak.
“Okey.”
“Jangan cakap kat siapa-siapa tentang apa yang kita bualkan.”
Alisa tersenyum lalu mengangguk. Qalam mula mengangkat punggung dan berdiri lalu mengatur langkah pergi dari situ. Alisa menjadi senyap. Memerhati penuh Qalam yang sudah berlalu. Kenapa lelaki itu muncul? Dia mula mengganggu fikiran Alisa.
Dia suka Cinta? Tapi kenapa boleh terjadi? Alisa bingung. Dia mula menjeling ke belakang. Memandang Cinta yang duduk menulis sesuatu di bukunya. Cinta sering kali memandang pada Qalam. Qalam pula menunjukkan tingkah laku sama dengan Cinta. Dia perasan lelaki itu asyik memandang pada Cinta sejak pertama kali dia melihat Cinta dan Qalam bertemu.
Mereka suka sama suka? Tapi kenapa? Benarkah Qalam suka Cinta? Kenapa boleh jadi perkara seperti ini? Benda seperti ini tidak boleh berlaku antara mereka berdua.
Ada apa sebenarnya dengan Cinta?
Qalam menghampiri Ryan yang memanggilnya sebentar tadi. Ryan ada bersama Hardi, Aliff, Leby dan Basyirah.  Apabila dia tiba, semua orang melihatnya dengan pandangan yang sama.
“Kenapa?” Qalam mengambil tindakan menyoal. Dia segan dipandang oleh semua orang.
“Duduk dulu.” Ryan mengajak duduk di sebelahnya.
Qalam menurut sahaja. Menghirup udara malam betul-betul di hadapan laut memang indah seindah saat sekarang. Lebih istimewa apabila mereka hanya duduk di atas pasir tanpa sebarang pelapik.
“Lam, diorang tak caya yang kau dah tunang dengan Basyirah.” Ryan membuka cerita.
Qalam tergamam sebentar. Melihat Ryan yang membuka topik. Dia kemudian mengalihkan pandangan pada Basyirah. Gadis itu kelihatan tersenyum simpul. Aliff di sebelahnya tersenyum sumbing. Hanya Leby dan Hardi yang memerhati penuh mahukan jawapan daripada mulutnya. Permainan apa yang mula dibuat oleh Ryan malam ini?
Qalam mula mengukir senyuman singkat. Tidak mengiyakan atau menidakkan ayat Ryan.
Basyirah tersenyum. Puas. Sudah beberapa hari dia makan hati dengan perangai Qalam. Senyuman dari Qalam sudah berjaya membuatkan dia tersenyum semula walaupun dia tahu Qalam terpaksa. Apa yang dia puas, biar semua orang tahu Qalam sudah ‘terikat’ dengannya.
Ryan juga puas. Dia nekad. Selama ini dia menurut kata Qalam tanpa sebarang bantahan. Sekarang, dia mahu mempertahankan perasaannya. Dia tidak boleh kalah dengan Qalam dan kini dia tahu bagaimana caranya. Apa yang penting baginya sekarang, Qalam akan tetap bersama Basyirah dan dia akan cuba memenangi hati Cinta.
Aliff menarik nafas. Juga puas. Qalam boleh kalah mulai saat ini. Ini kelemahannya. Ikatan pertunangannya dan Basyirah. Selepas ini dia boleh jarakkan Cinta dengan lelaki itu. Cinta tidak boleh dekat dengannya!
“Kalau Qalam dah bertunang, macam mana dengan kau, Yan?” Hardi menyoal pula.
Ryan tersenyum malu. Ini peluangnya untuk bertindak.
“Tak tunanglah lagi.” Jawab Ryan malu-malu.
Girlfriend?” Leby segera menyoal.
“Tak ada.”
“Bohong...” Hardi menyangkal.
“Betul. Tapi, suka kat sorang dak perempuan tu. Tapi dia tak tahu pun.”
“Siapa?” Leby menyoal.
Qalam memerhati tajam Ryan dalam diam. Jiwanya panas dengan apa yang dilakukan oleh Ryan. Dia sudah mengagak apa permainan Ryan malam ini.
“Yang duk kat belakang tu.”
Leby dan Hardi membesarkan mata. Berpandangan sesama sendiri.
“Cinta?” mereka menyoal serentak.
Ryan mengangguk perlahan. Malu-malu.
What?”
Semua tersentak bila mendengar suara Alisa. Dia yang datang tiba-tiba mula dipandang.
“Awak suka Cinta?” Lisa segera menyoal.
Ryan mengangguk padanya. Leby dan Hardi saling berpandangan semula. Kemudian serentak memandang Aliff pula. Alisa juga sama.
Qalam menggenggam pasir di tangan kanannya. Kepulan penumpuknya erat digenggam. Dia benar-benar marah dan ingin membelasah Ryan saat itu juga. Dia terkena malam ini. Permainan Ryan berjaya menyemarakkan api kemarahannya. Dia kalah pada Ryan.
Basyirah memerhatikan kemarahan Qalam. Dia tetap tersenyum. Permainan Ryan malam ni memang bagus. Dia boleh tabik dengan Ryan selepas ini kerana sudah pandai bertindak berani.
“Liff...” Hardi memanggil Aliff. Dia yang masih terpeanjat dengan pengakuan Ryan.
Aliff memberi isyarat senyap dan tidak bertindak apa-apa pada Hardi. Hardi terpaksa diam. Aliff kemudiannya melihat pada Alisa. Alisa kelihatn diam. Mungkin tidak berpuas hati. Dia kemudiannya memandang pada Cinta yang ada duduk berseorangan.
Ada apa dengan Cinta sebenarnya?

Sunday 16 June 2013

Mencintai Cinta - Bab 12

Bab 12

MEJA makan sudah dipenuhi dengan lauk pauk. Tiga orang tukang masak sudah beredar ke dapur selesai menghidangkan semua makanan. Qalam, Ryan, Basyirah, Cinta dan Mama Aliff sudah duduk di meja makan.
“Selamat pagi.”
Semua orang memerhatikan seorang lelaki yang baru menyapa. Umurnya lingkungan akhir 40-an. Serius sahaja mukanya di pagi ini. Ryan, Qalam dan Basyirah mengunci mulut. Siapa pula lelaki ini? Kelmarin tidak pula ketemu.
Good morning, Papa...”
Qalam memerhati penuh gadis di hadapannya itu. Tidak pernah melihat Cinta tersenyum lebar selebar pagi ini. Manis sangat. Cukup sejuk hatinya mendengar nada suaranya yang manja. Tidak pernah melihat gadis itu berkelakuan sedemikian rupa. Selama ini dia hanya melihatnya senyap dan bercakap tenang dengan nada yang mendatar. Papa? Rupanya inilah ayah mereka. Patutlah kelakuannya sedemikian rupa. Pelik juga. Bertemu dengan Mamanya dia tidak pula berkelakuan sebegitu. Memang pelik! Mesti anak manja Papanya!
Good morning, my princess!”
Qalam tersenyum. Patutlah. Memang sah dia anak manja Papanya!
“Jadi inilah kawan-kawan Aliff?”
Mereka bertiga terdiam. Nada Papa Cinta tegas. Ryan menelan air liur. Agak menakutkan juga. Basyirah pula tunduk. Dia memang pantang berjumpa dengan orang yang tegas. Hanya kelihatan Qalam sahaja yang selamba.
“Ni Ryan dan Qalam. Yang ni Basyirah, tunang Qalam.” Cinta bersuara memperkenalkan kawan-kawannya. Kawan-kawannya? Dia tidak rasa begitu kerana dia tidak pernah bergaul dengan mereka kecuali hal berkaitan dengan tugasan kumpulan. Itupun hanya satu tugasan sahaja mereka sekumpulan.
“Tunang? Student UUM jugaklah ni?” Ariyanshah menyoal lagi. 
Qalam memandang Cinta yang mengangguk. Terpaksa dia tersenyum tawar kepada Papa Cinta dan segera berjabat tangan sebagai tanda pertemuan. Kelakuannya kemudiannya diikuti oleh Ryan. Sesudah itu, Qalam memandang Cinta semula. Nampaknya, gadis itu sudah mula mengikat pandangannya.
Ariyanshah memandang jam di tangannya. Semua orang yang ada di meja makan dipandang. Sudah pukul 7.40 pagi. Dia kemudian duduk di tempat duduknya. Qalam diperhatikannya penuh. Ini kawan anaknya? Dia merasakan sesuatu. Seperti pernah bertemu dengannya sebelum ini tapi dia lupa. Di mana mereka pernah bertemu? Dia was-was.
Ryan diam memerhati. Pandangannya terpaut pada wajah manis Cinta pagi ini. Dia tersenyum lebar tidak seperti sebelum ini. Hatinya semakin terpaut. Cukup manis! Pandangannya mula lari memandang semua orang. Semuanya senyap dan yang paling menakutkan Papa Cinta yang garang seperti singa itu. Walaupun dia menegur secara ramah tetapi mendengar suaranya, dia yakin Papa Cinta seorang yang tegas. Persis seorang askar.
Meja makan yang luas kelihatan agak senyap. Berada di meja makan sahaja persis santapan di-raja. Panjang dan luas. Masing-masing berjauhan walaupun duduk bersebelahan.
“Assalamualaikum. Sorry lambat. Good morning Ma... good morning Pa... sorry i’m late,” Aliff yang tergesa-gesa kelihatan kelam kabut. Dia menyalam tangan Mamanya. Dia sempat menelan air liurnya apabila memandang muka Papanya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa ke arah Papanya.
Aliff berdiri di sisi kanan Papanya yang sudah duduk di kerusi. Berdiri kemas dan senyap. Kawan-kawannya yang lain memerhati. Kecut juga dirasakan. Melihat Papa Aliff senyap, mereka semakin kecut perut.
Cinta kelihatan senyap. Dia seperti sudah biasa dengan keadaan ini.
“Sekarang sudah pukul berapa?”
Aliff menelan air liur.
“7.46 pagi.” Jawabnya perlahan selepas memandang jam tangannya.
“Aliff tahu waktu sarapan mula pukul berapakan?”
“7.45 pagi.”
“Waktu berada di meja makan?”
“7.30 pagi dan selewat-lewatnya pukul 7.40 pagi.”
“Malam semalam Aliff pergi mana? Papa sampai ke rumah dari Bandung  pukul 1 pagi. Papa tidak nampak kereta Aliff dalam garaj. Aliff pergi mana?”
Aliff menelan air liurnya. Apa yang perlu dijawabnya kali ini? Dia buntu dan otaknya seakan-akan tidak berfungsi. Dia paling lemah bab ini. Apa yang paling dikesalinya, dia tidak tahu Papanya akan pulang mengejut malam semalam.
“Mama called Papa bagitau Aliff balik. Bawa kawan-kawan Aliff. Jadi Papa pulang awal. Aliff terkejut ya?”
Aliff terdiam. Papanya dapat membaca fikirannya pula kali ini. Habislah aku! Desisnya.
“Aliff... Aliff pergi rumah Hardi. Lama tidak jumpa dia. Lepak-lepak sambil tengok TV. Tidak sedar sudah lewat malam.”
Cinta melihat Aliff. Dia menipu. Cinta tahu. Dia terdengar Aliff bercakap di telefon malam tadi dengan Hardi. Mereka keluar pergi lumba kereta.
“Abang Aliff cakap betul, Pa.”
Aliff memandang Cinta. Begitu juga dengan semua orang. Dia yang berani mencelah tiba-tiba mengejutkan semua orang.
“Ta dengar abang cakap telefon dengan Hardi petang kelmarin. Hardi buat kenduri semalam. Lepas tu dorang mahu lepak sama-sama sebab lama tidak berjumpa.” Cinta semakin rancak mencelah.
Aliff terdiam. Cinta sering kali muncul di saat-saat sulit seperti ini. Dari dulu sampai sekarang.
“Betul?” Ariyanshah menyoal Aliff. Aliff mengangguk lemah. “Hari ini, esok dan lusa, Aliff tidak boleh keluar rumah.”
“Tapi Pa... Aliff kan baru balik...” ayat Aliff mati di situ sahaja. Mahu dipanjangkan lagi tapi terbantut pandangan mata Papanya yang tajam.
“Hari ni bawa kawan-kawan tu pergi bersiar-siar. Ingat jangan sesekali keluar berjumpa orang lain. Pak Man akan awasi Aliff hari ni. Papa akan ambil kunci kereta Aliff. Faham?!”
“Hah..? emm... Aliff faham...” dengan penuh keberatan, Aliff menjawab.
“Aliff tau Papa tak suka ditipu bukan? Dan Aliff cukup faham Papa nak anak-anak Papa berdisiplin. Dan jangan buat muka protes lagi. Pergi duduk dan kita bersarapan. Dah lambat.”
Aliff mengatur langkah ke kerusinya. Qalam di sebelahnya diam. Ryan mula kecut perut. Basyirah juga sama. Hanya Cinta sahaja yang diam seperti biasa.
*****************************************************************************
ALIFF memandang kawan-kawannya. Dia bingung. Otaknya buntu selepas dikenakan hukuman selama tiga hari oleh Papanya pagi tadi. Pak Man yang sejak pagi tadi mengawasinya mula merimaskan. Dia paling pantang dikawal ketat.
Basyirah, Qalam dan Ryan masing-masing memandang sekeliling. Langkah Aliff di hadapan masih lagi dibuntuti. Entah ke mana pula mereka dibawa kali ini. Rumah Aliff sungguh besar dan luas. Lelaki itu sedang membawa mereka menyusuri setiap pelosok yang ada di rumahnya. Ingin semua orang tahu agar tidak sesat untuk seminggu ini.
Mata Qalam mula tertarik dengan sesuatu yang tergantung di dinding. Dia baru perasan ada gambar keluarga Aliff di situ. Memang iras sungguh Aliff dengan Mamanya. Melihat muka Cinta, dia tersenyum. Ada mirip dengan Papanya. Kewujudan seorang lagi wanita cantik lingkungan Mama Aliff berposisikan di sebelah Cinta menimbulkan tanda tanya. Matanya iras dengan Cinta. Tapi siapa dia? Qalam bingung. Dua wanita di situ. Ini bermaksud, Papa Aliff kahwin dua? Qalam bingung. Kalau benar, Cinta dan Aliff adalah adik beradik tiri!
“Masuklah. Inilah tempat aku lepak.”
Qalam tersentak. Dia segera melangkah. Dia kemudiannya memandang Aliff. Pelawaan lelaki itu diterima. Mereka masuk ke dalam sebuah bilik yang terletak di tingkat paling atas rumah banglo yang mereka diami untuk cuti kali ini.
“Boleh tahan, Liff!” Ryan bersuara. Seperti biasa, dia memang kaki memuji sesuatu yang cantik pada pandangan matanya.
“Kalau aku tak keluar rumah, hanya tempat ni aku lepak.” Ujar Aliff lagi.
“Mesti kau bawa geng sekali kat sinikan?” Ryan menyoal pula.
“Hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh masuk dalam bilik ni. Orang gaji sendiripun aku tidak benarkan masuk. Kecuali Pak Man.”
“Mesti tempat ni special...”
Aliff mengangguk perlahan dengan kata-kata Ryan.
“Kalau begitu, kami ni antara orang yang speciallah ni.”
Aliff hanya tersenyum sedikit di bibirnya.
“Korang geng ada berapa orang sebenarnya?” Basyirah tiba-tiba bersuara. Di hadapannya betul-betul bingkai gambar Aliff bersama kawan-kawannya termasuk Cinta. Bingkai gambar yang terletak di atas meja itu menarik perhatiannya.
“Semuanya enam orang.”
“Termasuk Cinta?”
Aliff hanya mengangguk. Basyirah memandang tajam gambar di hadapannya. Pandangannya perlahan lari ke arah tunangnya, Qalam. Dia memandang kea rah gambar itu semula. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dia lihat sekarang. Qalam dipandang untuk kesekian kalinya. Tunangnya itu seakan-akan hilang mood dan bertindak berdiam diri. Sejak mereka sampai, Qalam banyak berdiam diri. Dengan Ryan sekali pun dia kurang bercakap.
“Memang Cinta tak pakai tudung sebelum ni?” soalan Basyirah kali ini mula manarik perhatian Qalam dan Ryan. Masing-masing memandangnya.
“Gambar tu time kami lower six. Dia memang free hair dulu. Upper six baru dia pakai tudung. Biasalah, jiwanya remaja. Bila sedar dia dewasa sikit, dia sedar dia ada tanggungjawab sebagai muslim. Lagipun dunia remaja di Sabah ni banyak dugaannya kerana ramai etnik berlainan agama. Pengaruh agama lain kuat. Budaya tidak pakai tudung tu biasa bagi kami.”
Ryan yang tadinya sibuk mengacau gitar mula ke arah Basyirah. Mahu melihat muka Cinta seperti mana yang diperkatakan Basyirah tadi.
“Comel. Macam budak Jepun.” Ryan memuji. Melihat gaya rambut Cinta dulu dipotong seperti artis Jepun, mukanya kelihatan seperti anak Jepun.
Qalam hanya menjeling dari jauh. Memang benar apa yang Ryan katakan. Sekarang, dia berubah dan apa yang ada pada Cinta sekarang lebih menarik perhatiannya. Dia lebih suka Cinta yang sekarang. Ayu dengan tudung selendang di kepalanya.
“Korang jamming kat sini ke?” Ryan pula menyoal. Alat muzik kelengkapan dan semua kelengkapan ada di situ. Mesti Aliff dan gengnya selalu buat ‘konsert’ kat bilik ini.
Release tension di sinilah. Rasa bosan sikit, kami menyanyilah di sini. Nyanyi ramai-ramai sampai suara habis rosak. Lagipun bilik ni dicipta khas serap bunyi. Nyanyi sekuat hatipun tiada siapa yang akan dengar.”
“Wah, seronoklah kalau macam tu. Aku nak nyanyi boleh?”
“Boleh. Tapi bukan hari nilah. Aku baru dapat tau microphone rosak. Aku rasa mic tu sudah lama tak ditukar. Lagipun bilik ni dah hampir setahun tak da orang masuk.”
“Hampir setahun? Kenapa?”
Aliff memandang Ryan. Dia malas mahu mengungkit apa cerita lama. “Kau ni banyak tanyalah. Kami semua ada hal masing-masing. Semua sibuk urus diri sendiri masuk U. Kau fahamkan jugak.”
“Takkanlah kot. Aku tengok kamu satu geng macam rapat sangat. Macam adik-beradik dah. Takkan hal kecik macam tu boleh halang kamu lepak kat sini lagi.” Ryan kelihatan seperti bingung. Jawapan Aliff padanya kurang memuaskan.
Aliff diam. Ryan dianggapnya mula berceloteh walaupun dia sedar lelaki itu mahu mengorek cerita. Mata Aliff mula dikalihkan ke arah Qalam. Dari tadi Qalam tidak bersuara. Dia seakan-akan tidak wujud di situ. Sibuk dengan diri sendiri dan cuma memerhatikan bilik tempat mereka berada kini. Dia seakan-akan tiada perasaan tentang apa yang ada di hadapannya.
“Liff, aku nak tanya sikit boleh?” Ryan kembali bersuara menyoal.
“Dari tadi lagi kau menanya. Aku nak halangpun tak boleh. Tanyalah.”
“Kenapa dinding kat sini separuhnya kena tutup pakai kain? Memang fashion bilik ni ke atau ada sesuatu di sebalik kain?”
Deringan telefon Qalam tiba-tiba mengejut semua orang. Soalan Ryan kepada Aliff mula tergendala jawapannya.
Sorry. Emm... aku keluar dulu Liff. Aku nak jawab panggilan.” Qalam bersuara akhirnya. Melihat Aliff mengangguk faham dengan situasinya, dia mula keluar dari bilik itu.
Keadaan mula senyap. Basyirah masih memerhatikan gambar yang ada di hadapannya. Dia mengamati sedalam-dalam wajah yang ada dalam bingkai itu. Ada enam orang semuanya. Ryan pula mula masih rasa musykil dengan keadaan dinding yang dilapik dengan kain putih itu. Nalurinya kuat mengatakan ada sesautu di sebalik itu. ‘Sesuatu’ itulah yang akan membongkarkan cerita di sebalik kisah Aliff dan gengnya.
“Liff, kau tak jawab soalan aku lagi...” Ryan bersuara lagi. Mahu mendapatkan jawapan pada soalan yang diberikan.
Pintu tiba-tiba diketuk. Nampak gayanya jawapan pada soalan Ryan akan tertangguh sekali lagi. Beberapa saat kemudiannya pintu terbuka dan kelibat Pak Man muncul.
“Cik Lisa datang...”
Aliff memandang tepat pada Pak Man. Dia terperanjat dengan berita yang disampaikan sebentar tadi.
“Hai Liff..!”
Belum sempat Aliff berkata apa-apa, kelibat seorang perempuan tiba-tiba muncul dari belakang Pak Man. Sudah beberapa bulan tidak bertemu akhirnya mereka bertemu empat mata di tempat itu.
Basyirah memerhati penuh wajah yang baru dilihatnya itu. Kemudian dia melihat pada bingkai gambar di hadapan matanya. Wajah itu ada dalam senarai mereka berenam.
“Lisa... bila sampai?”
Pak Man mula mengundurkan langkah keluar dari tempat itu. Meninggalkan mereka berempat. Lisa pula mengatur langkahnya masuk. Mula mendekati Aliff sambil memerhatikan dua orang yang tidak dikenalinya di situ.
Ryan memerhati penuh wajah perempuan yang baru masuk itu. Mata perempuan itu menarik perhatiannya. Dia bingung. Sama seperti seseorang yang amat dikenalinya. Dia amat pasti dengan apa yang dia lihat dan apa yang dia rasa.
“Sampai kelmarin lagi. Tapi Lisa duduk di rumah. Rest. Penat.”
Aliff diam sahaja mendengar apa yang diterangkan oleh Lisa. Gadis itu sudah berdiri di hadapannya. Senyuman yang tidak pernah lekang di bibir menambahkan lagi kemanisan di wajahnya. Rambutnya yang panjang tidak diikat itu kelihatan kemas seperti biasa dengan potongan layer. Dia nampak lebih matang dengan gayanya kini berbanding beberapa bulan yang lalu.
“Hah, biar Aliff kenalkan. Ni Lisa. Lisa, ni pulak kawan-kawan Aliff dari UUM. Basyirah, Ryan. Ada seorang lagi tapi dia keluar jap.”
“Hai... saya Alisa. Panggil jak Lisa.”
Basyirah senyum. Ryan juga sama. Melihat telatah ceria Lisa, mereka sudah mengagak gadis itu memang seorang yang periang.
“Ta Mana? Lisa tidak nampak dia pun...” cepat sekali Lisa mengatur kata-katanya. Pelat bahasa Tawau di mulutnya sangat jelas kedengaran. Sama macam Aliff pada mulanya mereka berkenalan.
“Aliff pun tak nampak dia lepas sarapan pagi tadi. Mungkin dia ada di tempat biasanya.” Ujar Aliff.
“Dia okey? sakit lagi?”
“Sekarang okey sikit. Kadang-kadang tu merisaukan jugak.”
“Lisa datang sini pun mau jumpa dengan dia sebenarnya. Rindu sangat-sangat dengan dia. Nanti Lisa jumpa Aliff lagi ya. Emm.. guys, I’m so sorry. I have to go now. Nanti Lisa jumpa kamu lagi. Okey?”
Basyirah dan Ryan hanya diam memerhatikan gelagat gadis yang baru dikenali mereka itu. dia pergi begitu sahaja dengan tindakan yang cepat. Sesi perkenalan yang singkat berakhir begitu sahaja tanpa sempat membentuk sebarang perbualan.
Sorry. Lisa memang berperangai macam tu. Lepas dia jumpa Cinta nanti, dia datanglah sini balik. Percayalah.” Aliff segera menerangkan keadaan. Dia yang masak dengan perangai Lisa kelihatan mahu meleraikan perasaan yang sedang dialami Ryan dan Basyirah di sesi perkenalan pertama itu.
“Dialah salah sorang geng kau, Liff?” Ryan menyoal. Dia perasan muka Lisa ada dalam senarai dalam bingkai gambar yang dari tadinya Basyirah tenung.
“Ya. Dia ada kembar. Geng aku jugak.”
“Hah?” Ryan terperanjat. Basyirah segera memalingkan pandangannya ke bingkai gambar itu semula. Mencari siapa gerangan yang dimaksudkan.
Aliff mengatur langkahnya. Menghadap bingkai gambar di atas meja. Gambar yang bersaiz 8R besarnya itu diamati dengan penuh perasaan. Melihat satu persatu gengnya yang sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri. Merindui saat-saat bersama seperti dahulu. Berenam di saat suka dan duka.
“Kembarnya yang ini. Namanya Aliff jugak.”
“Hah, nama korang sama?” Basyirah pula yang menyoal kali ini.
“Akukan Mohammad Aliff. Dia Aliff Hamdie.”
“Wah, memang takdir. Bolehnya kau ada kawan yang punya nama sama. Satu geng pulak tu.”
Aliff tersenyum. Memerhatikan penuh ke arah wajah sahabatnya, Aliff Hamdie yang berada di dalam bingkai gambar. Sudah lama berpisah. Dia merindui sahabatnya itu.
******************************************************************
“TOLONG uruskan semuanya. Okey. Ada apa-apa yang penting, telefon je. Okey, Assalamualaikum..” Qalam menutup telefonnya sebaik sahaja dia mendengar salamnya dibalas di hujung talian. Dia kelihatan berfikir sejenak. Kemudiannya menghembuskan nafas perlahan. Dia letih dengan perkara yang tidak selesai diurusnya.
Matanya mula terfokus pada bingkai gambar yang berada tidak jauh dari hadapannya. Kakinya segera mengatur langkah. Gambar keluarga yang bersaiz besar itu membuatkan dia tersenyum. Muka Cinta tanpa tudung di kepalanya melahirkan perasan gundahnya. Memang comel. Dia yang berdiri di belakang seorang wanita yang seiras dengan wajahnya itu kelihatan tersenyum manis dan bahagia. Aliff yang berdiri di sebelahnya memegang mesra bahu Mamanya. Memang dia anak manja walaupun dia lelaki.
Kenapa ada dua orang wanita di sisi Papa Aliff? Itu yang melahirkan rasa pelik pada Qalam. Dari tadi lagi dia cuba membuat andaian. Wanita di sebalah kanan mirip mukanya dengan Cinta. Sebelah kiri pula mesra dengan Aliff. Wanita itulah yang dijumpainya di rumah banglo ini. Dia Mama Aliff. Jelas muka mereka seiras.
Qalam memerhati penuh. Muka Aliff dan Cinta memang ada iras. Tapi kenapa muka Cinta cenderung sama dengan wanita yang di sebelah kanan dan Aliff pula yang di sebelah kiri?
Papanya kahwin dua? Itu yang bermain di fikirannya sekarang. Kalau ya, Cinta dan Aliff adalah adik-beradik tiri!
Qalam mula tersenyum apabila pandangannya lari pula ke tingkap. Dia melihat Cinta berada di tempat yang sama seperti yang dilihatnya kelmarin. Duduk di atas batu sambil memegang sesuatu di tangannya. Memerhatikan laut yang terbentang luas di hadapan.
Qalam mula mengatur langkah. Dia tidak tahu kenapa hatinya memberontak mahu turun ke bawah. Mahu mendekati gadis yang mula lekat di mindanya. Sampai dia di bawah, langkahnya terhenti. Tidak berniat mahu mengatur langkah terus ke hadapan gadis itu. Dia tidak mahu mengganggu konsentrasi Cinta yang sibuk mencatatkan sesuatu di bukunya.
Kenapa aku boleh tertarik dengan Cinta? Ada apa dengannya sampai aku boleh sisihkan Ira dari fikiranku dengan mudah. Qalam bermonolog sendiri.
************************************************************************
LISA mengatur langkah. Dia baru mendapat pengesahan tentang lokasi Cinta kini dari Kak Lina. Dia sudah mengagak Cinta berada di situ kerana tempat itulah yang selalu menemani Cinta dari dulu sehingga kini.
Langkah Lisa mula perlahan. Dia melihat seorang lelaki di hadapannya. Lelaki itu sibuk memerhatikan Cinta. Dia yang berada beberapa langkah di belakang lelaki itu mula terpaku. Beberapa kali matanya digosok. Dia benar-benar melihat ada lelaki di hadapannya. Bukan khayalan tapi benar.
Matanya semakin tidak percaya tatkala lelaki itu berpaling ke belakang lalu mengatur langkah mahu masuk ke dalam rumah kembali.  Apabila lelaki itu mula melintasi sebelah kanannya, Lisa membulatkan matanya tatkala dia mengukir senyuman.
Sebaik sahaja lelaki itu masuk ke rumah, fikiran Lisa mula dibayangi pelbagai bayangan. Ada sesuatu yang tidak enak dirasakannya. Otaknya benar-benar penuh dengan pelbagai bayangan. Dia memandang ke hadapan kembali. Cinta. Kenapa ada takdir sebegini di saat ini? Ini semua disebabkan bayangan itu atau ini satu kebenaran? Lisa bingung. Dia mula meyakinkan fikirannya sendiri. Apa yang dilihatnya sebentar tadi hanya bayangan.
“Ta...”
Cinta tersentak dari menulis. Pensil yang sudah lama bersamanya dilihat tidak bergerak. Dia terdiam sebentar. Mengamati suara yang baru memanggilnya dari belakang.
Lisa yang tersenyum simpul muncul di ruang pandangannya tatkala dia menoleh ke belakang. Memang benar sangkaannya. Suara tadi milik gadis itu.
“Ta...” Alisa memanggil lagi. Segera mengatur langkah dan memeluk tubuh Cinta tanpa mendengar apa-apa perkataan keluar dari mulut sahabatnya itu.
Cinta menitiskan air mata tanpa disedarinya. Tiada suara tangisan terkeluar. Air matanya keluar dengan sendiri. Dia diam tanpa kata.
“Lisa rindu dengan Ta. Lisa minta maaf... Lisa tidak berniat mau buat kita berpecah hanya kerana perasaan bodoh Lisa. Lisa baru sedar apa yang Lisa buat dulu melukakan semua orang terutamanya geng kita. Lisa sedar Lisa sayangkan semuanya terutamanya Ta. Lisa minta maaf...”
Air mata Cinta semakin deras. Dia hilang kata-kata mendengar apa yang diungkapkan Lisa kepadanya walaupun mereka masih dalam berpelukan.
“Ta tidak mau maafkan Lisa?” Lisa menanya sebaik sahaja dia melepaskan pelukan.
“Ta sayang Lisa sangat-sangat...” perlahan Cinta bersuara mengatur kata.
Lisa tersentak. Kata-kata Cinta padanya menyebabkan air matanya keluar sekelip mata. Agak mendalam menusuk jiwanya.
“Lisa sayangkan Ta jugak...” ucap Lisa dan memeluk tubuh Cinta semula. Air matanya semakin deras mengalir. Otaknya mula sarat. Ada bayangan muncul melahirkan senyuman ke arahnya. Lelaki itu, dari mana dia datang? Kenapa menghantui fikirannya semula?
Perlukah aku beritahu Cinta? Lisa bingung.
*************************************************************************
BASYIRAH memerhatikan Qalam yang kini menggantikan posisinya memerhati bingkai gambar Aliff bersama gengnya. Qalam yang baru masuk semula ke bilik itu dilihat sedang khusyuk memerhati. Wajah siapa yang sedang diperhatikannya, Basyirah tidak tahu. Apa yang dia mahukan, orang itu bukan Cinta.
“Yang mana satu tunang kau, Liff ?”
Semua orang tersentak dan memandang Qalam serentak termasuk Aliff. Aliff seakan-akan tidak percaya bahawa Qalam akan membuka mulut akan hal itu sekarang. Qalam bijak mencipta keadaan ini. Aliff sememangnya mahu membuka topik itu tetapi Qalam yang mendahuluinya.
“Memang salah seorang daripanya,” ujar Aliff. Dia tahu Qalam sedang memerhatikan tiga gadis yang ada dalam bingkai gambar di hadapannya.
“Kau dah tunang Liff? kau tak cerita dengan kami pun. Lam, dari mana kau tau Aliff dah tunang?” Ryan sudah mula menyoal lagi. Sekali dia bercakap, sampai tiga soalan yang dia lontarkan. Dia kelihatan terkejut. Bingung.
“Selama ni tiada siapa yang perasan aku pakai cincin pun. Tiada orang tanya akupun,” agak selamba Aliff menjawab. Terkena Ryan kali ini.
“Benda tu tak perlu nak tanyalah. Kan itu satu berita baik, jadi kau kena share dengan kami,” agak geram nadanya. Selama ini dia selalu jadi ‘paparazi’ tidak bertauliah antara mereka, tapi berita penting ini dia tidak tahu lagi. Apa yang menghairankan, Qalam tahu dahulu sebelum dia. Biasanya Qalam malas mahu mengetahui cerita orang lain.
Semua orang terdiam. Basyirah yang sudah mengetahui berita pertunangan Aliff sejak beberapa hari lalu hanya diam memerhatikan Qalam. Lelaki itu masih khusyuk memerhatikan bingkai gambar yang menjadi tumpuan hari ini.
“Bila kau tunang ni Liff? Kenapa kau tidak begitau aku ni? Selama ni kan aku selalu dengan kau..” Ryan mula menghala ke arah Aliff sambil mulutnya sibuk melontarkan banyak soalan. Dia kelihatan amat penasaran.
Qalam diam sahaja memerhatikan bingkai gambar di hadapannya. Perempuan itu sama dengan dalam gambar. Siapa dia? Diakah tunang Aliff selama ini? Kenapa aku rasa ada perasaan yang pelik tentangnya?
************************************************************************
ALIFF mengatur langkah paling hadapan antara Qalam, Basyirah dan Ryan. Matanya sibuk memerhatikan Lisa yang sedang rancang mengatur bicara bersama Cinta di atas tempat lepak Cinta. Sudah lama mereka tidak bertemu, pasti banyak yang Lisa mahu ceritakan. Sesuai dengan perangainya yang suka bercerita dan Cinta pula suka mendengar cerita.
  “Hai...Aliff taulah kamu sudah lama tidak berjumpa.” Aliff menyapa sekali gus menyedarkan Cinta dan Lisa akan kehadiran mereka.
Aliff memerhatikan Lisa. Lisa memegang erat tangan Cinta. Nampaknya keadaan mula kembali seperti dulu. Keadaan itu juga diperhatikan oleh Qalam. Perasaannya semakin gundah. Kenapa perempuan itu membuatkan dia berasa sesuatu? Seperti ada suara membisik di telinganya. Tapi suara itu tidak jelas. Kenapa benda ini berlaku semula?
“Liff... yang tu...?” Alisa menyoal perlahan. Dia baru terpandang lelaki yang dilihatnya di bawah tadi. Bukan bayangan semata-mata tapi memang lelaki itu wujud di hadapannya kini.
“Dia kawan Aliff yang Aliff cakap keluar tadi. Namanya Qalam.”
Lisa memandang Cinta. Anak mata Cinta yang sedang memandang padanya membawa seribu pengertian. Patutlah keadaan Cinta sedemikian rupa. Ini takdir berat baginya. Kemunculan Qalam membuatkan semuanya seakan-akan bermula semula.
Aliff memerhatikan Lisa. Dia pelik. Kenapa Lisa dan Cinta suka memandang Qalam dengan satu pandangan yang pelik? Pandangan yang tidak dapat ditafsirkan maknanya.
“Qalam. Selamat berkenalan,” Qalam menyapa. Senyuman diberikan. Alisa hanya membalas sesi itu dengan senyumannya walaupun dia bingung dengan apa yang sedang berlaku. Qalam memerhati penuh wajah perempuan yang baru dikenalinya. Siapa dia? Kenapa aku rasa ada perasaan pelik tatkala melihatnya?
“Nampaknya aku kena telefon Hardi dan Leby sekarang. Biar diorang datang ke sini sekali. Boleh kita semua berkumpul semula. Kita boleh lepak ramai-ramai kali ni sebab kawan-kawan Aliff pun ada jugak,” Aliff memberi cadangan pada Lisa.
“Hah, boleh jugak. Malam nilah kita lepak. Aku rasa diorang ada hal sekarang ni.”
Aliff hanya mengangguk. Dia tahu. Dia kemudiannya memandang Cinta. Qalam di sebelahnya dari tadi lagi memerhatikan gadis itu. Cinta yang senyap dari tadi kelihatan masih berkelakuan sama dan tiada tanda-tanda mahu bercakap walau sepatah perkataanpun.
Kenapa ramai yang tertarik dengan Cinta? Ada apa dengannya? Basyirah pula bermonolog dengan diri sendiri.




Mencintai Cinta - Bab 11

Bab 11


CUTI pertengahan semester akhirnya bermula.  Stesen bas Changlun mula dibanjiri pelajar UUM yang ingin balik ke kampung. Tidak kira di mana asal mereka, semua berebut mahu pulang walaupun cuti hanya seminggu. Kerinduan dengan kampung halaman yang menebal mungkin menjadi penyebab terutamanya pelajar-pelajar semester satu yang baru merasakan mereka berada jauh dari keluarga.
“Semua sudah siap?” Aliff menyoal semua kawan-kawannya.
Sorry... sorry lambat...”
Semua orang memandang ke arah Cinta yang baru muncul. Dia yang ditemani Suhana dan Nizam kelihatan tercungap-cungap akibat kelam kabut kerana lambat sambil membawa barang yang banyak dibantu oleh Suhana dan Nizam.
“Biar abang tolong...” Aliff segera menghampiri Cinta. Beg yang berada di tangan Cinta segera diambil.
Qalam mengalihkan pandangannya ke arah lain. Mula rasa meluat dengan perangai Aliff sedemikian rupa. Basyirah dan Ryan di sebelahnya mula perasan dengan responnya. Masing-masing membatukan diri walaupun memandang fenomena yang tidak seronok di pagi ini.
“Okey semua dah siap. Sekarang sudah pukul 8.30 pagi. Baik kita bertolak ke airport sekarang sebab kita perlu check-in. Jom!” umum Aliff kepada semua orang.
“Jom!” Ryan sahaja yang bersuara menyambut ayat Aliff. Menyedari situasi melucukan itu, Suhana dan Nizam tergelak tetapi yang lain masih diam tiada respon.
“Teksi kita dah sampai Ta. Abang sudah simpan bagasi Ta dalam teksi. Biar abang bawakan barang Ta.” Aliff menawarkan dirinya kepada Cinta. Cinta tersenyum. Dia sudah biasa dilayan sedemikian rupa oleh Aliff. “Jom..!” ujar Aliff sambil mengangkat beg Cinta sambil memaut tangan Cinta.
Cinta tersentak. Dia terpaksa mengikut rentak langkah Aliff kerana tangannya ditarik lelaki itu. Dia sempat terpandangan Qalam yang senyap, Ryan yang terparanjat dan Basyirah yang buat tidak nampak. Suhana dan Nizam hanya mampu terdiam.
Qalam menarik begnya dengan perasaan marah. Dia kalah lagi saat ini. Tidak pernah dia diperlakukan sedemikian rupa. Egonya benar-benar dicabar oleh Aliff namun dia terpaksa menahannya di depan semua orang terutamanya Cinta. Apa yang pasti, dia mahu tahu permainan apa yang cuba dimainkan oleh Aliff kini kepadanya. Sebelum ini lelaki itu baik sahaja padanya tetapi bila dia berbaik dengan adiknya, semua jadi berubah sekelip mata. Pelik betul dan inilah pertama kali orang buat dia tercabar sebegini rupa.
“Kau bawa kereta ke airport? Kau nak simpan mana kereta tu nanti?” Nizam menyoal Qalam yang sedang membuka bonet belakang kereta untuk menyimpan barang-barangnya.
“Aku dah suruh orang ambil,” dengan nada malas, Qalam menjawab.
“Siapa?”
“Jangan banyak tanya boleh tak?”
Nizam terdiam. Ryan di sebelahnya membei isyarat supaya berhenti menyoal. Nizam faham. Dia turut masak dengan perangai Qalam yang suka ikut kepala anginnya.
“Baik-baik bila kat Sabah ya. Ada apa-apa, call aku okey?”
Qalam yang sudah membuka pintu kereta sempat melihat Suhana berpelukan dengan Cinta. Cinta dilihat tersenyum manis.
“Kau pun sama. Balik Perak hati-hati naik bas tu. Nizam, tengok-tengokkan Su ya,” sempat lagi Cinta membuat usikan pada Suhana. Nizam tersenyum sambil mengenyitkan anak mata kirinya. Suhana mula menjadi malu.
“Jaga kesihatan tau.” Suhana masih sempat menasihati Cinta.
“Kalau sampai di Sabah nanti, Ta akan sentiasa sihat kerana Papa kitorang tu paling pantang bila dia tidak makan ubat.” Aliff menyampuk. Dia sengaja kenakannya di hadapan Suhana. Cinta mula geram. Suhana tersenyum. Cinta terkena.
Qalam yang sudah membuka pintu keretanya masih terpacak di tepi kereta memerhatikan Cinta. Basyirah dan Ryan yang sudah lama masuk ke dalam kereta hanya terdiam menunggu. Ryan mula risau akan Basyirah yang menahan hati dengan perangai Qalam. Qalam mula menunjukkan belangnya. Dia mula menjauhi Basyirah dan Ryan. Ryan mula menyimpan dendam Qalam berperangai pelik kerana Cinta, gadis yang sudah menjerat hatinya. Apa yang paling dia tidak mahu percaya, mengapa harus Qalam yang bertindak dan memulakan semua babak yang menyakitkan hati ini? Kenapa bukan orang lain? Kenapa mesti kawan baiknya sendiri yang sudah dianggap seperti saudara kandung sendiri?
“Dah lewat ni. Takut hang ketinggalan kapal terbang pula.” Su melihat jam tangannya.
Cinta tersenyum. “Aku pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Bye!”
Dengan senyuman, Cinta masuk ke dalam teksi diikuti oleh Aliff.  Qalam yang masih memerhati mula panas. Dengan perasaan marah, dia masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan lalu menekan minyak dengan kuat. Dia marah. Liff, nampaknya kau buat permainan yang salah. Bukan aku orangnya. Dia berdesis di dalam hati.

************************************************************************

CINTA menarik nafasnya. Udara segar Tawau akhirnya masuk ke hidungnya. Sabah, aku kembali!!
Welcome to Tawau, Sabah. Aku tau Tawau tidaklah semoden bandar di KL, tapi bagi aku lagi moden dari Kedahlah...” Aliff menjadi ketua rombongan cuti ini mula bersuara sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Tawau. Cuba berlawak dengan kata pendahuluan itu.
“Aku pernah dengar Tawau, tapi tak pernah pergi. Boleh tahan jugak.” Ryan bersuara. Pandangannya dilarikan ke setiap ruang di hadapannya. Udara memang segar, Sabah memang cantik!
“Aku berani yakin Sabah akan bagi kamu 1001 kenangan selama seminggu ni. Okey?” Aliff kelihatan semangat apabila kawan-kawannya mengunjungi negeri kelahirannya. Walaupun dalam situasi yang sedikit tegang berlaku antara semua orang yang ada, dia masih boleh menutup semua seperti tiada apa yang berlaku. Semua orang juga berlagak selamba walaupun masing-masing menyimpan perasaan kurang enak.
Aliff kemudiannya mengatur langkah. Semua orang mengikut arahnya. Di balai ketibaan, Pak Man sudah setia menanti mereka. Aliff kemudiannya dilihat menyalam mesra tangan lelaki itu. Semua kawannya kehairanan kecuali Cinta.
“Ni driver keluarga aku. Panggil dia Pak Man.” Aliff memperkenalkan.
“Assalamualaikum Pak Man...” Ryan memulakan sesi perkenalan dengan siap menyalam tangan lelaki itu. Qalam pula bertindak selepas itu. Pak Man tersenyum. Tidak menyangka bahawa kawan-kawan tuan mudanya begitu menghormati orang tua walaupun berpangkat pemandu sekalipun.
“Waalaikumsalam. Emm... Tuan Muda, kereta sudah siap. Ini kuncinya.”
“Tuan Muda? Boleh tahan kau Liff. Tak sangka pula aku yang kau kena panggil ‘Tuan Muda’. Wau, menakjubkan!” dikebingungannya, Ryan sempat berjenaka di hujung ayat.
Aliff menjadi malu. Dia lupa pada perkara itu. Dia tidak mahu dipanggil sedemikian rupa di hadapan kawan-kawannya. Seakan-akan budak kecil pula rasanya. Dia kemudiannya mengambil kunci dari tangan Pak Man dengan pantas.
“Kamu balik ikut Pak Man, okey. Aku follow dari belakang.” Aliff menjelaskan. Sudah perangainya begini. Dia suka untuk memandu sendiri. Tidak hairanlah apabila Pak Man menyediakan dua buah kereta hari ini sebagai menyambut kehadiran mereka. Satu kereta Aliff, satu lagi kereta khas untuk menjemput mereka.
Aliff mula mengatur langkahnya. Semua barangnya diangkut oleh Pak Man. Cinta mengikut di belakangnya. Qalam, Ryan dan Basyirah pula mengikut Pak Man. Semua mula bertolak pulang ke rumah.
Setengah jam perjalanan dari Lapangan Terbang, kereta yang mereka naiki mula masuk perkarangan sebuah rumah. Ryan memanjangkan lehernya memandang panorama sekeliling. Matanya membundar. Cantiknya.
“Wah, kalau akulah punya rumah ni, tak keluar enjoy pun boleh!” ujar Ryan sebaik sahaja turun dari kereta. Matanya terpaku dengan keadaan sekeliling yang cantik dihiasi permandang dunia. Rumah Aliff betul-betul terletak di hadapan laut. Dengar dengan jelas desiran ombak seakan-akan menyambut kedatangan mereka ke Tawau, Sabah.
Qalam memerhatikan Aliff yang baru keluar dari kereta. Adiknya juga sama. Cinta kelihatan diam sahaja. Dia memang berperangai sedemikian rupa. Seperti manusia yang tiada rasa apa-apa.
“Selamat datang ke rumah aku. Jom masuk. Tiada siapa kat rumah aku ni kecuali my Mum. Jom!” Aliff menjemput mereka masuk.  “Hah, barang kamu biar jak. Semuanya akan settle. Ada pembantu akan urus semua tu. Jom, aku kenalkan dengan mama aku dulu.”
Mereka semua mengatur langkah. Mengikut sahaja Aliff sepanjang hari ini. Nampaknya seperti Aliff ‘raja’ yang mengarah dan mereka yang lain menurut perintah. Memijak sahaja ruang rumah Aliff, Ryan, Qalam dan Basyirah masing-masing memandang sekeliling. Terpana melihat rumah besar yang dimiliki kawan mereka itu.
“Boleh tahan!” Qalam memuji perlahan dan didengari oleh Ryan sahaja. Ryan mengangguk setuju. Jarang-jarang melihat orang kebanyakan mempunyai rumah banglo sebesar Aliff. Nampaknya keluarga Aliff bukan calang-calang orangnya.
“Assalamualaikum Mama.”
Qalam, Ryan dan Basyirah memerhati penuh. Aliff memeluk mesra tubuh seorang wanita yang digelarnya ‘Mama’ sebentar tadi. Nampak seperti manja sangat. Seperti sudah bertahun-tahun lama tidak bertemu padahal baru dua bulan. Mereka masuk ke asrama.
Qalam terdiam. Aliff begitu akrab dengan Mamanya. Nampak seperti lelaki biasa tapi berdepan sahaja dengan orang tuanya, dia benar-benar tidak seperti Aliff yang pernah mereka jumpa. Manja mengalahkan perempuan. Dia tersenyum sendiri. Ada juga lelaki sedemikan di dunia ini lagi. Dan ada juga ibu sedemikian rupa melayan anaknya yang sudah berusia 21 tahun seperti mana anaknya berumur 3 tahun.
“Ta...”
Cinta tersenyum dan segera menyalam dan memeluk tubuh Mamanya.
“Sihat?”
Cinta hanya mengangguk kepada Mamanya.
“Ma, ni semua kawan Aliff. Qalam, Ryan dan tu tunang Qalam, namanya Basyirah. Basyirah ni orang Singapura.” Aliff memperkenalkan mereka. Basyirah segera pergi menyalam tangan Mama Aliff.
“Ya..? Jauhnya. Pelajar antarabangsalah ni?” Mama Aliff sempat berlawak di hujung ayatnya.
“Begitulah nampaknya. Tapi Ira dah biasa kat Malaysia sebab Ibu Ira buka business kat Johor. Malaysia atau Singapura, Ira rasa sama je.” Basyirah bersuara lembut.
“Liff, kami pun pelajar antarabangsa. Kamikan dari Brunei.” Ryan segera menyampuk.
“Yalah tu!” Aliff menangkis apa yang diperkatakan Ryan. Memang Ryan suka bergurau.
“Kau tak percaya ke? Nak aku bagi tengok IC?”
No, thank you.”
“Tak caya sudah!”
Aliff mengangkat kedua-dua keningnya. Dia meresakan dirinya menang dari Ryan. Ryan diam sahaja. Mengalah memang sikapnya.
Basyirah memerhatikan Qalam dari tadi. Tunangnya itu tidak pernah lekang pandangan dari memandang Cinta sepanjang hari ini. Cinta yang dilihat mula menghilangkan diri juga diperhatikan Qalam. Entah pergi mana gadis itu, tiada siapa perasan dia menghilang kerana gadis itu senyap sahaja dari tadi. Dia punya rumah, dia berhak pergi ke mana sahaja dia suka.

*************************************************************************

“LAM...”
Qalam memandang belakang. Ryan kelihatan menghampirinya.
Ryan menarik nafasnya. Dia perlu kuatkan semangatnya untuk terus berdepan dengan Qalam. Dia semakin tidak faham dengan apa yang sedang berlaku dengan sahabatnya tiu tapi dia yakin ada sesuatu yang tidak kena dan ini melibatkan semua orang. Mereka berdua, Aliff, Basyirah dan orang yang paling penting sekali Cinta. Bagi Aliff, waktu sekarang bukan masanya yang sesuai untuk membuka cerita kerana masing-masing mahu bersenang-senang dengan percutian ini. Biarlah semuanya berlalu dengan baik sekali dan dia tidak sesekali mahu merosakkan semua ini.
“Tak sangka pula rumah Aliff cantik macam ni. Dia anak orang kaya rupanya. Tidak hairanlah dia kelihatan segak dan kemas. Rupanya ‘Tuan Muda’.”
Qalam diam memerhati panorama di hadapannya. Mereka yang leka berdiri di balkoni bilik tetamu itu kelihatan sedang menghirup udara segar dari bayu laut di hadapan matanya. Bilik mereka yang terletak di tingkat kedua membolehkan mereka memerhati laut yang terbentang luas di hadapan rumah dengan jelas sekali. Patutlah Sabah terkenal dengan keindahan lautnya yang luas.
Ryan terdiam. Hatinya seakan-akan ditikam pisau apabila melihat apa yang sedang diperhatikan Qalam. Patutlah dia sanggup berdiri di situ sejak tadi walaupun panas petang menyinari. Tidak pernah dia sanggup berjemur di bawah panas sebelum ini. Rupanya dia melihat Cinta sedang duduk di batu yang terletak di hadapan laut.
“Tu adik Aliff kan?” Ryan berpura-pura tidak perasan apa yang sedang diperhatikan Qalam.
“Yan, kau suka adik Aliff?”
Ryan tersentak dengan apa yang disoalkan Qalam padanya. Qalam yang membuka topik itu terlebih dahulu. Ryan terdiam. Tidak sangka. Dia tidak tahu mahu menjawab apa pada Qalam ketika itu.
Sorry, Yan.”
Ryan terpaku apabila Qalam meninggalkannya di situ seorang diri dengan meminta maaf. Apa maksudnya? Ryan bingung. Apa yang dikhuatiri sebelum ini nampaknya sudah melihatkan permulaannya.
Ryan memandang belakang. Qalam tidak sesekali memandang ke arahnya. Sudah sikapnya sebegitu. Dia tidak suka memandang belakang atau ada orang memalingkan muka darinya. Tapi hanya seorang sahaja yang pernah Ryan nampak berani berbuat sedemikian. Cinta!


Saturday 15 June 2013

Mencintai Cinta - Bab 10

Bab 10

Qalam meletakkan beg. Pandangannya tertumpu pada bungkusan di depan mata. Dia memandang ke kiri dan kanan berkali-kali. Tiada sesiapa yang memberi tumpuan padanya. Beberapa pelajar yang duduk tidak jauh dari tempatnya juga tidak memperdulikannya. Bungkusan siapa pula ni? Dia bengang sendiri.
“Benda apa tu?” Ryan yang duduk di sebelahnya menyoal sambil melabuhkan penggungnya di kerusi. Dia juga berperasaan sama dengan Qalam apabila melihat ada bungkusan di atas meja Qalam. Dia pasti bukan milik Qalam kerana sejak mereka masuk kelas tadi benda itu ada di situ.
“Entah. Pelajar lain tertinggal kot...” Qalam membuat hipotesis sendiri. Dia pasti itu bukan miliknya.
“Tu ada nota. Bacalah.” Ryan menyedari sekeping kertas ada di bawah bungkusan tersebut.
“Eh, bukan hak kitalah. Tak baik baca.”
“Manalah tahu nota tu untuk sesiapa yang duduk di kerusi yang kau duduk ni. Manalah tahukan. Lam, you are the choosen one!” siap melawak lagi Ryan di pagi ini.
“Mengarutlah kau ni Yan pagi-pagi ni.”
Ryan menyambung ketawa. Memang hobinya buat bodoh pagi-pagi sebelum kelas untuk hilangkan rasa mengantuknya.
“Baca je lah. Kau tak nak, aku yang baca.”
Qalam memandang geram Ryan di sebelahnya. Dia mengalah sebelum mendengar Ryan meleternya pula. Kertas yang dinyatakan Ryan tadi mula dicapai. Nota berlipat itu dibuka perlahan.
“Aku nak tengok!” Ryan pantas bersuara apabila Qalam mahu mula membaca.
“Kau ni kalau tidak menyibuk boleh tak? Aku baca dulu. Akukan the choosen one...” Qalam memulangkan ayat power Ryan semula. Ryan memandangnya geram. Terkena kembali!

Assalamualaikum..
Saya nak minta maaf sebab saya tidak boleh jumpa awak lepas klas ni. Dalam bungkusan tu saya letakkan telefon awak. Saya minta maaf sangat-sangat sebab tidak gantikan telefon yang sama dengan yang telah saya rosakkan sebelum ni. Saya harap awak terima apa yang saya pilih. Kalau awak tidak nak dan nak tukar dengan yang lain, awak boleh maklumkan dengan saya melalui SMS atau telefon saya terus. Saya minta maaf sebab saya tidak mahu berjumpa dengan awak lagi seperti sebelum ni. Saya minta maaf sangat-sangat.
Adik Aliff

Qalam terdiam. Tidak senyum, tidak geram. Dia memandang tempat duduk di hadapannya. Kosong. Gadis itu tiada di tempatnya. Suhana, teman sebiliknya sudah dilihat berada di tempat sebelah gadis itu sejak dia datang tadi.
“Surat apa?” Ryan segera menyoal. “Aku nak tengok!”
“Yan, Aliff dah sampai ke?” tanpa memperdulikan permintaan dan soalan Ryan padanya, Qalam terus menghantar soalan.
“Aliff? Diakan selalu awal. Ada kot. Tengok tu, beg diakan?” Ryan menjawab selamba pertanyaan serius Qalam. Pandangannya lari kepada tempat duduk di sebelah Qalam. Kosong tapi ada beg.
Qalam senyap.  Jiwanya tidak tenang. Ayat terakhir nota itu menyakitkan hatinya. Tidak mahu berjumpa seperti sebelum ini? Apa maksudnya? Qalam mula tidak berpuas hati.
“Tu...” Ryan bersuara lagi.  Nadanya perlahan dan mendatar. Dia tidak menunjuk dengan tangan atau anggota badannya sebaliknya melalui perkataan pendek daripada mulutnya. Qalam mengalihkan pandangannya mengikut pandangan Ryan.
Aliff dilihat masuk ke dalam kelas bersama adiknya. Berdua sahaja. Qalam menjeling ke kerusi milik gadis Sabah itu yang terletak betul-betul di hadapannya. Ada beg. Beg Aliff kemudiannya dijeling selepas itu. Mereka sudah tiba awal lagi sebelum ini. Tapi mereka berdua dari mana?
“Awal kau sampai, Liff.” Ryan menyapa serentak punggung Aliff dilabuhkan di kerusi sebelah Qalam.
“Biasalah. Bukan macam kau tu. Tidur memanjang. Bangun pagi pun malas. Nasib baik Tuan Haji tidak sampai lagi. Kalau dia dah sampai, alamatnya di luarlah kau belajar nanti.” Aliff menyindir.
“Kejam sungguh mulut anda berkata-kata di pagi ini, Encik Aliff.” Ryan cuba berlawak untuk menepis ayat Aliff. “Kau sampai awal tapi tinggalkan beg dalam kelas. Kau pergi mana?”
“Tandas. Adik aku minta aku temankan.”
“Hah? Ke tandas pagi-pagi pun minta teman?”
Aliff tersenyum sahaja. Dia sempat menjeling pada Qalam yang duduk di sebelahnya. Lelaki itu diam sahaja. Dia tidak mahu menanya. Dia paling tidak suka menanya benda yang melibatkan perasaan. Qalam dilihat seakan-akan tidak puas hati dari raut wajahnya. Mungkin dia punya masalah. Bungkusan di atas meja Qalam dijeling sama. Aliff memandang depan. Dia tahu apa yang terjadi.
Qalam mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Tangannya laju menaip sesuatu di peti mesej. Apabila mesejnya berjaya dihantar, dia memandang bungkusan di depan matanya.
Maaf... sy x blh...
Nota yang dibaca tadi direnyukkan menggunakan tangannya.  Hatinya sakit melihat balasan mesej daripada adik Aliff yang begitu mengecewakannya.
Tp sy nak jmpa awk pas klas ni jugak!
Qalam semakin marah apabila mesej keduanya tiada sebarang balasan walaupun dia menunggu dalam beberapa minit. Adik Aliff di hadapannya dilihat sejak tadi. Dia bersembang dengan rancak sekali dengan Suhana. Tiada gaya langsung untuk membalas mesejnya lagi.
Aliff menjeling pada Qalam. Lelaki itu dilihat mengetap bibir. Dia benar-benar marah. Nota yang sangat dikenalinya itu dilihat sudah menjadi gumpalan bola di tangan Qalam. Marahnya sudah bermula tetapi masih di tahap rendah. Aliff memandang hadapan semula. Apapun yang terjadi, dia puas hati.

************************************************************************

KELAS bersurai seperti biasa sebelum 9.30 pagi. Kelas mula riuh dengan macam-macam jenis suara yang diselingi dengan loghat pekat negeri masing-masing. Bunyi kerusi juga kedengaran jelas kerana masing-masing mula beredar keluar.
Qalam memasukkan bungkusan yang diterimanya ke dalam beg dengan cepat. Proses mengemas alat tulisnya dilakukan dengan pantas sekali hari ini. Matanya liar memandang adik Aliff yang sudah siap berkemas dan sudah siap mahu keluar dari kelas.
“Yan, kau blah dulu. Aku mau pergi toilet lepas ni. Kau tunggu aku kat tempat biasa. Aku datang kejap lagi. Okey?”
Ryan memandang Qalam. Pelik sungguh perangainya hari ni. Dari tadi dia tidak bersuara semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Biasanya ada sahaja rungutannya keluar tapi pagi ini dia jadi diam dan hilang mood tiba-tiba pula.
“Aku tunggu kau keluar tandaskan boleh?”
“Hei, aku cakap tunggu je kat sana pun susah nak ikut?!”
“Lam, kenapa dengan kau hari ni? Macam pelik je aku nampak. Kau okey ke ni?”
“Jangan banyak tanya sebelum aku naik angin. Kau faham?”
Ryan mengunci mulutnya. Dia pelik melihat Qalam mula naik angin lagi. Setahunya sejak beberapa minggu lalu dia jarang beremosi seperti dulu. Dia ingat Qalam mula berubah tapi sebaliknya. Masih lagi seperti azalinya.
Ryan mula pergi meninggalkan Qalam. Dia perlu patuh pada arahan lelaki itu. Dia benar-benar tidak boleh dan tidak berani ingkar.
Qalam segera mengangkat begnya. Dia keluar dari pintu sebelah kiri dewan kuliah tidak seperti sebelumnya kerana dia lebih suka keluar dari pintu kanan kerana tidak jauh dari pintu kanan ada tandas pelajar perempuan. Langkahnya dilajukan. Dia perlu mendapatkan adik Aliff sekarang. Dia kena menggunakan kesempatan ini kerana Aliff sekarang perlu bertemu dengan pensyarah kerana semua ketua kumpulan perlu berbuat demikian. Qalam tahu Aliff mungkin tidak mahu adiknya bertemu dengannya. Apa yang Qalam pasti, dia tidak tahu apa sebabnya.
“Awak!”
Cinta berpaling ke belakang. Dia yang sedang menunggu Suhana yang berada di dalam tandas kelihatan terperanjat melihat Qalam muncul di situ.  Dia segera mengatur langkah.  Mahu lari dari lelaki itu.
Qalam mengatur langkahnya dengan pantas. Beberapa pelajar perempuan yang turut berada di hadapan tandas melihat babak itu. Mereka cukup terperanjat apabila Qalam muncul. Siapa yang tidak mengenali lelaki itu. Pujaan hati setiap pelajar perempuan terutamanya budak pendidikan yang sering sekelas dengannya. Mukanya yang sedap mata memandang pasti akan menjerat mana-mana perempuan yang memandangnya.
“Awak..!” Qalam memanggil lagi. Langkah gadis yang dikejarnya dirasakan semakin laju dan menjauh darinya. Qalam mula berlari perlahan. Dia memaut tangan gadis itu bila berada dekat dengannya.
Cinta menarik tangannya. Memandang sekeliling takut orang lain nampak perbuatan kurang enak itu. Nasib baik tiada sesiapa di situ.
“Kenapa dengan awak ni..?” ujar Cinta.
“Maaf. Saya tak sengaja. Saya takut awak lari. Maaf.” Qalam segera menyedari kesalahannya. Tangan gadis itu segera dilepaskan. Dia sendiri tidak tahu mengapa tindakan drastik itu boleh dilakukannya terhadap gadis itu.
Senyap. Cinta tidak sesekali memandang lelaki di hadapannya. Dia agak marah. Nasib baik tidak ada sesiapa yang melihat aksi tadi.
“Kenapa awak lari dari saya?” Qalam segera menyoal. Perkara inilah yang dia mahukan jawapannya.
Cinta mengalihkan tubuhnya memusing ke belakang. Tidak sanggup melihat wajah lelaki itu lagi. Nafasnya ditarik perlahan-lahan. Menahan perasaan yang dialaminya. Dia takut ada sesuatu lagi yang akan muncul bila melihat muka lelaki itu.
“Ada apa awak cari saya?”
Qalam terdiam. Akhirnya gadis itu membuka mulut juga.
“Awak memang tidak suka jawab pertanyaan orang ke?” Qalam menyoal pula.
Cinta terdiam. Tidak mahu meneruskan perbualan. Dia tidak berminat. Qalam geram. Diikutkan kepalan anginnya, dia ingin mengamuk sekarang juga tapi hatinya membantah.
“Jangan jumpa saya macam ni lagi.” Akhirnya Cinta membuka mulut mengatur bicara.
“Kenapa?”
Cinta diam. Dia tidak boleh memberikan jawapannya.
“Semalam semuanya okey. Kenapa hari ni tiba-tiba jadi begini pula?” Qalam menyoal pula. Inilah yang membuatkannya bingung dengan perubahan drastik yang menimpanya pagi ini. Dia pelik kenapa jadi begini secara-tiba-tiba.
Cinta memejamkan matanya. Tidak sanggup berdepan dengan situasi sukar sebegini.
“Awak cakap jujur dengan saya. Awak tak nak kawan dengan saya lagi? Atau awak masih benci dengan saya? Saya minta maaf.” Ujar Qalam. Dia mengatur langkahnya menuju hadapan Cinta. Mahu menyaksikan sendiri gadis itu menjawab betul-betul disaksikan oleh kedua-dua biji matanya.
Cinta senyap. Qalam di hadapannya tidak sanggup dipandang sedikitpun. Qalam semakin menghampirinya. Cinta tunduk dan mengundur selangkah ke belakang. Macam-macam perkara muncul di fikirannya. Matanya dipejam sekuat yang boleh.
“Ta!”
Qalam memandang belakangnya. Cinta mengangkat pandangan dan mengundur beberapa langkah lagi ke belakang.
“Kita dah lambat. Kata tidak sarapan lagi pagi tadi. Jom, abang lapar.” Aliff berkata dengan nada mendatar sambil melangkah ke arah Cinta. Tangan Cinta diambil dan dia membawa Cinta pergi dari situ. Cinta mengikut.
Qalam menggenggam tangannya menjadi penumbuk. Ingin dihayunkan ke muka Aliff tapi melihat Cinta ada di situ, niatnya terbantut.  Dia benar-benar tercabar kali ini. Tidak pernah terjadi sebelum ini keadaan seperti ini. Biasanya tiada siapa yang berani mengacau ketika dia serius berbual. Inilah kali pertama dia dibuat sedemikian.
Cinta mengatur langkahnya. Dia mengikut sahaja langkah yang dibawa oleh Aliff kerana tangannya masih terpaut oleh tangan Aliff. Sempat dia memandang belakang melihat Qalam. Lelaki itu menahan marah. Gumpalan penumbuk di tangan kanan Qalam jelas di penglihatannya. Dia masih tidak boleh bertindak apa-apa. Saya minta maaf awak...
“Semalamkan abang dah cakap dengan Ta jangan jumpa Qalam lagi. Ta tak faham apa yang abang cakap?”
“Ta minta maaf...”
“Abang tidak mau nampak benda ni lagi...”

**************************************************************************

RYAN memandang Qalam yang baru sahaja melabuhkan punggungnya. Lelaki itu kelihatan diam. Sejak pagi tadi dia berkelakuan sedemikian. Ryan menarik nafas. Cuba menguatkan semangatnya. Berhadapan dengan Qalam di saat sebegini memang sukar. Dia juga perlu tabah walaupun dia mengetahui sesuatu yang masih tidak jelas dan kabur.
“Kau okey?”
Qalam diam.
“Aku nak balik asrama. Aku nak tidur.”
Ryan terdiam. Dia masak benar dengan perangai Qalam. Dia pasti akan memilih untuk tidur panjang apabila dia ditimpa masalah. Nampaknya kali ini dia memang agak marah tapi dia cuba mengawalnya dengan cara tidur. Memang inilah Qalam Abdul Halim yang dikenalinya sejak kecil.
“Sekarang baru pukul Sembilan. Awal lagi nak tidur. Kita belum makan malam lagi ni.” Ryan cuba menahan Qalam untuk pergi.
Qalam berdiri dari tempat duduknya tanpa berkata apa-apapun. Dia mula mengatur langkah pergi. Ryan terdiam keseorangan ditinggal di situ. Otaknya masih segar dengan bayangan peristiwa pagi tadi yang dilihatnya dengan jelas sekali melalui mata kepalanya sendiri.  Qalam memegangan tangan Cinta. Hatinya benar-benar lebur melihat Qalam bertindak sedemikian rupa di belakangnya. Apa yang paling dia tidak sangka, Qalam sanggup menikamnya dari belakang dengan cara begini.
“Sorang?”
Ryan memandang gadis yang baru menyapanya.
“Ira...”
“Boleh Ira duduk?” Basyirah menyoal lembut seperti selalunya.  Apabila Ryan tersenyum, dia mula duduk di kerusi yang diduduki Qalam sebentar tadi. “Dah makan?”
Ryan memerhatikan Basyirah. Kalau gadis ini tahu apa yang dia tahu. Ryan menarik nafasnya. Dia mesti kuat. Basyirah pula tidak boleh tahu akan perkara ini.
“Tadi Qalam joint tapi dia tak ada mood. Dia balik tidur.”
Basyirah tersenyum. Dia juga sudah tahu perangai Qalam sedemikian rupa. Qalam memang kaki tidur jika dia bermasalah mahupun tidak ada mood. Dia suka menghabiskan masanya sedemikian kerana baginya jika dia tidur, dia dapat lupa segalanya buat seketika.
“Dia ada masalah lagi? Masalah apa?”
Ryan memandang muka Basyirah. Dia menarik nafas cermat supaya boleh jadi kuat untuk teruskan semua ini.
“Biasalah. Qalam tu perkara kecil pun akan jadi besar kalau dia dah tak suka. Nasib baik dia tak  mengamuk menggila sekarang ni macam biasa. Mungkin dia masih ingat dia berada di dalam kawasan asrama. Jadi dia cuba melawan perangainya sendiri. Dia tidak boleh merosakkan masa depannya di sini kerana inilah yang dia inginkan. Jika dia mengikut kepala anginnya, semuanya akan musnah sekelip mata.”
“Hah? Ira tak faham?”
“Tak da apa-apalah. Yan cuma mengarut.” Hampir pecah rahsia. Ryan menarik nafas lega kerana tidak bertindak ikut sedap mulutnya.
“Temankan Ira makan boleh? Kawan-kawan Ira semuanya sibuk buat assignment malam ni.”
Ryan tersenyum. Hatinya mudah menjadi lembut dengan permintaan Basyirah. Dia mengangguk perlahan.
Thank you. Ira belanja!”
“Ni yang Yan suka dengar!” sempat lagi Ryan berjenaka dengan gadis di hadapan matanya. Hatinya tersepit ketika ini sungguhpun wajahnya cuba tersenyum di hadapan Basyirah. Dia diulit pelbagai perasaan. Dia benar-benar tidak sampai hati melihat Basyirah kehilangan senyumannya. Dia tidak akan membuka cerita berkaitan sikap Qalam dan apa yang lelaki itu telah lakukan sekarang. Dia terasa pahitnya dan dia tidak mahu Basyirah menerima perkara yang sama juga.

*************************************************************************

BASYIRAH merenung komputer riba di hadapannya. Gambarnya bersama Qalam ditenung seakan-akan menusuk ke dalam. Mindanya jelas membayangi saat-saat yang telah berlaku ke atasnya dan Qalam sebelum ini. Gambar pertunangan yang dirancang oleh kedua pihak ibu bapa mereka melahirkan senyumannya. Dia ingat lagi saat itu Qalam marah padanya. Saat itulah dia bertentangan mata dengan lelaki yang benar-benar dicintainya sejak kecil lagi. Hanya Qalam yang tidak tahu perasaannya itu.
Perkenalannya dengan Qalam bermula sejak dia berusia lima tahun lagi. Usianya itulah yang menjadi saksi pertemuan pertama mereka berdua apabila keluarga Basyirah bercuti di Brunei. Kebetulan ibu Basyirah kawan baik dengan Bonda Qalam dan mereka berkenalan di negara yang kaya dengan minyak petroleum itu. Percutian keluarga yang dirancang bersama itu membuatkan dia jatuh cinta kali pertama dengan Qalam walaupun di usia kecil. Tidak tahu apa yang istimewanya Qalam di matanya. Apa yang pasti, dia suka melihat mata lelaki itu yang hitam dan sayu menusuk ke hatinya.
Sikap Qalam memang sombong. Pertama kali jumpa sahaja dia sudah memaharahi Basyirah apabila dia terpijak kasut Qalam secara tidak sengaja. Qalam memang panas baran tapi Basyirah tahu dia baik orangnya. Cuma perangai luarannya sedemikian rupa tapi dalamannya dia sangat penyayang. Ego yang tinggi menguasai jiwanya.
Perasaan cinta yang hadir dalam jiwanya disedari oleh ibunya. Ibunya secara tidak langsung memberi nasihat kepada Bonda Qalam supaya mereka bersekolah di sekolah yang sama. Perangai Qalam yang nakal menyenangkan lagi rencana ibunya untuk meyakinkan Bonda Qalam bahawa Basyirah akan memerhatikannya sepenuh masa di sekolah. Mudah sahaja Bonda Qalam bersetuju dan Qalam terpaksa berpindah ke Singapura, negara kelahiran Basyirah. Sejak itulah Qalam berada di bawah jagaan keluarga Basyirah tanpa disedarinya kerana Qalam ditempatkan di sebuah rumah berdekatan mereka. Dia tidak tahu langsung bahawa semua itu adalah rancangan ibu Basyirah dan Bondanya. Apa yang dia tahu dia mula bebas kerana jauh dengan kongkongan Bondanya.
Hidup Qalam semakin teruk apabila dia mula memberontak dan menjadi pelajar paling nakal di sekolah. Basyirah masih ingat lagi Qalam selalu menggunakan kuasa dan darjat keluarganya sebagai senjata untuk menguasai sekolah. Tiada satupun pelajar yang berani mengingkari arahan dan semua orang tunduk padanya bak raja termasuk pengetua sekolah. Basyirah paling ingat apabila semua pelajar sanggup tunduk apabila Qalam berjalan di khalayak ramai. Pelajar perempuan pula banyak yang tergila-gilakannya kerana pakej rupa parasnya dan darjatnya.
Kenangan paling manis apabila mereka ditunangkan kerana sikap Qalam benar-benar mencabar Bondanya apabia dia membelasah seorang senior kerana membalas dendam untuk Ryan. Qalam juga cedera teruk ketika itu kerana turut dibelasah teruk namun pergaduhan mereka dimenangi olehnya. Dia sempat dimasukkan ke hospital oleh Bondanya kerana kecederaan di belakangnya akibat dipukul kayu. Bondanya panik dan segera mengambil keputusan untuk tunangkannya dengan Basyirah. Basyirah semakin bahagia di saat itu walaupun di saat itu Qalam membencinya dan telah lupa padanya. Pertemuannya dengan Qalam di saat pertunangan mereka masih jelas di ingatannya.
“Puas hati awak?” agak marah nada Qalam masa itu. Perkataan itulah yang dikeluarkannya buat pertama kali selepas kali terakhir semasa mereka lima tahun.
“Saya tak faham..”
“Tak faham? Hei perempuan, semua ini rancangan kau kan?”
“Hah?”
“Aku tak sangka, rupanya aku dihantar ke Singapura sebab kau. Siapa sebenarnya kau hah? Kenapa kau buat aku begini? Dengan pertunangan bodoh ni lagi... puas hati kau sekarang?”
Basyirah terdiam. Qalam lupa padanya.
“Saya tak tahu. Ibu saya dan Bonda awak...”
“Awak pun sama. Jangan salahkan orang tua kita.” Segera ayat Qalam terkeluar tanpa mendengar penjelasan Basyirah. Jari telunjuknya siap menikam tajam pandangan gadis itu sehinggakan Basyirah tertunduk.
“Saya cintakan awak...” lahir juga perkataan di mulut Basyirah ketika itu walapun situasi Qalam tegang dengannya.
“Cinta..? gila!”
Basyirah memejamkan matanya. Qalam pergi dari situ sambil menendang benda yang berada di hadapannya sambil teriak marah. Basyirah hanya diam. Dia puas. Apapun yang terjadi terhadap Qalam, dia puas kerana berjaya mengikat lelaki yang dicintainya itu.
Basyirah tersenyum. Tersedar dari lamunannya. Otaknya mula sarat. Kebahagiaannya menjadi tunang Qalam mula menjadi mimpi buruk yang nyata apabila kemunculan Cinta dan Aliff. Adik-beradik yang berasal dari Sabah itu mencipta beberapa titik permulaan keretakan perhubungan mereka. Qalam pula semakin berubah. Semakin jauh darinya. Pertemuannya dengan Aliff petang tadi memberi sejarah pahit kepada apabila sesuatu yang tidak patut dia dengar masuk ke telinganya.
“Saya tau awak nampak Qalam dan adik saya berjumpa malam tadi di parking kereta asrama. Saya nampak awak dengan Ryan menuju ke asrama di belakang kafe.”
Basyirah terdiam. Dia tidak mahu lagi mengungkit perkara pahit itu. Malam semalam sewaktu dia ingin kembali ke asramanya, dia yang ditemani Ryan terpaku melihat Qalam memagang lengan Cinta yang pada masa itu ingin terjatuh. Dia cuba memujuk hatinya dengan memberi alasan bahawa Qalam hadir tepat pada masanya untuk menolong Cinta tapi setiap bibit-bibit perkataan yang dibincangkan mereka berdua seakan-akan membunuhnya.
“Awak tolong saya jauhkan Qalam dari Cinta boleh?”
Basyirah terdiam. Apa yang cuba dikatakan oleh Aliff pula kali ini? Apa maksudnya?
Basyirah memejamkan matanya. Dia tunduk. Ingin melupakan bayangan yang menerjah fikirannya. Kepalanya terasa berat. Dia diasak pelbagai cerita pahit yang seakan-akan menikam jantungnya.
Telefonnya mula dicapai. Dia perlu menghubungi seseoang.
“Assalamualaikum. Ira?”
“Yan... Yan... Ira, Ira tak kuat tanggung semuanya...” Basyirah menangis. Ryan di hujung talian sahaja yang mengetahui apa yang dirasakannya kerana semua keluhannya didengari telinga lelaki itu.